Pernah Dengar Bunga Kembang Semangkuk? Boleh Atasi Batuk & Demam Anak!

Share

Pernah dengar mengenai bunga kembang semangkuk tak? Dengarnya khasiat kembang semangkuk ini dapat membantu mengatasi masalah anak batuk, betul ke?

Jom ketahui lebih lanjut mengenainya dalam perkongsian artikel ini. Moga bermanfaat!

Apa itu bunga kembang semangkuk?
Selain dikenali dengan nama saintifiknya Scaphium affine atau Sterculia lychnophora, kembang semangkuk turut dipanggil dengan nama Malva nut.

Ia merupakan spesies pokok malar hijau yang berasal dari Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Borneo.

Dipercayai terdapat banyak khasiat kembang semangkuk terutamanya dalam bidang masakan dan perubatan tradisional.

Biji kembang semangkuk ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina sebagai penyejuk dan turut digunakan untuk merawat masalah berkaitan gastrousus serta memberi kelegaan kepada ketidakselesaan tekak.

Keajaiban tumbuhan ini adalah apabila direndamkan di dalam air, ia akan mengembang hingga 8x ganda dan membentuk jisim agar-agar berbentuk tidak sekata yang berwarna coklat kemerahan.

Khasiat kembang semangkuk untuk anak batuk dan sembelit

Bercakap mengenai ketidakselesaan tekak, jika anak mengalami batuk, sudah tentu sebagai ibu bapa, kita akan berasa susah hati. Biasanya jalan yang dipilih untuk merawat situasi tersebut adalah dengan memberikan ubat batuk.

Tetapi menerusi perkongsian hantaran di laman Facebook milik Dr Mazliana Mazlan, kembang semangkuk ini dikatakan cara yang dapat membantu menyembuhkan anak yang kerap batuk.

Menurutnya, kandungan bassorin dalam kembang semangkuk berperanan untuk membantu mengurangkan keradangan pada sel badan.

Pastinya anda akan tertanya, “Nak ke anak minum air rendaman kembang semangkuk ini?”. Jangan bimbang, kerana rasa air rendaman ini adalah sama seperti air kosong sahaja.

Apa yang perlu anda lakukan hanyalah merendamkan sebiji bunga kembang semangkuk ke dalam 1 jug air. Berikan anak minum air rendaman itu sedikit demi sedikit sehingga habis. Lakukannya setiap hari sehingga anak sembuh.

Air rendaman kembang semangkuk ini juga dipercayai boleh dijadikan air pelawas untuk anak yang kerap mengalami sembelit. Caranya sama seperti untuk merawat batuk tadi.

Tetapi adakah kegunaan kembang semangkuk hanya untuk batuk dan sembelit? Seperti yang dinyatakan sebelum ini, banyak khasiat kembang semangkuk, bukan hanya untuk mengubati batuk atau sembelit.

Jom ketahui lebih lanjut manfaat tumbuhan ini.

Bunga kembang semangkuk dalam perubatan

Perubatan tradisional Cina

Menurut perubatan tradisional Cina, penggunaan Malva nut adalah untuk:

  • Mengeluarkan haba daripada paru-paru
  • Mengubati sakit tekak
  • Menangani ketoksikan
  • Menenangkan usus
  • Jadi bagi mereka yang mengalami gejala seperti suara serak, batuk kering, sakit dan tekak kering kerana haba panas dalam paru-paru, sembelit, sakit kepala dan mata merah, disarankan mengambil kembang semangkuk.

Caranya dengan memasukkan 1 atau 2 biji kembang semangkuk ke dalam secawan besar air mendidih. Kemudian diminum airnya.

Juga, adalah menjadi kebiasaan dalam perubatan tradisional Cina untuk menggunakan kembang semangkuk sebagai sebahagian daripada formula herba untuk merawat individu.

Seperkara yang perlu anda ketahui, walaupun kembang semangkuk mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan, namun ia perlulah digunakan mengikut had yang ditetapkan.

Anda tidak boleh menggunakan lebih daripada 3 biji kembang semangkuk bagi setiap air minuman yang dididihkan. Jika berlebihan, boleh mengembangkan gejala seperti kahak berair putih, loya, batuk dan lidah bengkak.

Manakala bagi individu yang kerap mengalami masalah penghadaman, sakit perut atau cirit-birit harus mengelakkan pengambilan bunga kembang semangkuk sepenuhnya.

Biji bunga kembang semangkuk dalam Ayurveda

Dalam perubatan Ayurveda pula, kembang semangkuk dikenali sebagai Nirinjan Phal atau Umasmango.

Antara khasiat tumbuhan ini berkaitan Ayurveda adalah:

  • Penyejukan

Memandangkan ia menyejukkan badan, kembang semangkuk disyorkan untuk:

  • Demam
  • Batuk
  • Selesema
  • Kahak
  • Resdung
  • Asma
  • Sakit tekak
  • Tonsillitis
  • Jangkitan tekak
  • Pergerakan usus tidak teratur
  • Sakit kepala akibat haba dalaman
  • Insomnia dan gangguan tidur akibat haba dalaman
  • Virility
  • Membersih dan menyahtoksin

Sebagai agen penyahtoksin, antiradang, dan antioksida:

  • Jerawat
  • Jeragat
  • Penyakit kulit
  • Untuk membersihkan organ kencing untuk mencegah jangkitan saluran kencing (UTI)
  • Untuk membuang toksin dalam badan akibat pencernaan tidak teratur
  • Menyingkirkan pengekalan air dalam badan
  • Melegakan pedih ulu hati
  • Melegakan sembelit

Kegunaan lain bunga kembang semangkuk

Ingin cuba membuat teh kembang semangkuk? Pertama sekali anda perlu memprosesnya menjadi pulpa.

Rendamkan kembang semangkuk semalaman menggunakan air yang ditapis.
Ia akan mengembang 8x ganda daripada saiz asalnya. Anda boleh menambah air jika perlu bagi memastikan ia kembang sepenuhnya.

Saranan terbaik adalah untuk memasukkan bekas rendaman ini ke dalam peti ais.
Apabila sudah kembang, anda boleh mengeluarkan biji dan kulit keras yang terdapat pada ‘agar-agar’ kembang semangkuk.

Kemudian, masukkan ‘agar-agar’ tersebut dalam kain muslin dan picitkan.
Picitan tersebut akan menghasilkan pulpa halus yang boleh ditambah ke dalam minuman.

Resipi minuman kembang semangkuk

Bahan-bahan:

  • Pulpa kembang semangkuk
  • Daun pandan
  • Gula perang
  • Kayu manis
  • Halia
  • Likuoris (gula akar manis)
  • Air secukupnya

Cara penyediaan:

  • Masukkan air, pandan, halia, likuoris dan kayu manis. Renehkan selama 10 minit.
    Kacau untuk melarutkan gula, kemudian masukkan pulpa kembang semangkuk.
  • Biarkan ia mendidih seketika dan tutupkan api.
  • Biarkan ia sejuk sebelum diminum.

Jika terdapat sebarang pertanyaan tentang kesesuaian pengambilan bunga kembang semangkuk ini, terutamanya untuk mengubati batuk atau sebarang masalah kesihatan pada anak, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

Kredit: Hello Doktor

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa