Orang kata, petua orang lama ini jangan pandang sebelah mata. Iya, selagi belum cuba, resultnya belum kita tahu kan. Macam tu jugalah petua tambah susu badan selepas bersalin bagi ibu-ibu yang baru melahirkan zuriat.
Sebenarnya Anim tertarik dengan beberapa amalan orang dulu-dulu ni. Sangat ‘rare’ dan jarang juga orang kita amalkan tau. Ini mungkin disebabkan dah wujudnya penawar serta ubat-ubatan moden yang bantu para ibu yang alami masalah penyusuan berjaya menambah susu badan dengan lebih cepat seperti milk booster dan sebagainya.
Namun, PETUA TAMBAH SUSU BADAN yang sejak turun termurun nenek moyang kita dulu amalkan boleh juga sebenarnya dipakai sehingga kini kerana tidak ada salahnya jika mencuba sekiranya itu mendatangkan kebaikan.
Sekiranya anda tengah mencari cara untuk banyakkan susu badan, apa kata cuba petua ini.
Petua #1
Sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian layurkan atas api sampai layu. Apabila sudah rasa agak suam, tekapkan pada payudara selama beberapa minit. Amalkan setiap hari dan lihat hasil inshaallah.
Petua #2
Daun betik juga punya khasiat untuk menambah susu ibu. Rebus beberapa helai daun betik, ambil yang sederhana muda sahaja. Rebuskan, kemudian minum 2 hingga 3 kali sehari.
Petua #3
Banyakkan makan lobak putih. Lobak putih antara makanan yang sangat membantu para ibu menyusu untuk meningkatkan lagi pengeluaran susu badan.
Anim sendiri kerap mengamalkan pengambilan lobak putih supaya dapat tambah susu badan dan memekatkan lagi susu. Sehingga sekarang, Alhamdulillah susu badan masih ada untuk Sofia.
Lobak putih boleh dikisar halus dan campurkan dalam air suam untuk diminum. Tapi, kalau rasa terlalu extreme sangat kaedah ini, anda boleh renehkan ia jadi Sup Lobak Putih. Inshaallah selain berika tenaga, ia mampu menambah susu badan.
Petua #4
Mungkin ramai yang tak tahu petua tambah susu badan ke 4 ini. Tapi Alhamdulillah berkesan selepas Anim cuba tau!
Jantung Pisang. Ya! Sekiranya anda nak cari macam mana nak tambah susu badan secara semula jadi, cubalah makan jantung pisang.
Syaratnya, kenalah beli atau petik dari kebun.
Rebuskan dahulu, jangan dimakan terus. Rebuskan Jantung Pisang, dan makan macam Ulam. Tak kisah lah anda nak colek dengan sambal apa sekalipun. Jantung Pisang banyak berikan khasiat kepada ibu-ibu yang sedang menyusukan anak.
Ingat, menyusukan anak ini, bukan saja perlu tahu ilmu seperti cara mengepam, teknik mermet, supply & demand dan sebagainya. Tetapi makanan juga mempengaruhi hasil supaya ia dapat banyakkan susu badan.
Jangan pandang rendah pada petua tok nenek kita dulu. Dan jangan perlekeh makanan penambah susu badan.
Sebab ramai yang dah dapat manfaat dan rasa lega apabila proses penyusuan lancar dan masalah susu badan kurang berjaya diselesaikan.
Sumber: info.gerobokanim.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Siapa Kata Bersalin Czer Tak Boleh Kurus, Perut Gelebeh? Doktor Ni Betulkan Fakta!
Tak boleh berurut dan berbengkung selepas bersalin. Inilah gambaran ramai buat wanita yang melahirkan anak melalui kaedah pembedahan. Sudahnya badan jadi gelebeh dan sukar untuk kurus. Betulkah kenyataan ini?
Doktor yang cukup dikenali di media sosial, Dr Erna Nadia, yang melalui pengalaman bersalin melalui pembedahan ini menyangkal fakta itu. Bukan cara kelahiran, pokoknya bergantung kepada diri kita sendiri.
