Berita baik buat pengguna lebuh raya di seluruh negara! Selama dua hari penguna bakal menikmati pengecualian tol pada 23 dan 24 Disember ini bersempena sambutan Hari Krismas. Buat keluarga yang merancang nak pergi bercuti tu boleh lah mengambil manfaat tol percuma ni!
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tol percuma ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam Isnin (23 Disember) sehingga 11.59 malam Selasa (24 Disember).
SEGERA TEMPAT TERHAD: DAFTAR DI SINI
Namun begitu, pengecualian ini hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor Darul Takzim.
Menurut beliau, pemberian tol percuma ini adalah sebahagian daripada aspirasi “Madani di Hati, Rakyat Disantuni” yang dibawa oleh Kerajaan Madani sempena perayaan Hari Krismas 2024.
“Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38 juta,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengecualian tol itu dengan sebaik-baiknya dan merancang perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa musim cuti.
Beliau menyarankan agar pengguna mematuhi jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang dicadangkan bagi memastikan keselamatan pemanduan terjamin. Langkah ini penting untuk memastikan semua pengguna lebuh raya dapat tiba di destinasi masing-masing dengan selamat, sekaligus menjadikan sambutan perayaan kali ini lebih bermakna.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan bagi pengalaman pemanduan yang selamat, memastikan kondisi kenderaan dan tayar kenderaan sentiasa baik serta baki kad Touch ‘n Go serta eWallet yang mencukupi.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya,” katanya.
Nanta turut menyarankan pengguna lebuh raya untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), aplikasi X (@LLMtrafik) serta TikTok (@llmtrafik).
Beliau turut memaklumkan bahawa pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai trafik atau sebarang bantuan yang diperlukan.
“Selain itu, pengguna juga boleh mengakses paparan CCTV di semua lebuh raya melalui laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my untuk mengetahui keadaan trafik semasa. Maklumat trafik terkini juga boleh diperoleh melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian