Keibubapaan

Pertandingan Khalifah Cilik Pa&Ma, Peserta Tunjuk Bakat Alun Azan & Mengaji!

Share

Julung-julung kali di adakan, sempena bulan Ramadan penuh mulia ini Pa&Ma dan Bintang Kecil tampil mencari kelainan yang mengadakan pertandingan Khalifah Cilik yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Pertandingan yang diadakan di Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam ini mengetengahkan peserta kanak-kanak berusia 5-6 tahun yang terdiri daripada murid-murid tadika.

Antara tadika yang terlibat adalah Tadika Alliyah Brilliant, Tadika Sinar Bestari, Tadika Impian Bestari dan Tadika Sri Melur yang mempamerkan komitmen yang cukup cemerlang.

Anak-anak kecil ini dikategorikan mengikut dua kategori iaitu pertandingan azan dan juga hafazan surah Al-Quran.

Pertandingan yang disertai lebih 30 orang murid ini dibahagikan mengikut kategori iaitu azan, hafazan untuk qari dan juga qariah.

Masing-masing menunjukkan kepakaran dan cara tersendiri dalam mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pertandingan azan ternyata mencuri tumpuan pengunjung kerana diperdengarkan dengan alunan berbeza oleh adik-adik cilik ini.

Pada majlis berkenaan, Ustaz Ammar Mukhlis turut berkongsi tazkirah kepada pengunjung yang hadir dengan perkongsian mengenai ibadah puasa.

Tidak pulang dengan tangan kosong, kesemua peserta cilik ini turut pulang dengan hadiah masing-masing beserta piala.

Terima kasih kepada Plaza Shah Alam @plazashahalam yang menjadi penaja lokasi dan hadiah. Pertandingan Khalifah Cilik ini sememangnya dapat menguji keberanian dan mencungkil bakat anak-anak kecil di pentas Utama.

 

Published by
SRM