Keibubapaan

Perlindungan Insurans PERCUMA Sehingga RM10,000 Untuk Warga Selangor. Bayi 30 Hari Pun Boleh Daftar!

Share

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu dan segala perbelanjaan meningkat termasuk kos perubatan sudah tentu memberi kesan kepada golongan yang berpendapatan rendah.

Justeru menyedari betapa sukarnya perjuangan rakyat, kerajaan negeri Selangor mengambil inisiatif untuk meringankan bebanan rakyat dengan memperkenalkan perlindungan insurans am.

Perlindungan insurans am sehingga RM10,000 secara percuma meliputi kecederaan dan kehilangan upaya akibat kemalangan,khusus untuk rakyat negeri Selangor.

Kematian yang disebabkan kemalangan dengan perbelanjaan pengebumian berjumlah RM1,000 turut diberikan menerusi skim yang dikenali sebagai INSAN.

Bayi Sebulan Boleh Daftar

Apa yang menariknya perlindungan insurans ini juga terbuka kepada bayi berumur 30 hari sehingga warga emas berusia 80 tahun dan dianggarkan akan memanfaatkan seramai 6 juta rakyat negeri ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, skim INSAN merupakan perlindungan hayat yang diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif kebajikan di samping memberi perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

“Selepas melaksanakan pelbagai program, kita mahu rakyat dilindungi, ambil iktibar daripada wabak Covid-19 dan insiden banjir, rakyat perlu disedarkan tentang perlindungan dan kerajaan negeri memulakan inisiatif ini supaya perlindungan seumpama ini menjadi satu pemahaman dan sebahagian daripada pilihan.

Foto: mStar

“Tidak ada ruginya perlindungan ini. Bukan untuk mempromosikan syarikat insurans tetapi dalam masyarakat maju di masa hadapan, perlindungan kesihatan sebagai contoh menjadi salah satu daripada keperluan dan prioriti masyarakat,” tegas beliau.

Malah beliau berkata, untuk berganjak ke sebuah negeri maju, masyarakat perlu terbiasa dan memahami kepentingan perlindungan terhadap diri sendiri.

Tambah beliau, ia dibuktikan juga dengan kos yang tidak begitu besar berbanding kos lain yang dilepaskan ketika menerima elaun atau gaji masing-masing.

“Sebahagiannya adalah untuk membudayakan skim perlindungan dan niat sudah pasti untuk melindungi serta sebagai tanda kita (kerajaan negeri) bertanggungjawab menjaga rakyat Selangor,” jelas beliau.

Foto: mStar

Mengulas lanjut, ujar Amirudin, sejak diperkenalkan pada 1 Oktober lalu, pihaknya telah menerima lebih 40,000 pendaftaran.

Bagaimanapun, beliau menyasarkan lebih sejuta rakyat Selangor akan berdaftar pada akhir tahun ini manakala keseluruhan 6 juta sepanjang tempoh satu tahun pelaksanaan INSAN.

“Program ini akan disambung dari semasa ke semasa dan akan diperbaiki untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan. Langkahnya juga mudah yang mana hanya perlu muat turun aplikasi wavpay atau hadir ke pusat khidmat supaya bantuan pendaftaran dapat dilakukan.

“Ia akan ambil masa sedikit tetapi tidak lebih 48 jam, biasanya jika tidak lulus pasti ada kekurangan tertentu seperti maklumat tak lengkap.

“Bagaimanapun jangan khuatir, anda boleh datang ke pusat khidmat MBI supaya pendaftaran dapat dilakukan,” jelas beliau sambil berkata ia bukanlah paksaan sebaliknya inisiatif untuk rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fintech Wavpay, Brahma Shakthi ketika ditemui mengulas tentang kerjasama dengan skim INSAN.

Menurutnya, kerjasama tersebut adalah untuk menyediakan platform khusus bagi inisiatif yang ditawarkan kerajaan negeri selepas pihaknya melihat potensi dunia digital yang sangat meluas di samping infrastruktur serta pola pengguna yang sangat memberangsangkan.

“Covid-19 telah mengubah landskap pengguna yang lebih cenderung untuk menggunakan platform digital. Jadi dengan kerjasama bersama MBI ini, seberapa banyak inisiatif kerajaan negeri dapat dipusatkan dalam satu platform.

“Pengguna khususnya rakyat negeri Selangor lebih mudah untuk membuat rujukan dan pendaftaran melalui aplikasi Wavpay (consolidate).

“Kami turut berminat untuk menawarkan khidmat kepada kepada kerajaan negeri yang lain, pada masa sama kajian dan penambahbaikan turut dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengguna menikmati perkhidmatan yang kondusif serta cepat,” katanya.

INSAN dilancarkan Amirudin semasa siri ketujuh Jelajah Selangor Penyayang yang bertempat di Stadium Sultan Suleiman, Klang, pada 23 Oktober lalu.

Setiap individu perlu mendaftar sendiri manakala ketua keluarga boleh mendaftarkan untuk anak-anak mereka.

Foto: mStar

Aplikasi mobil e-Wallet Wavpay boleh dimuat turun di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGalery.

Jadi apa tunggu lagi? Anak jati Selangor jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan skim perlindungan percuma ini ya!

Sumber: mStar

Jangan lepaskan peluang mendaftar sebagai peserta webinar Ya, Aku Mampu Susukan Anak! yang akan berlangsung Sabtu ini (29 Oktober 2022). Klik di sini untuk mendaftar https://toko.ideaktiv.com/product/ya-aku-mampu-susukan-anak/

Untuk lebih banyak info terkini jom klik di SINI https://t.me/pamadparents

Published by
Hasnita Sawal