Perut Anak Tak Sama Macam Kita, Jangan Paksa Dia Makan Banyak Sangat!

Share

Ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Ketika waktu makan khususnya, kebanyakan ibu akan mengatur apa yang perlu dimakan oleh anak mereka. Sesetengah daripada menu yang disediakan oleh si ibu mungkin tidak menyelerakan bagi anak, jadi jangan salahkan mereka.

Untuk memastikan anak berselera dan suka makan, jangan sesekali memaksa mereka. Perlu dibuat perlahan-lahan dan dengari juga kehendak mereka. Dipetik melalui laman web helloDOKTOR, ada menyebut beberapa kesalahan yang biasa dibuat oleh ibu bapa ketika waktu makan dengan anak.

ANAK KENA IKUT PERATURAN MAKAN
Kebanyakan ibu bapa akan menetapkan peraturan ketika makan. Sebagai contoh, untuk makan manisan yang mereka inginkan, anak-anak harus habiskan sajian utama. Sebenarnya itu salah kerana anak mempunyai kebolehan semulajadi yang tersendiri untuk menentukan kadar pengambilan makanan mereka.

KADANG-KADANG, IBU BAPA SUKA SANGAT PAKSA ANAK UNTUK HABISKAN MAKANAN, SEDANGKAN WAKTU ITU MEREKA SUDAH KENYANG. MEMAKSA MEREKA MAKAN TERLALU BANYAK AKAN MENJADIKAN ANAK TRAUMA DAN MERASAKAN WAKTU MAKAN SESUATU YANG TIDAK MENYERONOKKAN.

Sepatutnya ibu bapa hanya perlu biarkan anak menikmati makanan mereka. Sedikit atau banyak bukan masalah, beri peluang mereka untuk makan sendiri dan nikmati makanan yang ada. Pada waktu lain, anda boleh ambil inisiatif untuk terangkan kepada mereka keburukan membazir atau makan terlalu banyak. Pastikan anak-anak gembira ketika waktu makan.

PAKSA ANAK MAKAN YANG MEREKA TIDAK SUKA
Satu lagi kesilapan lain yang selalu dibuat adalah dengan memaksa anak makan apa yang mereka tidak suka. Biasanya anak-anak tidak sukakan sayur-sayuran. Daripada memaksa mereka makan dengan rupanya yang begitu ‘jelas’, ibu boleh sembunyikannya dalam masakan.

Mengetahui kepentingan nutrisi yang ada di dalam sayuran, hasilkan menu yang menggunakannya tanpa perlu dilihat oleh si manja.

TAK ADA STRUKTUR
Anak-anak suka makan mengikut kehendak mereka. Ketika disuruh makan mereka tidak mahu. Tiba-tiba ketika belum waktu makan, mereka mengadu lapar pula. Biasanya anak akan cenderung untuk meminta snek dari makanan utama. Jangan terlalu diikutkan kerana ia mengganggu struktur pemakanan yang sebenarnya.

Ibu bapa boleh membentuk satu struktur makan yang lebih teratur. Tetapkan waktu makan untuk sajian utama dan snek mengikut waktu yang spesifik. Pastikan jadual makan ini sama setiap hari supaya anak anda dapat membiasakan diri. Jangan terlalu tegas dan mengabaikan permintaan mereka untuk makan jika tidak ‘kena’ dengan waktu yang telah anda tetapkan.

Artikel Lain: [“Macam Mana Anak Nak Pintar Kalau Diracun Jajan Setiap Hari?” Jajan Akan Kecilkan Pusat Memori Otak]

TIADA PILIHAN PELBAGAI
Jangan marah anak jika mereka menolak untuk makan apa yang anda sediakan. Mungkin ada sebab mengapa jadi begitu, tanyakan pada anak apa yang mereka inginkan. Sediakan menu pelbagai dan pastikan ada kandungan nutrisi di dalamnya. Terangkan juga kepada anak apa yang anda sediakan serta kebaikannya untuk mereka.

Artikel Lain: [Jangan Guna Sudu Untuk Bagi Ubat Pada Anak, Sukatan Sudu Tak Tepat. Tak Sedar Beri Bahaya]

JIKA ANAK TIDAK MAHU MAKAN BANYAK PADA KALI PERTAMA, JANGAN BERPUTUS ASA. TERUSKAN BERINOVASI DAN CIPTA RESIPI YANG MENGIKUT SELERA ANAK ANDA. ANAK-ANAK AKAN MAKAN JUGA AKHIRNYA WALAUPUN MENGAMBIL MASA.

Ketika makan, elakkan memarahi atau memaksa anak untuk makan seperti orang dewasa. Dalam proses membesar, mereka masih mencuba dan mencari apa yang mereka suka. Tanyakan pada anak apa yang mereka gemari dan cubalah hasilkan makanan seperti yang mereka inginkan. Jika ada masa yang terluang, ibu boleh libatkan anak-anak ketika proses memasaknya. Pasti mereka lebih teruja untuk memakan hidangan itu.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Anda moms-to-be dan mahu belajar ilmu berpantang yang betul? Jangan ketinggalan untuk menyertai Pa&Ma E Workshop yang akan mengetengahkan tentang kepentingan berpantang serta cara terbaik untuk melakukannya. Nak sertai, klik SINI

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham