Penyakit beguk, ibu bapa jangan ambil mudah, ketahui gejala dan cara rawat. Beguk merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan pembengkakkan dan rasa sakit pada kelenjar parotid.
Penyakit Beguk, Ibu Bapa Jangan Ambil Mudah, Ketahui Gejala & Cara Rawat
Ia mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Penyakit beguk boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.
Apakah tanda-tanda dan gejala-gejala beguk?
Tanda dan gejala jangkitan bermula selepas 12-25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin menghadapi:
Demam
Sakit kepala
Mulut kering dan hilang selera
Sakit ketika membuka mulut / semasa makan
Keletihan
Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid
Gejala-gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.
Adakah ia satu penyakit yang ringan(biasa)? Walaupun semua orang yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, kadang-kadang komplikasi juga boleh berlaku seperti:
Encephalitis (Radang pada otak).
Meningitis (Radang pada lapisan otak).
Pancreatitis (Radang pada pankreas).
Orchitis (Radang pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
Pekak
Bagaimanakah ia dirawat?
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit
Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid
Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melagakan kesakitan.
Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.
Bolehkah ia dicegah?
Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 2 bulan dan kemudian ketika berumur 1 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps,measles and rubella) ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.
Bolehkah dijangkiti jika telah divaksin?
Ads
Boleh jika berhubung rapat dalam masa lama dengan pesakit tetapi keterukan adalah lebih rendah berbanding kanak-kanak yang tidak divaksin. Pengasingan kes adalah penting untuk mencegah perebakan.
Kelahiran terutama sekali secara pembedahan mempunyai risiko yang tinggi untuk terjadinya tumpah darah. Ibu ayah wajib untuk ambil tahu risiko yang mungkin boleh berlaku semasa selepas proses kelahiran tersebut.
Menurut Dr Mastura Mohd Mokhtar, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, KPJ Selangor, tumpah darah adalah salah satu komplikasi yang boleh terjadi semasa proses kelahiran sama ada kelahiran normal atau caesarean.
Caesarean telah dikenal pasti boleh menyebabkan pendarahan yang lebih banyak dari bersalin normal dengan anggaran maksimum darah yang keluar boleh mencecah 1L.
Manakala anggaran maksimum darah semasa bersalin normal adalah 500ml. Oleh itu seseorang wanita itu akan dikatakan telah mengalami tumpah darah sekiranya anggaran darah selepas bersalin melebihi 500ml untuk bersalin normal atau melebihi 1 liter untuk bersalin caesarean.
9 KEADAAN YANG BOLEH MENINGKATKAN RISIKO TUMPAH DARAH
Terdapat 9 keadaan yang boleh meningkatkan risiko terjadinya pendarahan selepas kelahiran kepada ibu.
#1 URI BAWAH
Uri bawah (placenta previa) yang dapat disahkan apabila kandungan tujuh bulan ke atas. Keadaan ini terbahagi kepada empat tahap. Tahap yang paling serius ialah tahap 3 dan 4. Hal ini biasa berlaku kepada ibu-ibu yang mempunyai parut pada dinding rahim akibat caesarean pada kelahiran terdahulu atau pembedahan fibroid, pernah melakukan D&C, kehamilan hasil kaedah IUI atau IVF, ibu mempunyai sejarah uri bawah pada kehamilan sebelum ini atau mempunyai sejarah infeksi/radang pada rahim (endometritis).
#2 URI LEKANG
Uri lekang (placenta abruptio) yang berlaku apabila uri lekang/tercabut sebahagian atau sepenuhnya dari dinding rahim lebih awal iaitu sebelum bayi lahir. Ia sering terjadi pada ibu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi semasa hamil, Pre-eklamsia, mengalami trauma pada perut, sejarah uri lekang, air ketuban terlalu kurang disebabkan uri tidak sihat atau air ketuban pecah awal.
#3 URI MELEKAT
Uri melekat (placenta accreta/increta/percreta) berlaku apabila berlaku lekatan akar uri ke dalam otot rahim hingga ada kalanya sehingga ke dinding pundi kencing menyebabkan ia tidak boleh dikeluarkan secara normal.
#4 HB RENDAH
Ibu yang mempunyai tahap HB yang rendah mempunyai risiko pendarahan kerana rahim tidak kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.
#5 ANAK KELIMA KE ATAS
Ibu yang bersalin anak kelima dan ke atas kerana otot rahim sudah kurang kenyal dan kuat untuk mengecut secepat mungkin selepas bersalin.
#6 RAHIM MEMBESAR MELEBIHI KEBIASAAN
Pengembangan rahim yang lebih daripada normal semasa mengandung sama ada disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak atau saiz bayi terlalu besar (4kg ke atas).
#7 PENYAKIT BERKAITAN DARAH
Ibu menghidapi hemofilia atau trombofilia yang menyebabkan kegagalan darah membeku atau berhenti.
#8 RAHIM PECAH
Rahim pecah (uterine rupture) semasa proses bersalin bagi ibu yang melahirkan anak kelima ke atas , pernah melalui caesarean, jarak caesarean kurang daripada 18 bulan atau bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin (obstructed labour).
#9 PROLONGED LABOUR
Prolonged labour di mana proses kelahiran berlangsung terlalu lama contohnya lebih daripada 12 jam . Ia boleh disebabkan oleh kedudukan kepala bayi yang tidak normal seperti occipo-transverse/occipito-posterior dan kes paksa salin/induksi. Keadaan ini juga boleh menyebabkan rahim tidak mengecut atau uterineatony selepas bersalin.
RAWATAN BAGI IBU TUMPAH DARAH SEMASA BERSALIN
Biasanya semasa kelahiran, rahim akan segera mengecut selepas bayi dan uri dikeluarkan. Pengecutan yang kuat ini bertindak menutup salur darah yang terbuka terutama di kawasan uri melekat pada dinding rahim. Namun bagi ibu yang menghadapi tumpah darah, salur darah yang terbuka tidak tertutup sepenuhnya kerana rahim yang tidak mengecut atau uri tidak berpisah sepenuhnya.
Bagi keadaan rahim yang tidak mengecut sejurus selepas kelahiran (uterineatony) doktor akan mengambil langkah untuk mempercepatkan proses rahim kembali kepada asal dan menghentikan pendarahan dengan beberapa langkah.
Mengurut bahagian atas rahim.
Memberikan ubat mengecutkan rahim contohnya Sintometrin atau
Melakukan tekanan/compresi kepada rahim
Menyusukan bayi secepat mungkin.
Bagi kes pendarahan yang teruk, pembedahan dilakukan secepat mungkin. Rahim akan diikat supaya ia cepat mengecut.
Jika usaha ini tidak berjaya menghentikan pendarahan yang boleh mengancam nyawa ibu, pembedahan untuk membuang rahim (hysterectomy) terpaksa dilakukan.
Tahukah anda? Tumpah darah atau postpartum hemorrhage boleh berlaku kepada 6 wanita bagi setiap 100 kelahiran.
PERSEDIAAN BAGI IBU BERISIKO TINGGI
Bagi ibu yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk mengalami pendarahan, mereka perlu sentiasa berwaspada. Ambil langkah awal untuk menghadapi proses kelahiran dengan persediaan dari segi mental dan fizikal.
Mendapatkan rawatan, pemeriksaan dan pemantauan daripada hospital yang mempunyai pakar perbidanan dan sakit puan.
Mengelakkan bersalin secara caesarean kecuali tiada pilihan lain contohnya uri bawah atau bayi songsang. Bersalin normal adalah terbaik.
Memastikan paras hemoglobin adalah pada tahap optimum atau sekurang-kurangnya 11g/dl sebelum bersalin.
Bersalin di hospital yang mempunyai kelengkapan dewan bedah yang lengkap dan bank darah.
Memastikan jarak antara kelahiran lebih dari 18 bulan terutama ibu yang pernah melahirkan secara caesarean dengan menggunakan kaedah perancangan keluarga yang sesuai.
Memastikan BMI yang normal sebelum kehamilan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu bapa sering menganggap bahawa penjagaan gigi anak hanya bermula selepas gigi mereka tumbuh. Salah tanggapan tersebut. Penjagaan oral dan gigi bayi khususnya mesti bermula sejak awal, iaitu daripada si manja lahir lagi. Masalah kerosakan gigi bayi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertamanya tumbuh.
Bila gigi pertama bayi tumbuh?
Lazimnya, bayi akan mula tumbuh gigi pertama semasa usia enam hingga lapan bulan, malah ada juga yang baru tumbuh gigi semasa usia setahun. Gigi mereka akan lengkap sepenuhnya semasa usia kanak-kanak tiga tahun.
Bagaimana penjagaan oral untuk bayi dan kanak-kanak?
Penjagaan oral atau mulut bayi perlu dilakukan secara berterusan setiap hari. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, anda perlu mula menjaga gusi bayi. Penjagaan gusi ini tidak memerlukan anda untuk menggunakan berus serta ubat gigi.
