Mencuci tangan merupakan antara kaedah yang disarankan bagi menghindari jangkitan virus Covid-19. Tetapi, percaya tak kalau kami katakan pengambilan nutrien yang mencukupi juga membantu dalam pencegahan virus ini?
Bolehkah cegah jangkitan virus Covid-19 melalui pemakanan?
Setiap makanan yang diambil mempunyai kandungan nutrien dengan manfaat kesihatan tersendiri. Malahan terdapat juga nutrien yang berperanan membantu badan melawan virus, termasuklah jangkitan coronavirus ini.
Komponen sistem pertahanan badan terdiri daripada pelbagai sel, protein, tisu dan organ. Setiap komponen ini akan bekerjasama melawan patogen (kuman) yang memasuki badan, sama ada dalam bentuk bakteria, parasit atau virus seperti novel coronavirus (2019-nCoV).
Sistem pertahanan ini berfungsi melawan jangkitan coronavirus dengan membentuk antibodi. Antibodi merupakan protein khas yang berupaya mengikat protein pada patogen, kemudiannya antibodi ini membunuh patogen supaya badan sembuh daripada sebarang penyakit.
Penjagaan pemakanan dengan mengambil nutrien yang sesuai pastinya akan dapat menguatkan fungsi sistem imun badan. Keadaan ini sekali gus menjadikannya dapat melawan virus korona dengan lebih efektif.
Mempunyai sistem imun yang kuat bermakna setiap komponen di dalamnya juga dapat membentuk antibodi yang sama kuat. Antibodi inilah yang akan membunuh virus korona yang memasuki badan dan menghalang daripada menyebabkan munculnya penyakit yang tidak diingini.
Apakah nutrien yang perlu diambil?
Nutrien yang diperlukan untuk menghalang jangkitan coronavirus adalah sama dengan nutrien yang berperanan untuk mencegah virus penyebab selesema.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obesity & Weight Loss Therapy, berikut adalah antara nutrien yang diperlukan oleh badan anda:
Karbohidrat
Ia sumber tenaga kepada sel sistem pertahanan badan. Karbohidrat yang anda makan akan berubah menjadi tenaga dalam proses glikolisis. Proses ini juga menyokong penghasilan sel-sel limfosit.
Apa itu limfosit? Limfosit adalah sel yang berfungsi untuk mengenali protein pada permukaan patogen, membentuk antibodi dan membunuh patogen punca kerosakan pada tisu badan. Sekiranya badan anda terdedah kepada virus korona, sel-sel inilah yang akan bertindak terlebih dahulu.
Protein dan asid amino
Nutrien paling penting untuk melawan virus korona pastinya protein kerana ia merupakan bahan paling penting dalam penghasilan sel imun. Kekurangan protein akan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit.
Selain protein, sistem imun juga memerlukan asid amino dalam bentuk arginine dan glutamin. Asid amino adalah sebatian kecil yang membentuk protein. Kedua-dua sebatian ini diperlukan dalam pembentukan limfosit.
Vitamin dan mineral
Kedua-duanya adalah nutrien yang perlu ada dalam melawan jangkitan virus korona. Vitamin berperanan menjaga sel-sel imun agar dapat berfungsi dengan baik. Jenis vitamin yang diperlukan adalah vitamin A, C, E dan B kompleks.
Proses pembentukan sistem imun yang kuat juga memerlukan mineral seperti selenium, zink dan zat besi. Selenium berfungsi mengekalkan kekuatan sel dan menghalang kerosakan DNA, zink akan mewujudkan tindak balas imun badan dan zat besi membantu penyerapan vitamin C.
Antioksidan
Antioksidan memiliki peranan dalam melawan radikal bebas dan melindungi sel imun daripada kerosakan. Ia sekali gus membantu sistem imun untuk berfungsi secara optimum dan membantu mencegah jangkitan virus 2019-nCoV.
Antioksidan boleh diperolehi dalam bentuk vitamin C, D, E dan beta-karoten, iaitu bahan mentah vitamin A. Selain vitamin, antioksidan juga terdapat dalam sebatian flavanoid dan lycopene pada sayuran dan buah-buahan.
Jenis makanan
Hakikatnya, tidak ada satu jenis makanan yang dapat menghalang penularan jangkitan novel coronavirus ini.
Tetapi pengambilan beberapa jenis makanan dan minuman tertentu, sekurang-kurangnya dapat membantu menguatkan sistem imun badan dan melindungi daripada risiko jangkitan.
Buah sitrus
Merupakan sumber vitamin C yang baik. Vitamin C dapat meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berperanan melawan jangkitan virus. Antara buah yang popular sebagai sumber vitamin C adalah:
-Oren
-Limau tangerine
-Limau gedang (grapefruit)
-Lemon
-Limau purut
-Brokoli
Sangat berpotensi dalam mencegah jangkitan virus korona. Brokoli adalah sayur yang kaya dengan nutrien penting sistem imun, seperti serat, antioksidan dan vitamin A, C serta E.
Bayam
Bayam mengandungi vitamin C, flavanoid dan beta karoten yang dapat membantu melawan jangkitan virus.
Ketiga-tiga nutrien itu dapat memperkuatkan sistem imun melalui penghasilan sel darah putih yang banyak. Cara terbaik mengekalkan manfaatnya adalah dengan tidak memasak terlalu lama.
Beri biru
Buah ini kaya dengan antioksidan flavanoid yang dikenali sebagai antosianin. Banyak kajian menunjukkan bahawa sebatian ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada saluran pernafasan.
Bawang putih
Merupakan antara ramuan yang sering diguna untuk merawat selesema. Ia mengandungi sebatian allicin yang dikatakan cukup berkesan dalam mencegah jangkitan, khususnya pada saluran pernafasan.
Teh hijau
Minuman ini juga mempunyai nutrien yang dapat mencegah penyebaran jangkitan virus korona. Ia mengandungi antioksidan yang dipanggil epigallocatechin gallate (EGCG), sejenis kompaun yang dapat menguatkan sel-T dalam sistem imun badan.
Yogurt dan susu
Kedua-duanya mengandungi bakteria baik dipanggil probiotik. Probiotik berfungsi membantu sistem pencernaan, merangsang sistem imun dan menjadikannya kebal terhadap sebarang jangkitan.
Lada benggala merah
Merupakan antara makanan tinggi kandungan nutrien yang dapat menghalang jangkitan virus korona. Ia mengandungi dua kali lebih banyak vitamin C berbanding buah sitrus. Selain dapat menguatkan sistem imun, lada benggala merah juga membantu menjadikan anda lebih sihat.
Konklusinya
Seperti yang dikatakan tadi, sebenarnya tiada makanan yang dapat menghalang jangkitan virus korona ini secara langsung. Namun, melalui pengambilan makanan yang kaya dengan kandungan nutrien baik, sedikit sebanyak ia dapat membantu memperkuatkan sistem imun badan anda.
Keadaan ini sudah tentu dapat mengurangkan risiko jangkitan coronavirus kepada anda. Walau bagaimanapun, aspek penjagaan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan serta pemakaian topeng muka tetap tidak boleh diabaikan.
Jika boleh, hindarilah daripada pergi ke kawasan tumpuan ramai kerana di tempat seperti itu akan lebih mendedahkan diri anda kepada jangkitan virus.
Sumber: Hello Health
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI