Percutian bersama famili tidak semestinya mampu mengukuhkan lagi bonding dengan anak-anak. Silap-silap boleh percutian itu boleh bertukar menjadi stres bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa.
Bulan Februari nanti cuti sekolah akan bermula. Sudah ramai ibu bapa yang mula merancang destinasi percutian buat anak-anak. Maklumlah tak mungkin kita mahu asyik memerap di rumah sahaja. Sekurang-kurangnya bila bercuti dapat juga dimanfaat masa yang ada dan sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sungguh, itulah harapan kita bila bawa anak-anak dan keluarga bercuti. Namun sedar atau tidak jika silap gaya dan tekniknya percutian tersebut boleh pula mendatangkan stress pada anak-anak. Ini sebagaimana apa yang cuba dijelaskan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.
Mungkin sebagai ibu ayah, kita juga ingin tahu apa sebabnya boleh berlaku keadaan sedemikian.
Jadi apa kata anda baca perkongsian penuh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan untuk dijadikan panduan bersama. Semoga ianya dapat dimanfaatkan untuk kita merancang percutian yang membahagiakan dan bukannya percutian yang stress bukan sahaja untuk anak-anak malah kita sebagai ibu ayah juga.
Ibu bapa tahu tak, bawa anak-anak pergi bercuti, bukan semestinya akan menguatkan “bonding” antara kita dan anak-anak?
Ramai ibu bapa sangka jika mereka bawa anak-anak pergi berjalan, mereka PASTI akan mengeratkan kemesraan dan jalinan kekeluargaan dengan anak-anak.
Tidak semestinya.
Kadangkala bila kita pergi bercuti, anak-anak akan jadi stres, malah dalam sesetengah situasi boleh menyebabkan mereka menjadi tidak senang dengan kita.
CONTOH BERCUTI YANG TIDAK MERAPATKAN HATI AHLI KELUARGA
Sebelum perjalanan, si ibu sibuk menguruskan barang-barang yang perlu dibawa. Anak-anak minta nak bawa itu ini, lalu si ibu menyuruh anak jangan menyibuk.
Semasa perjalanan, si ayah bersengkang mata semasa memandu. Isteri tidur kerana kepenatan. Anak-anak disuruh ikut tidur, atau diberi telefon untuk menonton Youtube.
Di destinasi, anak-anak melompat-lompat dan berlari-lari teruja. Si ayah marah-marah kepada anak kerana tak duduk diam. Anak ditarik-tarik oleh si ayah ke tempat dituju.
Sewaktu makan, anak-anak makan dengan seleranya, tapi bersepah-sepah dan comot. Si ibu marah kepada anak-anak kerana mengotorkan baju mereka.
Kemudian agenda utama keluarga bercuti ini adalah untuk ambil gambar cantik-cantik supaya boleh dikongsikan di media sosial. Anak-anak di suruh bergaya begitu begini.
Jika cutinya untuk 2-3 hari, perkara ini jugalah yang diulang untuk dua tiga kali. Akhirnya percutian pun berakhir, dan mereka pun kembalilah ke rumah.
Ibubapa pun rasa bangga, mereka anggap mereka dah berjaya bonding dengan anak-anak mereka. Sedangkan perkara yang sebaliknya berlaku.
Percutian begini sebenarnya mendatangkan stress kepada anak-anak. Mereka dilarang-larang, digesa-gesa, diarah-arah, dimarah-marah. Emosi mereka akan terganggu.
Malahan, ia mendatangkan stress kepada ibubapa juga. Pastinya selepas pulang dari percutian tu, ibubapa akan rasa penat dan lesu. Bukan rasa segar dan bermotivasi.
Nak bina ‘bonding’, perkara yang paling penting sekali adalah komunikasi antara ibu bapa dengan anak. Antara cara untuk menerapkan komunikasi yang baik antara ahli keluarga, dengan cara semula jadi adalah:
■ Meminta anak mengajar kita sesuatu yang mereka tahu, kemudian barulah kita ajar sesuatu kepada mereka (memperbetulkan kesalahan)
■ Meminta mereka bercerita tentang perkara yang mereka suka, kemudian kita bercerita sesuatu yang kita suka (menasihati mereka)
■ Bermain bersama permainan yang mereka suka, kemudian kita ajak mereka lakukan perkara yang kita suka (mengemas, dsb)
■ Membenarkan mereka memilih sesuatu, kemudian kita pula memilih sesuatu. Kalau ada percanggahan, maka cari titik persamaan.
■ Berterima kasih jika mereka membantu, memohon maaf jika kita tersilap, meraikan bila pencapaian serta kejayaan mereka.
■ Melibatkan mereka dalam perbincangan dan perancangan aktiviti keluarga, seperti percutian, menghias rumah, dsb.
Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan