Perasan Tak Anak Umur 3 Tahun Mula Berperangai Macam Orang Dewasa? Jangan Hairan Atau Marah

Share

Kerenah anak umur 3 tahun memang macam-macam. Kadangkala mereka berperangai seperti orang dewasa. Kalau diperhatikan memang agak melucukan apabila si kecil berlagak umpama gaya ibu atau ayah. Tetapi ada kalanya boleh jadi marah bila sesuka hati dia bersikap kasar dan garang pada ibu ayah.

“Shhh. Ma diam, jangan bising.”

“Biar, biar Aina buat sendiri!”

Si kecil boleh bertukar wataknya dalam sekelip mata daripada gadis cilik yang manis dan mahu ibu memeluk dan menciumnya, kepada seorang yang degil dan garang.

Jangan hairan atau marah dengan sikap si kecil anda kerana ini sebenarnya adalah proses semula jadi kanak-kanak berusia 3 tahun yang sedang melalui perubahan besar dalam kehidupannya. Mereka mula hendak membina perasaan sendiri dan cuba untuk berdikari dengan cara meniru perlakuan orang dewasa.

Jika anak anda sedang melalui fasa ini yang dikenali sebagai ‘threenager’ bermaksud si kecil yang berusia 3 tahun, tetapi berkelakuan seperti seorang remaja atau orang dewasa.

Walaupun tanpa sedar sikapnya boleh dianggap biadab, proses perkembangan ini merupakan pengalaman pembelajaran kepada ibu bapa dan anak. Ini masa untuk anak membesar dan membentuk personaliti dan karektor dirinya. Jadi berikan mereka sedikit ruang untuk belajar tetapi dalam masa yang sama bimbinglah dengan cara betul cara untuk meluahkan perasaan dan dirinya.

Sekiranya anda mempunyai anak berumur 3 tahun yang berperangai seperti ini, anda tentu faham cabarannya. Sebelum anda bertindak balas pada tingkah laku si kecil tanpa usul periksa, ingatlah perkara paling penting perlu dilakukan adalah untuk menunjukkan contoh tingkah laku yang baik kepada mereka.

Inilah antara perubahan besar yang dilalui dalam hidup anak umur 3 tahun:

1. Mereka belajar untuk menguruskan emosi

Sekitar umur 3 tahun, kanak-kanak mula belajar memahami emosi mereka. Mereka mungkin mula mengenal pasti perasaan mereka dengan perkataan. Bagaimanapun, mereka masih belum lagi bersedia untuk mengawal emosi sendiri. Jika ada sesuatu yang kelakar, mereka akan ketawa tanpa dikawal. Jika sesuatu berlaku dan rasa sedih, mereka akan menangis tanpa henti.

Emosi mereka kuat dan kadangkala boleh di luar kawalan. Cuba untuk bersabar dan faham pada umur 3 tahun, mereka belum ada keupayaan dengan betul untuk mengawal emosi mereka dengan betul.

2. Mereka mahu kepuasan dengan segera

Kanak-kanak umur 3 tahun tidak mempunyai banyak kawalan gerak hati. Sekiranya mereka rasa keperluan untuk buat sesuatu, mereka akan terus lakukan tanpa perlu banyak berfikir.

Contohnya, si kecil terus mengambil barangan yang anda larang daripadanya walaupun selepas anda berkata “Tidak”, atau dia mungkin akan memukul orang lain sekiranya dia rasa marah. Menangguh sesuatu keputusan perlu dipelajari oleh si kecil dalam tempoh masa yang lama, ia bukan mudah difahami oleh anak usia 3 tahun.

3. Mereka belajar bagaimana untuk menyelesaikan konflik

Kanak-kanak umur 3 tahun mungkin akan memukul, mengigit atau menolak sebagai cara untuk menyelesaikan konflik. Oleh kerana mereka bertindak balas mengikut gerak hati, si kecil tak faham perbezaan kemahiran antara penyelesaian konflik yang sesuai dan tidak sesuai.

Sebagai ibu bapa, penting untuk menunjukkan ‘threenager’ anda cara betul dan tak betul untuk meluahkan emosi dan menyelesaikan masalah dengan yang lain.

4. Mereka sedang membentuk sikap lucu

Biasanya kanak-kanak umur 3 tahun ini mempunyai sikap lucu yang boleh membuat orang lain ketawa. Mereka sedang cuba membentuk sikap lucu. Mereka gemar buat orang lain ketawa. Kadangkala perbuatan mereka terkentut pun dirasakan sangat lucu dan menghiburkan. Ingat, anak comel anda sedang belajar untuk menjadi orang yang kelakar.

5. Mereka belajar menjadi empati

Empati mula terbentuk dalam diri kanak-kanak sekitar usia tiga tahun. Mereka boleh merasakan kesakitan atau kesedihan yang dilalui oleh orang lain dan anda boleh mendapat tindak balas daripada mereka bila anda bertanyakan apa perasaannya. Si kecil mungkin akan menangis jika mereka rasa mereka melukakan anda, terutama kalau mereka tak bermaksudkannya.

6. Mereka cuba belajar untuk bermain dengan orang lain

Kanak-kanak umur 3 tahun belajar untuk bermain dengan orang lain. Pada usia ini mereka mula berminat untuk berkawan dengan orang lain. Mereka juga suka mengajak ibu atau ayah bermain bersama.

Bayi anda semakin membesar dengan pantasnya dan mula membentuk karektor diri sendiri. Sebenarnya seronok menyaksikan fasa perubahan sikap si kecil menjadi diri sendiri. Mereka mula mempunyai minat sendiri atau apa yang tak diminati, personaliti diri dan keinginan tahu tentang kehidupan.

Penting untuk semua ibu bapa yang mempunyai anak umur sebegini sentiasa bersikap konsisten dan bersabar kerana ia adalah kunci utama melalui fasa ini dengan bertenang dan tanpa sebarang stres atau marah-marah. Ingatlah yang fasa mereka membesar sangat pantas dan tanpa sedar si kecil usia 3 tahun anda berubah menjadi anak yang bijak dan matang.

 

 

Published by
Hasnita Sawal