Bayangkan perasaan seorang ibu yang sedang bersiap menyambut detik paling bermakna dalam hidupnya, namun perjalanan ke hospital tiba-tiba bertukar tragis. Ambulans yang sepatutnya membawa harapan dan kebahagiaan bertembung dengan seekor lembu di kilometer 30, Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Perasaan cemas bertukar menjadi sedih dan pilu.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian jam 4 pagi itu berlaku semasa ambulans tersebut dalam perjalanan dari Hospital Gua Musang menghala ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, setiba di lokasi kejadian seekor lembu secara tiba-tiba telah melintas jalan dan melompat ke arah ambulans terbabit.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu ambulans tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan.
“Bagaimanapun, pemandu, doktor dan pesakit di dalam ambulans terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pesakit yang hendak bersalin itu telah selamat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra dengan ambulans bantuan dari Hospital Gua Musang dengan kadar segera sejurus kemalangan berlaku.
Choon Foo meminta orang ramai sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama pada malam hari di mana keadaan jalan gelap tanpa lampu jalan.
“Pemilik haiwan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya ternakan mereka dibiarkan berkeliaran dan menyebabkan kemalangan di jalan raya.
“Mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian dalam menguruskan haiwan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.