Ibu bapa disarankan untuk melakukan penjagaan gusi dan mulut bayi selepas anak menyusu dan sebelum bayi tidur. Caranya adalah dengan melembapkan kain yang lembut, kemudian, gosokkan lembut pada gusi si manja bagi membersihkan sisa-sisa susu pada mulutnya. Lakukan cara ini sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengelakkan bakteria daripada melekat pada gusi.
Jika gigi pertama bayi sudah tumbuh, teruskan rutin penjagaan oral bayi seperti di bawah:
-Bersihkan gigi pertama yang baru tumbuh dengan meletakkan sedikit ubat gigi berfluorida pada kain lembut dan sapukan pada gigi bayi.
-Jika gigi geraham sudah tumbuh, anda boleh mula menggunakan berus gigi khas untuk bayi yang banyak dijual di pasaran. Letakkan ubat gigi khas untuk bayi sebesar saiz biji kacang pis pada berus gigi tersebut.
-Berus di sekitar lidah dan gusi untuk menghilangkan bakteria tersembunyi dan mengelakkan mulut bayi berbau.
-Lakukan rutin ini dua kali sehari iaitu sewaktu bangun tidur pada waktu pagi dan pada malam hari sebelum tidur.
-Bawa bayi anda berjumpa doktor gigi semasa gigi pertamanya tumbuh ataupun selewat-lewatnya semasa usia bayi setahun. Doktor gigi akan memberikan nasihat tentang cara-cara penjagaan gigi bayi kepada ibu bapa.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernah tak anda terfikir kenapa doktor seperti obses dengan berat bayi di dalam kandungan ketika anda sedang hamil? Setiap kali ujian ultrasound dijalankan, pasti doktor akan memberitahu anda akan anggaran berat bayi anda.
Nilai berat tersebut bukan sengaja direkodkan. Ia mempunyai matlamat dan anggaran risiko masalah kesihatan jika bayi dilahirkan pada berat di bawah nilai normal. Kajian menunjukkan bahawa semakin tinggi berat kelahiran (dalam lingkungan nilai normal), semakin sihat bayi anda.
Betul ke? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.
Perihal berat bayi dan masalah kesihatan
Berat lahir adalah maklumat penting yang sering diberitahu kepada ibu seusai melahirkan anak terutamanya jika mengalami komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil) dan preeklampsia.
Populasi umum menganggap semakin berat bayi yang baru lahir, semakin sihatlah bayi tersebut. Walaupun nilai berat lahir tinggi boleh juga dikaitkan dengan masalah diabetes, namun bayi yang lahir pada berat di bawah paras normal turut mempunyai risiko kematian dan morbiditi yang lebih tinggi.
Pelbagai jenis kajian telah menunjukkan kaitan di antara berat lahir dengan masalah kesihatan yang bakal dihadapi oleh mereka kelak ketika dewasa.
Kajian oleh Hospital Umum Southampton dan Institut Kesihatan Awam Nasional di Finland telah menunjukkan bahawa, mereka yang lahir dengan berat kurang daripada paras normal berisiko untuk mendapat masalah kegagalan jantung dan strok.
Penyakit tersebut mempunyai faktor risiko yang pelbagai namun perlu juga diingatkan jika berat badan mereka naik secara mendadak, ia juga boleh menyebabkan risiko kesihatan.
Oleh sebab itulah penting bagi ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor bagi mengawasi parameter tumbesaran mereka. Pemberian nutrisi dan sasaran kenaikan berat badan perlu realistik bagi mengelakkan komplikasi kesihatan.
Kenapa diabetes sebabkan berat lahir tinggi melebihi paras normal?
Teori di sebalik kenaikan berat badan semasa lahir bagi bayi kepada ibu yang mengalami diabetes gestasi pernah diterangkan oleh Jorgen Pederson. Beliau merupakan seorang ahli epidemiologi yang giat mengkaji berkenaan dengan masalah diabetes ketika hamil.
Ketika hamil, rembesan pelbagai jenis hormon seperti estrogen, progesteron, kortisol dan human placental lactogen menyebabkan kandungan gula di dalam darah ibu meningkat. Ketika waktu tersebut, tahap kerintangan insulin juga turut meningkat menyebabkan ibu didiagnosis dengan diabetes gestasi.
Menurut Pedersen, oleh sebab gula boleh merentasi uri, bayi di dalam kandungan juga mempunyai jumlah gula dalam darah yang tinggi. Suntikan insulin yang diambil oleh ibu tidak boleh merentasi uri maka bayi tersebut harus menghasilkan insulinnya sendiri.
