Tiada yang lebih indah bagi seorang ibu selain momen pertama mendakap zuriat yang sekian lama dinanti. Itulah yang dirasai pempengaruh media sosial dan usahawan, Sally Whoo, apabila selamat melahirkan cahaya mata kembar pada awal pagi Sabtu lalu.
Sally, atau nama sebenarnya Nur Salihah Aimuni, berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Threads, menyatakan betapa dirinya dilimpahi rasa syukur dan sebak sebaik selamat menimang dua permata hatinya.
“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Saya tak tahu nak mula dari mana, cuma air mata ni macam tak nak berhenti,” tulisnya dengan penuh emosi.
Menurut Sally, kelegaan dan keletihan bercampur dengan rasa takut dan syukur perasaan yang hanya seorang ibu benar-benar faham ketika melalui detik melahirkan.
“Rasa lega, penat, takut, syukur semua datang sekali. Allah, terima kasih. Dua nyawa kecil ini sudah selamat dalam pelukan mommy dan daddy.”
Ads
Dalam perkongsian sama, Sally turut memaklumkan perkembangan dirinya serta bayi kembarnya selepas bersalin.
“Finally pain killer tu dah habis, dari 6 pagi sampai sekarang baru bangun, baru makan. Alhamdulillah both baby sihat, baby girl je kena kuning for now.”
Katanya lagi, hari kedua selepas bersalin sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila dirinya perlahan-lahan mampu bergerak sendiri.
“Harini second day dah boleh jalan sendiri pergi toilet, dah boleh jalan-jalan pusing dalam bilik. Harap by tomorrow tak rasa sakit sangat dah.”
Ads
Sally turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dirinya dan bayi kembar yang baru dilahirkan.
Ads
“Again, terima kasih yang mendoakan Sally. Harap doa dan kata-kata baik tu berbalik pada kalian juga.”
Untuk rekod, Sally mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang dikenali sebagai Toq, dan hasil perkahwinan mereka sebelum ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ean Maleeq. Kini, kehadiran dua cahaya mata baharu ini melengkapkan lagi kebahagiaan kecil keluarga mereka.
Tahniah buat Sally dan suami atas kehadiran dua bidadari kecil yang membawa sejuta makna. Semoga ibu dan bayi terus sihat serta dipermudahkan segala urusan berpantang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah lama mendirikan rumah tangga mungkin menjadikan kita terlalu selesa dan agak sukar untuk menunjukkan sisi romantik kepada si dia. Sebenarnya, semakin lama sesebuah perkahwinan itu, kita perlu lebih menghargai pasangan kita. Tidak kiralah sama ada kita isteri mahupun suami, meluahkan rasa cinta itu perlu untuk saling membahagiakan.
Suami romantis, Akhtar Syamir berkongsi rahsia untuk menjadi romantik dengan pasangan. Bolehlah dipraktikkan supaya rumah tangga kekal bahagia selalu.
Ikuti perkongsian manis ini, semoga membantu kita mengekalkan rasa cinta buat si dia.
Cara mudah untuk jadi romantik dengan pasangan dan sekaligus menambah kemanisan hubungan suami-isteri. Semua pasangan boleh cuba.
Tak kiralah anda seorang suami atau seorang isteri, anda boleh menjadi seorang yang romantik sebenarnya.
Romantik ini ada 2. Satu dari percakapan dan yang kedua dari perbuatan. Ada yang boleh buat kedua-duanya. Ada yang boleh buat 1 sahaja. Tapi jangan risau, mana-mana pun bakal membuatkan pasangan anda tersenyum dan hatinya berbunga-bunga.
💗💗 Romantik Perbuatan. 💗💗
1. Sentuhan Fizikal.
Dibuat apabila suami dan isteri sedang duduk santai. Jangan buat semasa salah seorang sedang fokus pada benda lain contohnya si suami sedang tengok bola atau si isteri sedang tengok drama Nur 2.
