Hernia atau lebih sinonim dengan penyakit angin pasang adalah gangguan masalah kesihatan melibatkan penonjolan keluar organ atau tisu lembut melalui bukaan otot lemah pada bahagian abdomen. Hernia kelihatan seperti benjolan kecil pada kulit.
Keadaan ini berlaku kerana kelemahan otot perut dan boleh berkembang dalam beberapa bulan selepas bayi dilahirkan.
Tanda angin pasang bayi lelaki dan perempuan:
Hernia yang paling biasa pada bayi dan kanak-kanak adalah hernia inguinal dan umbilical.
Hernia inguinal
Terjadi pada bahagian pangkal paha. Ia boleh berkembang sebagai benjolan kecil pada pangkal paha atau memanjang dalam skrotum atau labia.
Selalunya bayi dan kanak-kanak akan mengalami hernia jenis ini, terutamanya bayi pramatang. Tanda angin pasang bayi lelaki ini lebih kerap terjadi berbanding kepada bayi perempuan.
Hernia umbilikal
Hernia pada pusat ini berlaku kerana kelemahan atau bukaan pada bahagian otot abdomen sekitar pusat di bawah kulit. Usus kecil mungkin menjulur keluar melaluinya,
Biasanya benjolan ini akan jelas kelihatan apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.
Risiko kes hernia adalah lima kali ganda pada anak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan kerana fisiologi terutama bahagian genital lelaki yang lebih memiliki hubungan atau fungsi rapat dengan bahagian sarung atau selaput terbabit. Selain itu, bayi pramatang juga lebih berisiko untuk menghadapi masalah terbabit.
Bayi pramatang
Ini kerana dinding otot dalam perut belum berkembang sepenuhnya.
Bayi lelaki
Ini kerana hernia mudah terbentuk pada ruang di mana testis turun. Benjolan pada skrotum merupakan paling biasa terjadi.
Ia terjadi jika laluan antara skrotum dan perut tidak tertutup semasa tumbesaran bayi di dalam rahim.
Benjolan mungkin tidak kelihatan sepanjang masa sebaliknya hanya apabila si manja meneran, menangis, menyusu atau membuang air besar.
Tanda angin pasang bayi lelaki dan perempuan. Antara simptom angin pasang pada bayi adalah:
*Benjolan atau bengkak berhampiran pangkal paha atau pusat
*Sakit atau kelembutan (tenderness) sekitar pangkal paha
*Tangisan atau meragam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya
*Benjolan yang kelihatan semakin besar semasa meneran, menangis atau batuk
Dalam kebanyakan kes, masalah angin pasang yang dialami bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius jika tidak dirawat. Jadi penting untuk ibu bapa membawa si kecil melakukan pemeriksaan dengan pakar pediatrik jika wujud sebarang tanda hernia.
Boleh sembuh atau tidak?
Hernia umbilikal akan tertutup sendiri dalam masa satu atau dua tahun selepas kelahiran. Untuk hernia kecil – bersaiz kurang daripada satu setengah inci – 85% daripadanya mungkin akan tertutup tanpa pembedahan.
Jika bukaan besar dan kekal terbuka melebihi usia 2 tahun atau wujud komplikasi, ia perlu dirawat dengan pembedahan.
Hernia inguinal tidak akan hilang dan mempunyai risiko berkembang sebagai hernia terbelit (strangulated hernia). Risiko komplikasinya adalah lebih tinggi berbanding hernia umbilikal.
Kesan jangka panjang
Sebaik sahaja hernia hilang atau dirawat, kebanyakan bayi tidak mempunyai kesan sampingan yang berpanjangan.
Tetapi jika berlaku hernia terbelit dan bekalan darah terputus, ia boleh menyebabkan kerosakan pada usus atau zakar.
Cara merawat tanda angin pasang pada bayi
Pilihan rawatan bergantung kepada jenis hernia:
*Hernia inguinal. Biasanya diatasi dengan pembedahan
*Hernia umbilikal. Ia mungkin akan menjadi kecil dari masa ke masa
*Hernia terbelit. Mesti dirawat segera dengan pembedahan
Terdapat dua teknik yang digunakan dalam pembedahan hernia untuk bayi:
*Pembedahan terbuka memerlukan hirisan kecil sama ada di bawah atau melalui pusat untuk hernia umbilikal. Untuk hernia inguinal, hirisan kecil dibuat di pangkal paha, biasanya di sepanjang lipatan kulit semula jadi
*Pembedahan laparoskopi memerlukan beberapa hirisan kecil di perut dan pangkal paha
Ibu bapa perlu lebih peka dan prihatin dengan perubahan anak terutama jika anak meragam dan meneran kesakitan. Elak bergantung kepada pendapat orang lain selain pakar perubatan.
Sumber: Hello Doktor
Baca artikel lain:
Baby Hampir Kena Buat Surgery Dua-Dua Anak Lelaki Kena Angin Pasang, Isteri PU Abu Kongsi Pengalaman
Bukan Isteri Saja, Rupanya Suami Pun Boleh Buat Senaman Kegel, Kuatkan Rahim Elak Angin Pasang!
Anak Tak Selesa, Senak Dan Sakit Tapi Mak Ayah Tak Perasan, Angin Pasang Boleh Undang Bahaya!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my