Semoga pengalaman yang dilalui beliau ini dapat dijadikan inspirasi untuk ibu terus kekal sihat dan cergas.
Bersalin secara czer tak boleh kurus dan perut gelebeh? Masa mengandung tak boleh bersenam? Masa lepas bersalin tak boleh bersenam?
Salam & hello semua.
Pada yang dah ikuti saya sejak lama dulu mesti tahu perjalanan saya mengandung kali kedua. Masa mengandung kali kedua, saya memilih untuk menjadi aktif.
Setiap kali ada pemeriksaan di klinik atau hospital, saya pasti akan tanya kandungan saya ok ke, kedudukan semua ok ke, janin membesar dengan ok ke dan boleh ke kalau saya bersenam. Jawapannya adalah ok.
Alhamdulillah saya kekal aktif dan saya memang suka berjoging. Boleh dikatakan hari hari walaupun mengandung. Cuma pace tu dah slow la. Tipu lah kalau saya kata saya boleh joging pace 5 waktu sarat.
Jika anda mahu bersenam, tanya pada doktor yang merawat anda. Berat terakhir sebelum saya bersalin adalah 73kg. Ya, saya gain 20kg semasa mengandung.
Saya memilih untuk bersalin secara czer untuk anak kedua ini. Walaupun boleh saja beranak secara normal.
Kenapa?
Kerana saya mahu cuba. Jangan ikut saya. Ini saya sendiri sedang eksperimen dan mahu merasa pengalaman sendiri.
Doktor pakar yang buatkan czer saya ni memang hebat. Lukanya kecik tak sampai sejengkal dan Alhamdulillah sudah elok pulih.
Lepas saya bersalin tengah hari 20 may 20, lepas 6 jam baring, saya gagahkan diri untuk bangun.
Malamnya saya sudah berjalan perlahan lahan mahu lihat baby dan hantar susu badan. Alhamdulillah ok saja. Esoknya saya dah tawaf satu hospital untuk berjalan slow slow.
Tak sakit ke?
Alhamdulillah tidak. Misi misi terkejut pasai doktor depa ni tak reti duduk diam.
Lepas balik rumah, saya mula buat kerja rumah sedikit sedikit.
Sebab apa?
Sebab lepas bersalin tak elok hanya terbaring. Mudah mendapat darah beku dan anda akan jadi malas.
Saya menyusu badan sepenuhnya. Alhamdulillah dah dua tahun pun masih menyusu badan.
Hari kelima selepas czer, saya dah panjat treadmill di rumah. Saya slow jog. Baby tido, saya lari. Saya makan seperti biasa. Tiada lauk pantang yang orang kita suka amalkan. Saya makan makanan yang sihat dan minum banyak air masak.
Masuk 2 bulan lepas bersalin, berat dah jadi 60kg. Saya teruskan aktiviti seperti biasa. Rahim kita akan mengecut sendiri dalam masa 8 minggu. Kalau kita menyusu badan, lagi cepat kecut. Allah dah aturkan dengan baik dah untuk kita. Inilah fisiology normal wanita selepas bersalin.
Mengurut?
Ada. Saya memang suka orang datang urut walau tidak mengandung atau bersalin. Mengurut adalah terapi. Mana mungkin berat boleh normal, rahim kecut hanya dengan mengurut sahaja. Be rational.
Lepas 4 bulan, berat saya jadi 55kg.
Dan saya masuk kerja seperti biasa. Ya saya ambil cuti lebih sebab saya nak jaga baby saya. Alhamdulillah sekarang berat maintain di 53kg dan perut saya tidak buncit.
Saya bukan post ini sebab nak menunjuk. Saya mahu anda ambil point dalam cerita saya yang marhaen ini. Saya eksperimen diri sendiri untuk buktikan yang beranak secara apa sekalipun, kena jaga diri dan kesihatan baik baik.
Saya tak amalkan sebarang produk. Bagi saya, nak sihat, tak perlu membazir. Jaga makan minum, makan makanan sihat, minum banyak air kosong sebab air kosong sejuk atau panad tidak ada kalori, menyusu badanlah dan bersenam.
Jika saya boleh dan ramai lagi yang lebih hebat pun boleh, kenapa tidak anda? Berhenti cakap tak boleh itu tak boleh ini. Kata kata itu doa.
Carilah ilmu yang betul dan amalkan gaya hidup yang sihat. Sebab badan kita bukan hanya penting selepas bersalin sahaja. Kita pakai hari hari sehingga akhir usia dan ianya amanah Allah swt pada kita. Jaga baik baik dan jadilah orang yang baik.
Inilah kisah hidup saya yang saya harap boleh menjawab banyak persoalan wanita yang asyik dimomokkan dengan itu tak boleh ini salah.
Jadilah manusia yang simple dan sihat. Jangan membazir.
Lagi pelik saya ini adalah saya tak minat mekap/berhias ( alat mekap pun tak ada), tak minat barang kemas dan suka drive. Saya suka beli buku. Tak ada tiktok, tak minat tengok video merapu.
Duit yang ada, simpan untuk masa depan dan pelajaran anak anak. Semoga kita semua boleh jadi sihat, baik dan comel.
Dr. Erna Nadia
Jom kita wanita yang simple dan banyak ilmu; dunia & akhirat🙌🏻
Menarik: 6 Bulan Ni, Sayalah Paling Bahagia, Rutin Urus Bilal Mencabar Tapi Membahagiakan PU Riz!
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat!
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Luka Jangan Makan Kicap, Nanti Parut Anak Jadi Hitam. Ini Salah!
Untuk sembuhkan luka, banyak pantang larang yang perlu diikuti. Tak boleh makan telur nanti gatal, kalau makan kicap nanti luka tinggal parut. Betul ke?
Dr Ahmad Luqman Bukhari ada berkongsi tentang hal ini. Katanya ada beberapa kepercayaan tentang penjagaan luka yang salah:
Try lah makan telur kalau nak luka tu bernanah!
Dah lama saya duk perhati ada yang suka beri nasihat mengarut begini. Geram je rasa. Nasib baiklah saya ni penyabar orangnya. Cewah. Haha.
Artikel Menarik: [Elak Bagi Anak Botol Berisi Susu Ketika Tidur, Kalau Terpaksa Letak Air Masak Dalam Botol]
Ada jugak tau parent yang tak bagi anak makan kicap, tak bagi makan telur sebab takut luka lambat baik.
Meh saya cerita sikit benda yang kekadang orang kita main percaya ianya boleh buat luka cepat sembuh padahal benda tu tak betul pun.
APA ORANG KATA vs APA YANG BETUL
❌ Tak boleh makan telur nanti luka bernanah.
Sebetulnya, telur tu mengandungi protein dan protein mainkan peranan yang sangat penting dalam memulihkan luka. Elok sangatlah kalau masukkan telur sebahagian daripada diet.
Yang tak bagus, kalau kalian sapukan telur mentah dekat tempat luka. Haa, tu lah punca luka bertambah teruk sebab telur mentah akan jadi medium yang subur untuk kuman beranak pinak.
❌ Kena elak lauk berkicap sebab nanti parut jadi hitam.
Ni memang tipu habis. Sumpah. Parut jadi hitam bukan sebab kicap weh, tapi keradangan pada luka yang stimulate sel melanocyte untuk hasilkan melanin. Melanin ni adalah pigmen yang terdapat pada rambut dan kulit, dan itu yang buatkan parut kelihatan hitam.
❌ Nak bunuh kuman, kena cuci luka dengan alkohol.
Aduhh! Sakit kot. Janganlah memandai pergi tuang alkohol kat budak yang ada luka, menjerit-jerit kesakitan dia nanti. Tak pasal-pasal sel dalam luka tu pun boleh mati.
Sebenarnya, luka yang tiada tanda infection, kita boleh saja basuh dengan air steril. Alkohol pula selalunya digunakan untuk basmi kuman yang terdapat pada keliling luka ataupun pada kulit yang tak luka.
❌ Mandi laut untuk percepat proses penyembuhan.
Ni pun satu lagi benda yang boleh menambah sakit pada luka dan berisiko untuk buatkan infection pada luka.
Memang di hospital kami kadang-kadang gunakan air garam (NaCl 0.9%) untuk cuci luka yang tiada jangkitan, tapi ia bersih, tak sama macam guna air laut sebenar. Air laut boleh jadi dicemari kuman, jadi risiko untuk luka dijangkiti tu sangat tinggi.
❌ Jangan letak plaster. Biarkan luka terbuka supaya cepat kering.
Ada yang gemar tengok luka terbiar sampai kering dan berkeruping. Tak bagus sebenarnya buat macam tu. Bila dah sampai berkeruping, pertumbuhan sel baru jadi makin lambat seterusnya penyembuhan luka pun jadi tak sekata.
CARA YANG PATUT DIBUAT UNTUK SEMBUHKAN LUKA
Baiklah. Secara ringkasnya cara yang sepatutnya untuk penyembuhan luka yang bagus ialah:
✅ Cuci luka dengan air steril sahaja. Atau gunakan larutan antiseptik yang mesra luka seperti larutan hyperoksid.
✅ Apply plaster atau dressing yang sesuai pada kawasan luka. Ia menghalang kuman di sekeliling daripada menjangkiti luka.
Artikel Menarik: [Penyakit Kulit Yang Biasa Namun Bahaya Jika Terjadi Kepada Kanak-Kanak!]
Dalam masa sama, luka yang kekal lembab akan menyediakan medium yang sangat bagus untuk sel-sel berkerja secara optimum bagi memperbaiki luka tu. Barulah pemulihan berlaku elok.
✅ Teruskan pengambilan makanan yang mengandungi kandungan protein yang tinggi seperti telur, kekacang, ayam dan susu.
Tak usah berpantang yang pelik-pelik ya.
Semoga bermanfaat!
#notaDrALB
Semoga dengan perkongsian Dr Luqman dapat memberi sedikit penjelasan kepada kita tentang cara penjagaan luka yang betul. Dengan cara yang betul, luka pasti boleh sembuh segera.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kanak-Kanak Sakit Kanser Makin Ramai, Paling Tinggi Leukemia! Dr Jelas Sebabnya
Tiada ibu bapa yang mahukan anak-anaknya sakit. Sejak dari dalam kandungan sehinggalah lahir, doa ibu hanya mahu semua anak diberi kesihatan berpanjangan. Namun jika dah ditakdirkan ujian ini, siapa kita nak menidakkannya.
Malah dari sehari ke sehari, boleh dikatakan bilangan anak menghidap kanser semakin bertambah. Keadaan ini pastinya membimbangkan. Ini kerana dari seorang anak yang dilahirkan sihat, bila doktor sahkannya kanser, terus rasa dunia ini gelap.
Namun penjelasan daripada Dr Rashdan Mohamed ini sangat bermanfaat dan ingat kanser bukanlah pengakhiran hidup. Apa yang penting cepat dapatkan rawatan.
KANSER DI KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA
Jenis kanser paling tinggi dihidapi kanak-kanak adalah leukemia, mengapa?
Kanser yang paling biasa berlaku dikalangan kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun adalah leukemia, diikuti kanser otak & sistem saraf, limfoma, neuroblastoma, kanser ginjal dan kanser tulang. Ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan.
Manakala bagi remaja 15 hingga 19 tahun, kanser otak, saraf dan limfoma adalah lebih tinggi berbanding leukemia.
Leukemia itu sendiri ada beberapa jenis seperti Acute Lymphocytic Leukemia, Acute Myeloid Leukemia dan Chronic Leukemias.
