Walaupun tak kaya harta, dapat pasangan yang baik, anak yang sihat dan keluarga bahagia pun satu rezeki. Rezeki yang Allah beri ini bukan hanya wang semata-mata. Jika kita amati luas sebenarnya.
Cuma kita tak nampak dan hanya memandang pada satu sudut. Begitu juga dalam bab penyusuan. Ada sesetengah ibu menyusu, susunya cukup meriah sampai boleh buat stok yang banyak. Ada tu cukup untuk anak dan masih lagi boleh berikan sampai dua tahun. Ada juga ibu hanya mampu bertahan untuk 6 bulan pertama saja.
Ok menyentuh bab penyusuan ini, Puan Nad Masrom yang juga Kaunselor Penyusuan berkongsi tip untuk terus cukupkan susu ibu pada anak dengan amalan doa dan sedekah. Ini adalah ikhtiar selain usaha ibu yang rajin menyusukan bayi, mengepam secara berjadual dan makan makanan yang sihat untuk penghasilan susu yang lancar.
Salah satu tips yang saya selalu amalkan dan kongsikan pada ibu-ibu yang alami masalah kemeruduman susu ialah doa dan bersedekah.
Penghasilan susu ibu berkaitan dengan rezeki dari Allah. Walaupun mungkin tiada kajian saintifik yang mengaitkan antara sedekah dan penghasilan susu ibu, kita semua tahu dengan bersedekah, rezeki akan bertambah.
Antara tips sedekah yang mungkin ibu-ibu boleh amalkan:
1. Berkongsi ilmu.
Mana tahu dengan perkongsian ilmu tentang penyusuan susu ibu, ibu-ibu lain dapat menyusukan bayi mereka, dan rezeki susu untuk anak kita pula tidak pernah putus.
2. Bantu orang lain yang memerlukan mengikut kemampuan.
Kadang-kadang sedikit yang kita beri bantuan (seperti duit atau rezeki makan), tapi Allah gandakan rezeki yang lain untuk kita termasuk rezeki susu yang mencukupi walau banyak aral melintang yang datang menguji.
3. Berkongsi rezeki susu yang kita ada.
Jika kita ada lebihan susu perahan, berkongsilah dengan ibu-ibu lain yang memerlukan. Jangan skeptikal dengan status ibu susuan dan anak susuan yang susah nak dijaga hubungan.
Dalam zaman serba moden, ukhuwah boleh terjalin dengan pelbagai cara. Berkongsilah, in shaa Allah rezeki susu akan bertambah.
Ada pelbagai cara lain yang ibu boleh lakukan. Paling saya suka buat ialah beri makan dan beri hadiah kepada ibu-ibu menyusu. Terpulang dengan cara masing-masing. Paling penting, berdoalah selalu agar rezeki susu untuk anak kita tak pernah putus.
Boleh amalkan juga zikir “Ya Matin” untuk banyakkan susu.
Ibu-ibu yang menyusui anaknya bukan sahaja mendidik dirinya untuk bersabar dengan dugaan stok perahan menyusut atau perasaan lelah setiap kali menyusukan bayi.
Tetapi, ibu juga sedang mendidik jiwa yang lain. Siapa lagi kalau bukan jiwa anak kita yang disusukan itu.
Dengan menghadapi pelbagai cabaran penyusuan, kita sentiasa melatih kesabaran dan menunjukkan tauladan yang baik kepada anak kita.
Dalam Surat An-Nahl: 96, Allah SWT berfirman:
وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan kami pasti akan memberikan balasan kepada mereka yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
Bersyukurlah dengan setiap titisan susu yang ada walaupun sedikit kerana Allah akan tambah nikmat untuk setiap kesyukuran yang dipanjatkan.
Sumber: Nad Masrom
Kaunselor Laktasi
Fasilitator Art Therapy in Breastfeeding
#nadbreastfeedinginfo