Organ pankreas bayi mula menghasilkan insulin pada paras yang tinggi menyebabkan pengumpulan lemak dan protein pada badan bayi. Untuk makluman pembaca, gula boleh disimpan di dalam sel lemak dengan bantuan hormon insulin.
Oleh sebab itulah berat bayi kepada ibu diabetes kebiasaannya tinggi sewaktu lahir. Perubahan fisiologi ini, walaupun membantu, boleh menyebabkan komplikasi hipoglisemia jika insulin masih lagi tinggi dan bayi sudah terputus bekalan dengan salur darah ibu melalui uri.
Berat lahir rendah tingkatkan kadar kematian bayi
Bayi yang dilahirkan dengan berat yang rendah berisiko untuk mengalami pelbagai jenis komplikasi kesihatan seperti masalah pernafasan, neurologikan dan kenaikan risiko untuk mengalami sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).
Rata-rata mereka yang mengalami kelahiran bayi dengan berat rendah adalah kembar, kelahiran pramatang dan bayi kepada ibu yang mengalami preeklampsia.
Oleh sebab individu yang mempunyai berat lahir rendah terdedah untuk mendapat komplikasi pelbagai sistem badan dan jangkitan kuman, mereka akan dijaga di hospital lebih lama berbanding dengan bayi lain.
Bayi Yang Lahir Kecil/Ringan Tak Semestinya Tak Cukup Zat
Masalah kesihatan yang kebiasaannya menyebabkan berat lahir rendah berkait dengan kelemahan pada sistem penghantaran nutrisi kepada janin yang sedang membesar. Kehamilan kembar sebagai contoh, nutrisi yang diambil oleh ibu akan dikongsi di antara 3 individu.
Tanpa pemantauan nutrisi yang rapi, masalah berat bayi rendah memang tidak dapat dielakkan. Bagaimana pula dengan preeklampsia? Proses patofisiologinya bagi mereka yang mengalami komplikasi kehamilan ini agak kompleks.
Namun, ia boleh menyebabkan aliran darah kepada janin yang sedang membesar berkurangan. Ini akan menyebabkan satu keadaan yang dikenali sebagai intrauterine growth restriction atau sekatan tumbesaran di dalam rahim.
Ia menyebabkan individu yang lahir mempunyai berat bayi rendah.
Semakin tinggi berat bayi semasa lahir, semakin baik kesihatan jantung mereka kelak
Ujian kecergasan
Kajian yang telah diterbitkan oleh Viktor et al di laman jurnal Persatuan Jantung Amerika pada 31 Januari 2020 menunjukkan bahawa tahap kesihatan jantung individu dewasa boleh dipengaruhi oleh berat lahir mereka.
Kajian ini melibatkan 286,761 subjek yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun. Mereka diarahkan untuk mengayuh basikal yang dilengkapi dengan alat ergometer. Jumlah watt yang terhasil akan direkod dan dibandingkan dengan subjek lain.
Data tersebut turut dibandingkan dengan maklumat berat lahir subjek dari Rekod Kelahiran Perubatan Sweden. Dapatan kajian menunjukkan bahawa semakin meningkat berat lahir subjek, semakin tinggi jumlah watt yang dihasilkan.
Peningkatan berat lahir tersebut tidak melebihi paras normal seperti dapatan klinikal pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami diabetes gestasi.
Viktor berpendapat bahawa peningkatan ini merupakan tanda kepada tahap kesihatan jantung yang dialami oleh subjek. Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai kesihatan jantung yang baik berisiko rendah untuk mendapat masalah kardiovaskular.
Walau bagaimanapun, kajian lanjut perlu dijalankan memandangkan tiada bayi pramatang dalam kalangan subjek.
Konklusi
Berat bayi adalah antara faktor penting yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu kelak. Kajian ini menunjukkan kepentingan dalam mendapatkan berat lahir tinggi (dalam lingkungan normal) untuk memastikan risiko terhadap penyakit kardiovaskular rendah kelak.
Jika berat bayi anda berada dalam lingkungan tidak memuaskan, tidak bermakna mereka akan mengalami masalah jantung atau strok. Namun, pantauan perlu dilakukan sebaiknya bagi memastikan mereka membesar dengan sihat.
Followers Pa&Ma yang nak dapatkan barangan penjagaan diri boleh klik di SINI
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cara kenalkan telur kepada bayi dengan selamat, langkah demi langkah dari minggu ke minggu. Ketahui bila boleh mula, tanda alergi dan tip penting untuk elak risiko pada si manja.