Punca utama mengapa leukemia yang paling biasa dihidapi kanak-kanak mungkin sukar dipastikan. Ada banyak faktor, antaranya, kajian menunjukkan sesuatu bangsa atau etnik mempunyai peratusan risiko yang lebih tinggi untuk sesetengah kanser berbanding kanser yang lain. Ada faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi (akan dibincangkan lanjut nanti).
Adakah trend ini boleh dikurangkan?
Dari banyak kajian yang dijalankan, incidence kanser dikalangan kanak-kanak ada menunjukkan peningkatan berbanding dahulu, namun begitu, dengan diagnosis dan rawatan awal yang optimum, kita dapati, survival rates juga meningkat.
Sebagai contoh, secara kasar, pada era 1970-an, hanya sekitar 58% – 70% kanak-kanak dan remaja dengan kanser, hidup dalam masa 5 tahun. Namun kadar ini meningkat kepada 85% – 90% pada ketika ini (bergantung jenis kanser dan tahap). Kemajuan teknologi, pengesanan dan diagnosis awal, serta rawatan yang ditawarkan antara faktor peningkatan positif survival rates ini.
Namun, ada juga kanser tertentu yang sukar dirawat dan mempunyai survival rates yang rendah berbanding leukemia.
Punca kanak-kanak menghidap kanser (termasuk semua jenis kanser)?
Antaranya adalah:
Faktor genetik
Kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini ada perubahan atau mutasi pada bahan genetik atau genes yang menyebabkan kanser berlaku. Perubahan atau mutasi genetik ini mungkin dari keturunan atau juga berlaku secara spontan dan semulajadi.
Sebagaimana yang kita bincang tadi, ada etnik tertentu berisiko untuk kanser tertentu. Ada juga kanser yang dihidapi itu mungkin disebabkan faktor keturunan. Ada masa, masalah genetik sindrom tertentu seperti Sindrom Down yang berisiko untuk mendapat leukemia.
Jadi, faktor genetik ini meyumbang kepada risiko untuk menghidapi kanser tertentu.
Faktor persekitaran
Faktor persekitaran juga ada peranan dalam kanser. Contohnya, merokok menyebabkan kanser peparu dan kanser mulut. Pendedahan kepada bahan-bahan kimia tertentu seperti asbestos, racun serangga dan bahan radiasi juga boleh membawa kepada kanser. Jangkitan kuman tertentu juga memberi risiko.
Kebanyakan kes pesakit kanser kanak-kanak didiagnosis sudah pada tahap berapa?
Ada pesakit kanser kanak-kanak yang didiagnosa pada peringkat awal dan ada juga pada peringkat lewat. Apa yang lebih utama adalah, nasihat saya kepada semua ibu bapa, untuk mengenalpasti gejala seperti demam berpanjangan, hilang selera makan, susut berat badan, sakit kepala, muntah berterusan, sakit tulang, bengkakan pada organ atau apa jua gejala yang membimbangkan untuk mendapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan, supaya diagnosa awal dan rawatan awal boleh diberikan
Jenis-jenis rawatan untuk pesakit kanser kanak-kanak?
Bergantung kepada jenis dan tahap kanser. Secara umum rawatan kanser kanak-kanak adalah:
1. Rawatan kemoterapi
2. Rawatan radioterapi
3. Pembedahan
4. Rawatan sokongan multidisiplin
5. Rawatan paliatif
Kebiasaanya, doktor pakar onkologi kanak-kanak akan mengenalpasti terlebih dahulu jenis dan tahap kanser, dan akan berbincang dengan ibu bapa berkenaan rawatan yang akan diberikan termasuk kesan sampingan dan manfaat rawatan. Ada sesetengah kanser perlu kemoterapi, pembedahan dan diikuti radioterapi. Ada juga, seperti leukemia tertentu, yang hanya memerlukan kemoterapi. Kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini akan dimasukkan ke unit onkologi hospital di mana mereka akan menerima rawatan yang telah dirancangkan termasuk rawatan sokongan seperti sesi kaunseling, fisioterapi, dan rawatan khusus pakar-pakar lain termasuk pakar endokrin seperti saya. Rawatan paliatif, biasanya, dikhususkan untuk pesakit kanser tahap akhir, untuk mengurangkan kesakitan dan penderitaan mereka.
Seawal usia berapa kanak-kanak boleh didiagnosis menghidap penyakit kanser?
Oh, kita ada pesakit seawal usia bawah 1 tahun didiagnosa menghidapi kanser juga. Secara umum, umur antara bayi hingga 19 tahun, dan kebiasaanya sekitar usia 5 hingga 8 tahun, bergantung jenis kanser.
Adakah kanak-kanak yang menghidap kanser berpotensi sembuh?
Benar, dengan pengesanan awal dan rawatan, juga jenis dan tahap kanser, InSyaAllah, kanak-kanak ini berpotensi sembuh. Sebagaimana kita bincang dia atas, sesetengah kanser seperti leukemia, berpotensi sembuh dengan survival rate setinggi sehingga 90%.
Adakah ada risiko penyakit kanser ini berulang semula, jika pesakit sudah sembuh dalam rawatan sebelum ini?
Risiko itu tetap ada, risiko untuk berulang (recurrence) atau kanser ke-dua (second cancer). Ianya bergantung kepada jenis dan tahap kanser, juga rawatan yang diberikan.
Namun, doktor pakar onkologi dan pakar lain yang merawat, akan terus memantau keadaan pesakit menerusi temujanji susulan untuk memastikan jika kanser ini berulang atau ada kesan sampingan dari kanser mahupun rawatan, melalui pemeriksaan klinikal, ujian makmal dan radiologi. Saya sendiri, ada beberapa pesakit kanser yang dirujuk kepada saya kerana mengalami masalah endokrin (hormon) susulan kanser kalenjar pituitary yang perlu dibedah dan pesakit survivor lain.
Nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak menghidap penyakit kanser
Pertamanya, doa dan hati saya bersama semua pesakit, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak dan remaja yang menghidapi kanser ini. Saya faham, ianya bukan mudah. Dengan penuh rendah diri, ini nasihat saya:
1. Berbincanglah dengan doktor pakar yang merawat berkenaan jenis, tahap dan rawatan yang ditawarkan. Tidak dinafikan, ada sesetengah rawatan termasuk kemoterapi yang mempunyai kesan sampingan tertentu yang juga ada rawatannya. Dapatkan maklumat dan nasihat dari doktor pakar
2. Ada juga ramai yang akan cuba “tawarkan” nasihat berkenaan “rawatan alternatif” yang mungkin akan menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan optimum, sehinggakan meyebabkan kanser itu melarat dan merebak ke tahap bahaya. Ada juga “rawatan alternatif” ini mengandungi bahan kimia tertentu atau teknik rawatan yang membahayakan. Ada juga yang tidak patuh shariah. Perkara-perkara sebegini hendaklah dielakkan.
3. Pesakit dan keluarga juga perlu banyak bantuan dan sokongan termasuk bantuan dan sokongan fizikal, moral dan psikologi ketika mendapat tahu berkenaan kanser dan ketika proses rawatan. Sokongan dan bantuan keluarga, rakan dan komuniti amat penting. Bantuan fizikal dan kewangan juga diperlukan. Keluarga terutama ibu dan ayah harus bersatu hati ketika masa sukar ini.
4. Sesi rawatan dan temujanji amat penting dan harus diberi keutamaan.
5. Terimalah takdir ini dengan hati terbuka, pasti ada hikmahnya dan bersedia untuk menempuh proses rawatan dengan positif, sifat sabar, berlapang dada dan bersangka-baik.
Memang normal untuk berada dalam keadaan penafian (denial) dan marah, namun, lagi cepat untuk menerima hakikat ini, lagi cepat rawatan dimulakan, lagi tinggi peluang anak untuk sembuh dan survive, InSyaAllah.
Kredit: Dr Rashdan Mohamed
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI