Perkongsian Ibu Ini Ada Benarnya Apabila Anak Tidak Pandai Membaca Umur 4 Tahun

Share

Bila cerita mengenai anak tidak pandai membaca, memang risau. Lebih-lebih lagi bila anak-anak kawan umur empat tahun sudah boleh membaca. Suruh anak-anak membaca, terus lari ambil permainan. Memang menuntut kesabaran.

Namun perkongsian Puan Emalin Mohd, seorang Ibu kepada 3 orang cahaya mata ini ada benarnya apabila beliau tidak risau apabila anak umur empat tahun tidak boleh membaca. Jom ikuti cara Puan Emalin ini semoga menjadi panduan bersama untuk mendidik anak-anak menjadi lebih cemerlang.

Ibubapa menghantar anak ke tadika swasta dengan yuran yang mahal namun setelah 6 bulan berlalu, anak yang berumur 4 tahun di tadika tersebut masih belum pandai membaca. Perlu ke ibubapa risau?

Berapa umur anak patut pandai membaca sebenarnya?

Menghantar anak ke tadika swasta mahal mana sekalipun sebenarnya bukan jaminan sebenar untuk anak pandai membaca seawal umur 4 tahun. Namun, tidak dinafikan promosi yang dilakukan tadika swasta berkenaan semasa mendaftar menyebabkan ibubapa mengharapkan anak sudah pandai membaca seawal umur 4 tahun.

Jadi ibubapa tak perlu risau ke anak tak boleh membaca ketika umur 4 tahun?

Eh, boleh risau dan bagus ibubapa risau. Itu bermaksud ibubapa mengambil tahu perkembangan anak. Namun, bukan setakat risau sahaja. Ada peranan besar lain yang ibubapa boleh mainkan peranan untuk membantu anak pandai membaca.

Ini yang patut ibubapa lakukan dalam merangsang anak untuk membaca.

TIPS UNTUK MEMBANTU ANAK PANDAI MEMBACA

1) Kenali sifat dan sikap anak sendiri

Walaupun jumlah pelajar di tadika hanya 10 -15 untuk sekelas, namun mengharapkan guru tadika semata-mata tidak memadai. Setiap anak malah kita sendiri mempunyai cara belajar yang berbeza. Ada yang boleh fokus duduk membaca (visual), ada yang suka mendengar (audio) dan ada juga yang suka ada pergerakan (kinesthetic). Dan kebanyakan cara pembelajaran adalah banyak menggunakan audio visual. Bayangkan jika anak kita adalah jenis kinesthetic? Bukankah sukar untuk anak tersebut duduk mendengar dan fokus apa yang diajar oleh guru?

Jadi apabila ibubapa sendiri tahu gaya pembelajaran anak, lebih mudah untuk membuat berbincang dengan guru dan ibubapa membuat inisiatif sendiri mengajar anak di rumah.

Cuba ajar anak di rumah.. Lihat fokusnya. Ada kah boleh duduk diam selama 10 minit untuk sama-sama belajar dengan ibubapa? Atau tak sapai satu minit membaca dah mula untuk bangun atau kepala melilau ke sana ke mari?

2) Belajar di rumah

Ini sebenarnya faktor yang amat penting. 10-15 minit sehari Insyaallah mencukupi. Tambahan pula fokus anak tak berapa lama. Jadi, tak perlu peruntuk masa sampai 1 jam untuk mengajar anak. Nanti anak gelisah.

Kalau pun cuba untuk peruntukkan 1 jam pada satu-satu masa, kena pelbagaikan aktiviti. Jangan buat aktiviti menulis huruf A – Z dalam masa 30 minit. Pelbagaikan aktiviti. Ringkas pun tak apa seperti mewarna, menyanyi dan menulis.

Untuk ibu yang tiada masa, ambil masa sebelum tidur untuk bercerita (story telling) dengan anak. Pilih buku berwarna-warni dengan huruf yang besar. Sambil bercerita boleh ajar anak mengenal huruf. Jika ada gadget, boleh pilih apps yang sesuai untuk sesi pembelajaran ringkas.

3) Waktu belajar di mana-mana

Tidak semestinya duduk bersama untuk mengajar anak. Semasa menghantar dan mengambil anak pun boleh jadikan sesi belajar bersama-sama. Boleh meghafal surah lazim, boleh menyanyi lagu ringkas yang mendatangkan faedah seperti lagu A-Z, lagu vokal AEIOU dan boleh mengenal warna sepanjang perjalanan.

Atau jadikan sesi bercerita.

Dan ada baiknya sepanjang perjalanan radio ditutup agar menjadi sesi interaktif dan ibu tak syok sendiri mendengar radio.

4) Bahan bacaan di mana-mana

Sekarang ada banyak bahan bacaan anak yang murah yang boleh digunakan untuk mengajar anak. Tidak semestinya menghadkan satu bilik untuk dijadikan bilik belajar.

Letakkan bahan bacaan di sudut-sudut rumah tertentu agar pada bila-bila masa anak boleh melihatnya dan ibubapa boleh mencari masa mengajar anak.

5) Ambil tahu dan selesaikan masalah anak di tadika

Kenal pasti guru dan kawan anak di tadika. Ada kalanya anak susah untuk belajar di rumah kerana tidak serasi dengan sesetengah guru atau kawan tertentu.

Sama seperti kita orang dewasa. Prestasi kerja pun boleh menurun jika bos tak ‘best’ atau ada rakan-rakan yang tak berapa ngam.

Ambil tahu dan cuba selesaikan dengan cara berbincang dengan guru sekiranya anak mengadu berulang kali tak nak ke sekolah.

Selalunya anak takkan terus memberitahu ibubapa punca tak nak ke sekolah. Jadi, ibubapa kenalah pandai mengorek cerita.

6) Jadikan masa pembelajaran masa yang menggembirakan

Sesi belajar bersama anak sebaiknya ketika ibu tidak stress dan tenang. Ini kalau mengajar dengan suara bak halilintar dan tangan ibubapa cepat sahaja memukul anak atas ketidakupayaan anak memahami apa yang diajar, agak-agak lagi anak nak belajar atau sebaliknya?

Belajar bukan bermaksud hanya duduk bersama-sama mengadap antara satu sama lain secara one-to-one. Mungkin keadaan ini agak membosankan bagi anak tersebut. Menyanyi dan bermain dengan warna serta melukis atau menconteng boleh menceriakan suasana. Atau boleh membuat origami bersama-sama. Lakukan pelbagai aktiviti agar tidak membosankan.

Perlu atau tidak untuk ibubapa risau jika anak tidak pandai membaca semasa umur 4 tahun lebih kepada harapan (expectation) ibubapa sendiri.

Apa objektif ibubapa yang sebenar semasa menghantar ke tadika?

Adakah perkembangan anak selama ini mengikut garis panduan yang diberikan?

Hanya ibubapa sendiri yang mengetahui jawapannya. Pada masa yang sama, berikan DHA  dan nutrisi lain yang mencukupi untuk perkembangan sihat anak.

Published by
Nor Yusoff