▶️ Hanya gunakan tepi ibu jari dan lalukan ia di pipi pasangan perlahan-lahan sambil memandang matanya dan senyum dengan manis.
▶️ Gunakan hujung ibu jari dan bermainlah di kening pasangan dengan lembut. Buat dari dalam kening ke bahagian luar. Kiri dan kanan. Jika matanya tertutup melayan, anda sudah berjaya.
▶️ Mainkan jari-jemari anda di ubun rambutnya. Boleh buat semasa tengok tv atau main telefon. Perlahan-perlahan je. Antara dia sedar dengan tidak. Gunakan juga jari-jemari anda untuk mengusap jari-jemari pasangan dengan lembut dan perlahan.
▶️ Bawa kepala pasangan anda ke peha, biar dia jadikan peha itu sebagai bantal. Mainkan rambutnya. Garu ke, carik uban ke atau usap pun boleh. Cuba mainkan jari di bahagian telinga. Nanti ucap terima kasih kat saya.
▶️ Cuba amalkan menyikat rambut pasangan. Kesannya amat positif. Jika pasangan berambut panjang, buat perlahan-lahan. Jika rambut suami pendek, buat dengan cepat dan kemas. Bila rambutnya sudah terurus, jangan pula kita kacau. Boleh gaduh pulak nanti. Hehe..
▶️ Selalu pegang dengan lembut lengan atau pinggang pasangan. Ini boleh dibuat sama ada bila berjalan atau semasa berdiri menunggu apa-apa. Jangan nampak seperti memaksa. Perlu mulakan sedikit-sedikit. Ada yang hati keras, tak suka sentuhan. Tapi cuba je sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan. Kalau tak berjaya hari ini, esok lusa ada lagi. Nanti bila dah biasa, boleh cengkam-cengkam geram pulak.
▶️ Ini yang paling hebat. Pelukan. Tak semestinya pelukan ghairah. Hanya pelukan sayang dan tak perlu lama pun. 2 3 saat pun dah cukup. Kalau dapat lagi lama lagi bagus. Boleh pilih untuk buat sebelum pergi kerja, selepas pulang dari kerja, bangun pagi, sebelum tidur, peluk dari belakang semasa dia masak, peluk tanda terima kasih jika pasangan buat sesuatu yang menggembirakan dan lain-lain situasi lagi. Tak perlu buat semua, buat salah satu pada permulaan je pun dah cukup. Nanti dah biasa, buatlah banyak-banyak.
▶️ Geletek pasangan. Ini perlu hati-hati dan jangan terlebih. Ada orang suka, ada yang tak suka. Kenali pasangan anda dahulu. Cuba sekali dua dahulu. Kalau nampak dia marah, tak perlu buat dah. Kalau dia tergelak atau seronok, boleh buat lagi.
2. Senyum
Kalau mulut sukar untuk meluahkan, senyum je.
▶️ Bila dia selesai berpakaian untuk ke luar, senyum. Itu tanda anda suka, anda sayang, anda memuji dia cantik atau segak tanpa berkata apa-apa. Hebat kan?
▶️ Bila isteri sedang atau telah selesai masak, berikan dia senyuman tanda terima kasih dan anda menghargainya.
▶️ Sebelum meninggalkan pasangan. Sama ada mahu pergi kerja atau keluar ke kedai. Sebelum pintu rumah ditutup, lemparkan sahaja satu senyuman manis buat pasangan. Tinggalkan mood yang baik. Pasti dia tersenyum sendiri.
▶️ Bila pulang dari kerja, berikan senyuman yang menandakan anda bersyukur kerana telah pulang ke rumah dan anda telah meninggalkan kerja di tempat kerja. Setkan mood pulang anda itu di tahap yang baik.
▶️ Senyum secara rawak atau spontan kepada pasangan. Bila dia tidak memandang, berikan senyuman padanya, bercakaplah dalam hati, “hensemnya laki aku ni” atau “comel bini aku ni”. Biar dia perasan yang anda sedang tersenyum melihat dia. Kalau dia tanya kenapa, boleh jawab sebab dia hensem atau cantik, atau jawab je “takde pape”. Pasti best!
3. Buat Apa Yang Disukai Pasangan
Ada sahabat saya cakap, suami dia beli ayam gunting RM6 pun dia dah rasa romantik sangat. Kenapa? Kerana suami dia TAHU apa yang isterinya suka dan buat.
▶️ Beli atau masak makanan kegemarannya. Tak semestinya yang besar atau mahal. Kadang-kala dia suka keropok jenama Cachos, kalau anda belikan, pasti dia tersenyum. Ataupun jika pasangan suka makan seaweed, belikanlah bila teringat. Pasti dia suka. Kalau ada rezeki lebih, beli makanan kegemaran dia. Mungkin dia suka burger, mungkin dia suka sushi, mungkin dia suka makan di Nandos. Jika mampu, bawak dia sekali sekala. Kalau pasangan jenis suka masakan anda, masak apa yang dia suka. Cukup dapat lihat dia makan dengan bersungguh pun kita dah seronok kan?
▶️ Jika pasangan suka anda buat sesuatu, buatlah. Contohnya pasangan suka anda berzumba, berzumbalah sampai penat. Jika pasangan suka anda bersukan atau ke gym, pergilah. Jika pasangan suka anda buat lawak, jadilah tukang lawak buat dia. Jika pasangan suka nyanyian anda, menyanyilah selalu. Jika pasangan suka anda mengaji, amalkan baca Quran berdekatan dengannya. Pasti dia hargainya.
▶️ Boleh juga masuk bab jangan buat apa yang pasangan tidak suka anda buat. Contohnya, dia tak suka anda geletek dia. Jangan buat dah. Jika dia tak suka nyanyian sumbang anda, jangan sakitkan telinga dia. Jika dia tak suka anda like gambar lelaki atau perempuan lain, jangan buat dah. Mudah kan?
▶️ Layan minat dan hobinya selagi ia tak memudharatkan. Tunjukkan minat untuk ambil tahu. Kalau tak faham pun takpe. Cukup sekadar beri dia ruang untuk melayan hobinya. Kalau hobinya anda pun suka, pasti dia sangat seronok jika dapat dilakukan bersama.
▶️ Solat berjemaah. Mungkin ramai yang anggap Solat berjemaah ini memang kena buat dan perkara wajib. Memang betul. Tapi ini juga salah satu dari cabang romantik. Dari rohani hinggalah fizikal. Pasangan pasti rasa manis bila dapat solat berjemaah bersama.
4. Permudahkan Urusan Pasangan
▶️ Bantu suami bersiap. Sediakan pakaiannya yang kemas. Si suami pun boleh bantu isteri dalam membuat kerja rumah. Basuh pinggan, basuh kain, sidai dan lipat kain, sapu rumah, kemas bilik dan ruang tamu atau basuh tandas. Bukan suruh buat hari-hari. Bila perlu je. Boleh jugak tolong isteri masak sekali-sekala asalkan jangan sampai menyusahkan. Karang ada yang “dah la abang, biar sayang je masak, abang pergi tengok tv”. Pasti ramai yang suka kan? Tapi tak romantiklah.
▶️ Tolong jaga anak bila isteri makan. Sama ada di rumah atau di luar. Kadang-kadang, cuba bagi can isteri makan dahulu. Mesti dia hargainya nanti.
➡️ Ucapkan secara lisan I love you. Cakap sekali sekala boleh. Cakap setiap kali sebelum pergi kerja boleh. Sebelum tidur, sebelum pergi kedai, sebelum keluar dari rumah ataupun secara rawak tanpa dirancang.
