Untuk melatih anak berfikir sejak kecil terdapat pelbagai cara antaranya melakukan aktiviti diluar rumah. Ini kerana otak kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal antara 0 hingga enam tahun amat aktif berfikir. Selain bermain dengan barang permainan yang merangsang minda, ibu ayah perlu biarkan anak-anak melakukan ktiviti-aktiviti diluar rumah (outdoor activities). Ia penting untuk membentuk pemikiran si kecil manja.

Oleh itu, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk meneroka dunia sekeliling dengan bebas. Ikuti enam aktiviti diluar rumah yang boleh membantu anak anda untuk mula berfikir secara aktif lagi produktif.

Berdasarkan perkongsian, Dr Airil Haimi Mohd Adnan yang merupakan Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, ada enam aktiviti yang boleh anak lakukan untuk merangsang anak berfikir.

Penyelidik Pra Formal Ini Seru Ibu bapa Biarkan Anak Bermain Luar Rumah Untuk Latih Anak Berfikir

Aktiviti 1

Lawatan sambil belajar’ ke mana sahaja

Saya pasti mama dan papa semua tahu manfaat aktiviti seperti ini. Aktiviti lawatan sambil belajar bukan hanya membuat si kecil teruja, malah kita orang dewasa ini pun teramat suka kalau kita diberi peluang untuk melawat tempat-tempat yang baru sambil menambah pengalaman yang sedia ada. Untuk si kecil anda, lawatilah tempat-tempat yang ada berdasarkan kemampuan. Tidak semestinya anda membawa si kecil itu terbang ke tempat peranginan di luar negara sahaja! ‘Lawatan sambil belajar’ ke pasar basah, ke zoo berdekatan, ke taman bunga atau tempat-tempat ‘biasa’ lain juga pasti memberi kesan positif ke arah pembentukan minda si kecil.

Aktiviti 2

IKLAN

Bermain lasak di kawasan yang sesuai

Kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal amat senang jika diberi peluang untuk melompat, memanjat, berayun, berlari dan melakukan pelbagai aktiviti lasak lagi. Mereka mungkin akan jatuh dan luka, pada masa yang sama semua ini pasti memberikan pengalaman hidup kepada mereka yang amat perlu untuk pembinaan fakulti pemikiran. Minda yang aktif lagi produktif adalah kesan dari aktiviti bermain lasak, misalnya bermain di padang permainan dengan kanak-kanak lain. Lebih elok jika ada kanak-kanak lain bersama kerana si kecil kesayangan papa dan mama juga akan belajar bersosial dengan cepatnya. Tapi, pastikan si kecil diselia, ya! Janganlah benarkan dia bermain bersendirian.

Aktiviti 3

Beriadah sambil memerhati dan bercerita

Aktiviti riadah tidak semestinya melibatkan aktiviti lasak berlari ke sana dan ke mari sahaja, atau melibatkan perjalanan jauh ke luar negara yang akan melibatkan kos yang tinggi. Antara aktiviti yang amat disukai oleh si kecil adalah yang berbentuk pemerhatian dan penceritaan. Bersama mama atau bersama papa (selalunya bersama dengan papa), bawalah si kecil bersiar-siar di tempat baharu atau tempat yang mungkin sudah pernah dilawati. Kemudian ajak si kecil memerhati keadaan sekeliling sambil bercerita mungkin tentang haiwan atau serangga yang dilihat, bunga-bungaan, pohon-pohon atau apa-apa sahaja!

IKLAN

Aktiviti 4

Teman cahaya bulan purnama

Selalunya, si kecil pada peringkat usia praformal akan berasa takut kepada kegelapan. Oleh itu, aktiviti yang dilakukan pada waktu malam seperti ini amat perlu demi untuk menghilangkan rasa takut itu. Aktiviti di bawah cahaya bulan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, asalkan ditemani oleh orang dewasa. Untuk papa serta mama yang berkemampuan, apa kata laburkan sedikit wang gaji untuk memberi teleskop? Bukan mahal pun harga teleskop sekarang ini. Aktiviti memerhatikan bulan dan bintang pasti membuat si kecil teruja! Nah, siapa tahu kalau-kalau aktiviti ini bakal melahirkan seorang ahli astronomi seperti Ibnu al-Haytham atau Galileo Galilei.

Aktiviti 5

IKLAN

Bermain berdasarkan imaginasi

Kalau disebut sahaja aktiviti di luar rumah, pastinya kita akan terfikir tentang aktiviti bermain bukan? Sebabnya mudah, kanak-kanak cenderung untuk belajar melalui aktiviti bermain. Aktiviti bermain yang memerlukan imaginasi tinggi sudah pasti memberi kesan yang amat positif kepada pembentukan pola pemikiran pada awal usia kanak-kanak. Kotak kadbod kosong yang besar lagi kuat, kain selimut yang sudah tidak digunakan, malah apa sahaja boleh digunakan untuk aktiviti berbentuk pembinaan. Jika ada ruang, rumah di atas pokok atau khemah di tepi rumah anda juga boleh menjadi tempat untuk melatih imaginasi tahap tinggi dalam minda si kecil tersayang.

Aktiviti 6

Aktiviti berbentuk pencerapan aktif

Kanak-kanak dalam peringkat usia pendidikan praformal bukan hanya mempunyai daya imaginasi yang tinggi, mereka kuat memerhatikan keadaan sekeliling mereka melalui deria mata dan telinga. Ambil peluang keemasan ini untuk membantu melatih kebolehan mencerap, mengamati sambil membuat rumusan. Sebagai contoh, ketika melihat haiwan melintas di depan rumah, minta si kecil mengira sebanyak mungkin haiwan yang dia lihat. Aktiviti berbentuk kesenian juga boleh dicuba dengan membantu si kecil melukis dan mewarna sesuatu yang dilihat di luar rumah anda. Yang pasti apa sahaja yang dilakukan akan membawa kesan yang positif dalam pembinaan minda dan fakulti kognitif atau pemikiran si kecil anda pada hari muka.

KESIMPULAN

Nyata, kanak-kanak dalam usia sebegini memerlukan pengalaman yang banyak untuk membentuk pola pemikiran awal mereka. Pengalaman yang banyak lagi berguna bukan hanya terbentuk di dalam rumah, di taska atau dalam kelas tadika sahaja. Pengalaman-pengalaman awal yang akan membantu membentuk pemikiran yang logik, rasional, kreatif dan divergen sebenarnya lebih banyak tertumpu kepada aktiviti di luar rumah, khasnya untuk peringkat usia pendidikan praformal.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI