Perjalanan Terakhir Tiga Beranak. Suami Isteri Dan Bayi 4 Bulan Maut

Share

Tiga beranak termasuk seorang bayi berusia 4 bulan maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan petang semalam.

Kemalangan kira-kira jam 5 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Persona, lori dan treler.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa yang maut adalah Mohammad Adnan Anuar, 23, dari Kampung Bolok Hulu, Lanchang bersama isterinya, Siti Tul Assiqin Abdul Wahab, 23, dan anak mereka, Nur Alissa Insyirah berusia 4 bulan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa, Mohammad Adnan yang memandu Proton Persona bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian di kawasan selekoh dipercayai kereta Proton Persona yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.

“Kejadian menyebabkan treler berkenaan mengelak ke kiri dan bergesel dengan sebuah lori yang berada di lorong sebelah kiri. Akibat kemalangan itu, pemandu kereta, isteri dan bayi mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata, pemandu treler berusia 55 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan manakala pemandu lori berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri.

Katanya, ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Wan Amy