➡️ Jika tak mampu bercakap, taip. Kadang-kala ada yang malu nak keluarkan suara. Taip sahaja di whatsapp. Atau yang paling mudah, emoji. Emoji ❤ ini kecil je, tapi sangat-sangat bernilai. Bagi je sekali-sekala atau selalu. Nak selitkan dalam perbualan di whatsapp pun boleh. Pasti pasangan akan nampak punya. Dia balas atau tidak itu soal lain. Buat sahaja bahagian kita. Jangan risau, 1 emoji ini tidak akan membinasakan. Kecuali kalau diberi kepada orang lain. Hahaha..
➡️ Google kata-kata cinta, ambil satu dua dan cuba sekali-sekala. Atau yang lagi bagus, cakap terus kata cinta dari hati. Sama ada “I sayang sangat kat U” atau “I tak boleh kalau U pergi lama-lama, rindu sangat”. Benda-benda yang dulu kita selalu cakap masa bercinta pun ok.
2. Imbau Kenangan Semasa Bercinta
➡️ Masa bercinta semuanya indah kan? Boleh je bersama dengan pasangan cerita kembali kenangan dulu. Benda yang kelakar, benda yang manis, yang memalukan ke pun takpe, pasti akan tergelak bila teringat. Cuba sama-sama ingat kembali masa dating, masa kali pertama jumpa, kali pertama declare, kali pertama kenalkan kepada keluarga dan lain-lain.
➡️ Boleh juga jadikan kenangan lama sebagai pengajaran, kesilapan lalu yang sama-sama mahu tambah baik dan ubah. Atau pun kesusahan lalu yang sudah berjaya atau sedang diatasi. Ini pun satu perkara yang romantik apabila pemikiran suami dan isteri berfikir perkara yang sama.
3. Tanya dan Komunikasi
➡️ Apa yang bermain di fikiran pasangan? Tanya. Apa yang disukai dan tidak disukainya, tanya. Apa yang merunsingkan fikirannya, tanya. Apakah harapannya, tanya. Apakah cita-citanya serta angan-angannya, tanya. Apakah kesilapan kita, pun boleh tanya. Jangan diam. Jangan ingat kita boleh faham sendiri dan jangan ingat kerut di keningnya akan hilang sendiri. Mungkin di luar tak nampak, di dalam hati tak siapa yang tahu jika tidak bertanya.
4. Pujian dan Bisikan
➡️ Selalulah memuji pasangan. Hargai setiap perbuatannya. Kalau suami tak reti masak, bila dia masak nasi atau telur goreng pun pujilah. Yang penting dia cuba. Atau pun isteri anda pandai masak, puji. Jangan ambil mudah, nak pandai masak tu bukan senang. Lagipun, perut kita pun happy betul tak?
➡️ Puji kecantikan dan kehenseman pasangan. Ucapkan dengan kata-kata. “Cantiknya sayangkuuuu” atau “Abang ni hensem macam Shah Rukh Khan la”. Tak salah pun puji tu. Tak luak langsung. Bukan kena bayar pun. Pujilah selalu. Biar dia rasa biasa pun. Puji je. Takde benda buruk yang boleh datang dengan pujian. Kecuali memuji laki atau bini orang lain. Kah kah kah..
➡️ Bisik manja di telinga dia. Bisik je ape-ape pun. Benda biasa boleh, benda yang seksi pun boleh. “Geram tengok abang hari ni”. “Kenapa cantik sangat ni?”. “I love U”. Atau “hmmmmmmmm”. Nak best lagi, gigit manja telinga dia. Amaran. Apa yang jadi selepas itu, tanggunglah sendiri ye. Hahaha..
Banyak yang kita boleh buat, pilih dan olah mengikut kesesuaian pasangan dan keluarga anda. Perlu ingat, jangan memaksa dan membanding-bandingkan. Semuanya perlukan masa. Semuanya perlukan latihan dan kesesuaian.
Semoga perincian ini dapat menambah kemanisan dan keghairahan dalam hubungan suami isteri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla bersama kawannya bernasib baik kerana terselamat selepas melanggar kenderaan yang diparkir di bahu jalan semalam.
Kanak-kanak itu difahamkan memandu kereta milik keluarganya sekitar jam 9.30 malam di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kanak-kanak terbabit bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun namun tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan jirannya.
“Kereta itu dari arah Apartment Arowana Impian menuju ke arah Taman Arowana Impian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, semasa melalui satu selekoh, kereta dipandu terbabas dan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
Tambahnya, kejadian itu telah menyebabkan van itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
“Semua pihak dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga perlu memerhati serta memantau tindakan anak-anak di bawah jagaan.
“Ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan, jika pesalah adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan dikenakan tindakan,” katanya.
Ahli kumpulan nasyid UNIC, Dr Haris Fitri, kini melalui detik yang cukup mencabar apabila anak kesayangannya terpaksa menerima rawatan di hospital.
Menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, penyanyi berkenaan berkongsi keadaan anaknya, Adwa Qalbi, yang ketika itu ditempatkan di Zon Pemantauan Rapi (merah) susulan paras oksigen yang membimbangkan.
“Pohon doakan buat anakanda kami Adwa Qalbi supaya cepat sembuh. Kini berada di zon kritikal (merah) pemantauan rapi kadar oksigen. Andai dapat abi dan mama ambil semua kesakitanmu, anakku…” tulisnya penuh sebak.
Luahan tersebut jelas menggambarkan perasaan seorang ayah yang tidak sanggup melihat anaknya menanggung kesakitan, apatah lagi dalam keadaan kritikal di hospital.
Bagaimanapun, dalam hantaran berasingan, Dr Haris Fitri (UNIC) memaklumkan perkembangan yang lebih positif apabila Adwa Qalbi telah dipindahkan dari wad kritikal ke wad pemantauan, sekali gus memberi sedikit kelegaan buat keluarga mereka.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan anaknya.
Menurut perkongsian terbaharu, Adwa kini menunjukkan perkembangan baik selepas menerima rawatan intensif.
“Alhamdulillah anakanda Adwa Qalbi dah dipindahkan dari zon kritikal (merah) ke wad untuk pemantauan. Doktor sahkan Adwa diuji pneumonia. Terima kasih yang tak putus-putus mendoakan,” tulisnya.
Perkongsian tersebut jelas menggambarkan kelegaan seorang ayah selepas melalui saat getir melihat anak berada dalam keadaan kritikal, lebih-lebih lagi apabila melibatkan masalah pernafasan dan paras oksigen.
Dalam kapsyen yang disertakan, Dr Haris Fitri turut meluahkan isi hati mewakili semua ibu bapa yang sedang diuji dengan kesakitan anak:
“Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya sakit, sama ada sakitnya fizikal atau emosi. Terima kasih ibu dan ayah.”
Dalam pada itu, di hantaran yang sama Dr Haris Fitri turut berkongsi maklumat mengenai tanda-tanda pneumonia yang dihidapi oleh anaknya.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan doa dan kata-kata semangat, mendoakan agar Adwa Qalbi terus diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan. Ramai yang turut berkongsi rasa simpati serta kagum dengan ketabahan Dr Haris Fitri dan keluarganya dalam menghadapi ujian ini.
Sesungguhnya, ujian melibatkan anak adalah ujian paling berat buat ibu dan ayah. Setiap hembusan doa menjadi kekuatan untuk terus kuat. Semoga Adwa Qalbi terus kuat, kembali sihat sepenuhnya, dan dapat tersenyum riang seperti sedia kala.
Hakikatnya, tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak menanggung kesakitan — sama ada secara fizikal mahupun emosi. Doa, sokongan dan kasih sayang daripada orang sekeliling menjadi kekuatan terbesar buat setiap ibu dan ayah yang sedang diuji.