Penyusuan Anak Melebihi 2 Tahun Tidak Salah, Yang Penting Ibu Kena Kental Hadapi Orang Sekeliling!

Share

Penyusuan anak melebihi 2 tahun tidak salah untuk dilaksanalan. Yang penting ibu kena kental hadapi orang sekeliling! Tapi kena ingat ini bukan penyusuan eksklusif.

Tahniah, anda sudah menyusukan anak selama dua tahun seperti yang digalakkan di dalam Islam! Kini, makin ramai ibu mengambil keputusan meneruskan amalan penyusuan susu ibu tetapi terpaksa menempuh cabaran yang datang daripada orang sekeliling.

Menurut IBCLC, Siti Nur Suraya Mohamed Ali pelbagai persoalan timbul apabila ada ibu yang mahu meneruskan amalan penyusuan susu ibu setelah anaknya mencecah usia dua tahun. Seharusnya hal sebegini tidak berlaku. Sebaliknya, mama kena yakini dan percaya bahawa proses menghentikan penyusuan susu ibu perlu dilakukan secara semula jadi dan tanpa paksaan.

JANGAN CERAI SUSU SECARA PAKSA!

Jangan lakukannya secara mengejut seperti meletakkan sesuatu pada payu dara ibu sebagai suatu usaha untuk merangsang si manja berhenti daripada berterusan menyusu susu ibu. Proses bercerai susu seperti ini boleh menggugat emosi anak, malah pada ibu itu sendiri. Beringatlah, adalah fitrah untuk anak berpisah susu dengan ibunya apabila tiba masanya.

Bagi anda yang nekad mahu meneruskan penyusuan susu ibu, berikut adalah soalan-soalan yang mungkin ditanya orang sekeliling. Turut disenaraikan ialah idea untuk anda respons kepad persoalan orang ramai dengan memberikan jawapan yang berhemah.

#1 HAH, MASIH MENYUSU LAGI?

Reaksi: Terima cemuhan dengan baik. Walaupun soalan bernada terkejut, ubah ia sebagai pujian. Jawab soalan tersebut dengan berkata, “Alhamdulillah, anak saya masih mahukan susu ibu. Ia memberikan perlindungan imunisasi dan zat yang optimum. Selain itu, ia membantu saya mencegah diri daripada barah payu dara dan serviks.

#2 ANAK TAK GIGIT KE? GIGI DIA KAN DAH BANYAK

Reaksi: Terangkan dengan lemah lembut bahawa sepanjang penyusuan, gigi bayi tidak akan terkena pada payu dara. Lekapan yang baik akan memberikan keselesaan dan ketenangan. Menerusinya, susu ibu akan mengalir dengan baik. Malah, penyusuan susu ibu dapat membantu bayi memperoleh gigi yang cantik. Hal ini berikutan daripada aktiviti menghisap susu daripada payu dara membantu pembentukan gigi yang akan tumbuh.

#3 ANAK TAK MAKAN KE?

Reaksi: Penyusuan susu ibu secara eksklusif ialah untuk tempoh enam bulan pertama sahaja. Selepas usianya genap 180 hari, bayi akan mula mengambil makanan pejal. Apabila memasuki fasa ini, susu ibu hanya sebagai pelengkap dan bukan lagi makanan utamanya. Bertenanglah ketika berhadapan dengan persoalan seperti ini. Ini kerana kadang kala soalan ini ditujukan oleh golongan yang tidak pernah mempunyai anak ataupun belum berkeluarga. Niatkan dalam hati bahawa jawapan yang anda berikan ini sebagai pengenalan awal kepada yang individu yang bertanya. Jadi, dia akan mempunyai maklumat asas tentang penyusuan susu ibu sebelum dia mempunyai bayi nanti.

#4 BILA NAK BERHENTI MENYUSU?

Reaksi: Anda boleh beritahu kepada yang bertanya bahawa doktor anda meminta anda melanjutkan penyusuan susu ini lantaran terdapat banyak kebaikan dan zat di dalam susu ibu. Sambil tersenyum beritahu bahawa anda sekeluarga gembira dengan proses ini dan ia langsung tidak mengganggu aktiviti seharian anda.

#5 DIA KAN DAH BESAR. PERLU MENYUSU LAGI KE?

Reaksi: Penyusuan susu ibu memberi ketenangan setiap kali anak anda sedih. Manakala anda pula berbesar hati membekalkan susu yang terbaik untuk perkembangan usianya. Tidak lama lagi anak anda akan menjejakkan kaki ke alam pra sekolah dan proses bercerai susu akan berlaku secara perlahan-lahan.  Apa yang paling penting, fahami bahawa amalan melanjutkan tempoh penyusuan susu ibu menyediakan suatu ruang yang cukup selesa untuk anak bertenang dan belajar berdikari.

Yakinlah, anak yang cukup pengisian emosinya semasa dua tahun pertama lebih tenang dan mudah dikawal.

TIP KEKALKAN PENGHASILAN SUSU IBU

Minum air

Pastikan anda mengambil air minuman atau apa-apa sahaja jenis cecair lebih daripada tiga liter sehari.

Grooming

Ketika menyusukan anak, belailah dia. Langkah sebegini bagus kerana tanpa disedari anda sebenarnya sedang merangsang tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu ibu.

Pam lebih lama

Bagi anda yang masih lagi mengepam payu dara untuk menghasilkan stok susu ibu untuk kegunaan anak yang berusia lebih dua tahun, jangan hadkan masa mengepam. Ambillah masa antara 15 – 20 minit untuk setiap belah payu dara. Yang penting, pastikan payu dara benar-benar kosong.

Urutan payu dara

Urutan di bahagian payu dara sememangnya baik untuk merangsang pengaliran susu ibu dengan lancar. Paling kurang, anda boleh mengurut payu dara sendiri dengan menuamnya menggunakan tuala yang telah direndam di dalam air suam terlebih dahulu. Kemudian urut secara lembut dan perlahan-lahan.

 

 

Published by
Azma ML