Pesan Ustazah, Ibu Ayah Mesti Seimbang. Tegas Sangat, Anak Rasa Ada Harimau Dalam Rumah

Share

Pesanan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood ini wajar dijadikan panduan dalam mendidik. generasi soleh dan solehah. Seimbang dari semua aspek sangat penting.

Beliau dalam seminar Ibu Bapa Versatile, Merealisasikan Geneasi Soleh Solehah ,beliau menegaskan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Berikut ialah perkongsian beliau;

Allah menyuruh ibu bapa menjaga diri dan menjaga keluarga. Kalau tak dijaga amanah ini, ibu bapa akan diazab oleh Allah dalam api neraka. Justeru, kita tidak mahu diri dan keluarga menjadi penghuni neraka. Kita tentunya mahukan keluarga menjadi penghuni syurga.

Dalam dunia hari ini, ada 4 kategori ibu bapa iaitu;

1) Ibu bapa yang tidak peduli-iaitu ibubapa yang jenis tak buat apa pun tak apalah. Tak solat pun tak apa, tak buat apa pun tak apa asalkan hidup. Biasanya anak menjadi liar & susah nak dengar cakap.

2)Terlalu tegas-ada undang-undang keluarga tak boleh langgar, anak kurang bermanja & curah kasih sayang. Anak rasa macam ada harimau dalam rumah.

3)Ibu bapa yang manja-apa yang anak nak semua disediakan, ibu bapa tidak tegas. Bagi muka dan anak ‘memijak’ kepala ibu ayah.

4)Seimbang-tidak terlalu tegas, tidak terlalu manja, ada masa yang berkasih sayang & bermanja. Ini yang membina keluarga seimbang.

Tugas kita memimpin dan mendidik anak solat. Perlu sentiasa periksa solat anak. Solat adalah benteng dan boleh melepaskan daripada seksa kubur.

Ibu bapa yang seimbang mesti ada 7 personaliti ini

7 ‘P’ ialah personaliti dalam mendidik anak-anak. Sebab apa kita perlu jadi versatile dalam mendidik anak-anak? Sebab kita perlu menjadi ibu bapa yang seimbang.

#1: Pemimpin

Rasulullah telah bersabda, “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab di atas orang yang dipimpin.” Bahagianya ayah ibu, terutamanya ayah kalau berjaya memimpin keluarga. Anak tidak meninggalkan solat, anak pandai mengaji Al-Quran. Anak mempunyai akhlak yang hebat kerana berjayanya peranan bapa sebagai pemimpin.

Ustazah juga turut berkongsi tentang pertanyaan yang diajukan oleh sahabat baginda “Siapakah orang-orang yang mandul Ya Rasulullah. Rasulullah SAW berkata orang yang ada anak tetapi tiada seorang pun yang memberikan manfaat kepada kedua ibu bapanya. Dan itu yang aku maksudkan dengan orang yang mandul.”

Tugas kita memimpin dan mendidik anak solat. Perlu sentiasa periksa solat anak. Solat adalah benteng dan boleh melepaskan daripada seksaan kubur.

#2: Penawar

Ibu bapa yang menjadi penawar kepada anak-anak bermaksud isteri perlu menjadi penawar hati kepada suami, suami perlu menjadi penawar hati kepada isteri. Ibu bapa perlu menjadi penawar hati kepada anak-anak.
Anak-anak perlu menjadi penawar hati kepada kedua ibu bapa. Penawar ini sangat penting, perlu dimainkan sampai bila-bila. Contoh Sayyidatina Siti Hajar mencari air untuk Nabi Ismail, anak kecil yang haus dan lapar di tengah padang pasir yang tandus. Tapi ibu ini sanggup berusaha keras untuk anak yang haus, berlari dari Safa ke Marwah berulang alik. Kerana ibu ini penawar, pengorbanan ibu ini Allah anugerahkan air zam zam. Sebab itu ibu ayah apabila anak menagis, yang perlu pujuk dan kesat air mata anak itu mestilah ayah atau ibu.

#3: Penghibur.

Kalau tegas sangat, anak akan rasa macam ada harimau dalam rumah. Ini adalah sebab anak lari dari rumah dan liar. Ini kerana dalam rumah itu hanya garang-garang. Senda gurau dalam rumah tangga penting. Rasulullah SAW menjadi penghibur kepada cucuanda Hasan & Husin sehingga semasa solat cucuandanya memanjat ke atas belakang. Rasulullah tidak marah, malah sujud lama dan sudahkan solat secara bangun perlahan-lahan supaya Hasan tidak jatuh. Apabila sahabat baginda bertanya mengapa, kata baginda, cucu-cucuku penawar hatiku.

#4: Penyayang

Ibu bapa  perlu menyayangi anak-anak. Ibu ayah perlu rasa anak ini adalah amanah dari Allah. Hadis ini ada kaitannya. Pada suatu hari Rasulullah SAW sedang peluk, cium dengan Hasan & Husin. Ada seorang sahabat bertanya ” Begini caranya kamu layan cucu-cucumu? Engkau peluk, engkau cium. Aku ada 10 orang anak, tapi tiada seorang pun aku peluk & cium. Maka baginda berkata “Barangsiapa tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” Bagaimana ibu bapa apabila sudah tua nanti, sudah uzur dan tidak boleh urus diri. Anak-anak yang akan menyayangi sehingga ke syurga.

#5: Penyabar

Untuk menjadi ibu bapa yang penyabar, ustaz Wan Akashah telah memberikan tip. Pertama sekali ibu bapa perlu menjaga kata-kata, kerana kata-kata memberikan kekuatan dan ada kehebatan luar biasa. Ia boleh menjatuhkan dan menaikkan seseorang. Ibu bapa wajib menjaga kata-kata dan banyakkan bersabar.

Rasulullah telah bersabda, “Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat bercakap baik atau hanya diam. Ini penting terutamanya kepada ibu dan ayah. Sabda Rasulullah juga barang siapa yang memiliki 3 anak perempuan dan mendidik mereka dengan sabar, memberi makan dan minum daripada apa-apa yang dia dapatkan, maka tersebut akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka di hari kiamat. Sahabat bertanya, bagaimana sekiranya ada 2 anak perempuan? Rasulullah menjawab ‘sama’. Sahabat bertanya, sekiranya ada 1 anak perempuan? Rasulullah menjawab ‘sama.’ Sahabat bertanya, sekiranya hanya mempunyai anak laki-laki? Rasulullah menjawab ‘sama.’ Mudah-mudahan ia menjadi benteng kepada kita daripada azab api neraka.

#6: Prihatin

Ibu bapa yang ambil berat dan ambil tahu tentang anak-anak. Jangan dibiarkan masa dengan anak-anak berlalu pergi begitu sahaja tanpa kenangan indah bersama. Suatu saat nanti kita akan pergi. Masa yang diluangkan dengan anak-anak, anak sakit kita jaga, anak sakit kita bawa dapatkan rawatan, anak belajar kita duduk temankan, solat berjemaah, baca Al-Quran bersama-sama. Masa cuti kita bercuti bersama-sama dengan anak, makan bersama-sama. Ibu yang prihatin memasak dengan air tangan ibu, bapa prihatin cari nafkah untuk keluarga. Semua yang dilakukan ini, apabila kita sudah tiada lagi anak-anak akan terbayangkan segala-galanya.

#7: Pengorbanan

Apa sahaja pengorbanan yang dilakukan kepada anak-anak yang dikasihi semuanya akan dinilai oleh Allah. Ibu ada pengorbanan, ayah ada pengorbanannya. Pengorbanan ibu jelas dilihat apabila anak di dalam rahim ibu. Ibu melahirkan dengan penuh kesakitan, ibu menyusukan dengan kepayahan, ibu didik dengan kasih sayang.

Tetapi pengorbanan ayah, jarang-jarang diperlihatkan. Pengorbanan ayah untuk membahagiakan anak-anak. Justeru, ibu ayah jangan pernah rasa penat dan kecewa, kerana kini tiba masanya kita pula yang perlu mendidik anak-anak dengan merealisasikan generasi soleh dan solehah.

Mudah-mudahan ibu bapa mampu menjadi versatile, berjihad ke jalan Allah SWT. Semoga anda boleh menjadi ibu bapa yang ada 7 ‘P’ ini’ dan seimbang membentuk anak-anak soleh dan solehah.

Artikel berkaitan: 5 Doa Amalan Ni Mama Papa Kena Praktik, Barulah Anak Lembut Hati – Ustazah Nor Bahyah


Pa&Ma kini kembali untuk musim keempat. Setiap Selasa jam 12 tengah hari bersama pengacara anda Syahira Rahman dan Fad hanya di slot Dewi disaluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121.

Published by
Azma ML