Pergi Hospital Nak Bersalin, Buat Swab Positif Covid. Ibu Tak Sempat Peluk Bayi Baru Lahir

Share

Siapa sangka, hasrat seorang ibu, Izzati Najah Amran, 26, untuk menatap wajah anak sulungnya tidak kesampaian apabila meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Izzati Najah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.58 petang kelmarin di Hospital Pulau Pinang dan jenazahnya dikebumikan jam 11.40 malam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tengah, Pendang, Kedah.

Berkongsi kisah memilukan itu, kakak iparnya, Syahidatul Adha Khosim, 27, berkata, Izzati Najah dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu sebagai persediaan kerana hampir tiba masanya untuk melahirkan cahaya mata.

Dah ada tanda bersalin, buat ujian saringan positif 

Bagaimanapun, Syahidatul Adha berkata, adik iparnya itu disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan di hospital.

“Sehari sebelum itu iaitu pada Rabu, arwah dan suami, Aiman Zuhaili Azman@Asri, 26, pergi ke hospital.

“Hasil ujian saringan dijalankan, Aiman Zuhaili positif Covid-19 manakala arwah negatif.

“Keesokan harinya, arwah pergi ke hospital sekali lagi kerana sudah sakit untuk bersalin, tetapi perlu melalui ujian saringan dahulu namun keputusannya positif Covid-19 yang menyebabkannya dimasukkan ke unit rawatan rapi,” katanya ketika dihubungi.

Syahidatul Adha berkata, keadaan Izzati Najah yang hamil menyebabkan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dalam kandungan secara pembedahan kira-kira jam 5 pagi, Jumaat lalu.

Gambar Hiasan

Bayi sihat, bebas Covid

Menurutnya, pada petang keesokan harinya, Izzati Najah diintubasi untuk membolehkannya mendapat bantuan pernafasan dengan mesin ventilator kerana paras oksigen menurun.

“Alhamdulillah, arwah selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Lily Ellyyna.

“Bayi dalam keadaan sihat dan bebas Covid-19 tetapi masih di hospital.

“Cuma apa yang menyedihkan apabila arwah tidak sempat menatap dan memangku anaknya kerana tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia,” katanya.

Syahidatul Adha berkata, Aiman Zuhaili paling terkesan kerana tidak dapat menatap wajah dan menguruskan jenazah Izzati Najah buat kali terakhir kerana menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, hanya abang Izzati Najah, Mohd Izhar, 30, dan adiknya, Mohd Izham Amran, 20, dibenarkan menguruskan jenazah dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sementara beberapa ahli keluarga lain berada di tanah perkuburan tetapi pada jarak yang jauh.

“Sedih kerana mereka (Izzati Najah dan Aiman Zuhaili) baharu menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 19 Julai lalu dan kedua-duanya teruja menanti masa untuk menimang cahaya mata sulung.

“Bagaimanapun Allah lebih menyayanginya dan mahu atau tidak, kami sekeluarga perlu reda malah bersyukur kerana dapat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah ketika doktor membuat panggilan video sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Kredit: Harian Metro

Mama jom rileks jap, klik link ni!

Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.

Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy