Pil perancang lelaki pertama lulus ujian manusia, sperma ‘direhatkan’ tanpa ganggu hormon! Inilah harapan baharu dalam dunia perancangan keluarga yang lebih seimbang.
Selama ini, bila bercakap tentang perancang kehamilan, kaum wanitalah yang sering memikul tanggungjawab sepenuhnya. Dari pil hormon, suntikan, implan hinggalah kepada alat dalam rahim (IUD), semua pilihan terletak di tangan wanita. Namun kini, berita baik buat para ibu dan juga para bapa. Satu inovasi baharu mungkin bakal mengubah landskap perancangan keluarga.
Para saintis telah berjaya mencipta pil perancang untuk lelaki yang pertama seumpamanya dan lebih menarik, ia tidak melibatkan sebarang perubahan hormon atau prosedur kekal seperti vasektomi.
APA ITU PIL YCT-529?
Pil ini dikenali sebagai YCT-529, ia merupakan ubat eksperimen yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi, YourChoice Therapeutics. Fungsinya adalah untuk menghentikan sementara pengeluaran sperma tanpa menjejaskan hormon lelaki seperti testosteron.
Ia bertindak dengan menyekat sejenis protein yang penting dalam proses penghasilan sperma, dikenali sebagai Retinoic Acid Receptor Alpha. Yang paling melegakan, kesan ini boleh dipulihkan sepenuhnya selepas pil dihentikan. Jadi ia tidak menjejaskan kesuburan jangka panjang.
HASIL KAJIAN KE ATAS HAIWAN
Dalam ujian ke atas tikus jantan, penggunaan pil ini telah berjaya mengurangkan penghasilan sperma secara signifikan dan menyebabkan ketidaksuburan sementara. Apabila rawatan dihentikan, kesuburan pulih dalam masa empat minggu sahaja. Malah, kadar keberkesanan pencegahan kehamilan mencecah 99% apabila tikus jantan yang dirawat mengawan dengan betina.
SELAMATKAH UNTUK MANUSIA?
Setakat ini, keputusan ujian klinikal manusia pertama sangat positif. Seramai 16 lelaki sihat berumur antara 32 hingga 59 tahun kesemuanya telah menjalani vasektomi telah menyertai kajian ini.
Menurut pengasas bersama YourChoice Therapeutics, Dr Nadja Mannowetz, mereka mengambil langkah berhati-hati kerana ini adalah kali pertama pil perancang lelaki tanpa hormon diuji ke atas manusia. Kajian ini bukan bertujuan untuk mengukur keberkesanan mencegah kehamilan, tetapi untuk memastikan ubat ini selamat digunakan dan berfungsi seperti yang dirancang dalam tubuh.
APA MAKNANYA UNTUK IBU DAN AYAH?
Kehadiran pil ini membuka harapan baharu dalam perancangan keluarga. Suami dan isteri kini boleh berkongsi tanggungjawab dengan lebih adil. Isteri tidak lagi perlu menanggung beban perubahan hormon yang kerap memberi kesan sampingan seperti peningkatan berat badan, emosi tidak stabil, atau masalah haid.
Pil ini juga boleh memberi kelegaan kepada pasangan yang belum bersedia menambah cahaya mata, namun masih mahu mengekalkan hubungan suami isteri yang sihat dan harmoni.
MASIH PERLU BERHATI-HATI
Walaupun pil ini memberikan sinar baru, ia masih dalam fasa kajian. Sekiranya diluluskan dalam masa beberapa tahun akan datang, ia bakal menjadi pilihan baharu dalam senarai perancang keluarga yang lebih mesra lelaki.
Namun, ibu dan ayah harus sentiasa mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mencuba apa-apa kaedah kontraseptif baharu. Ingat, matlamat utama perancangan keluarga adalah untuk memastikan kebajikan, kesihatan dan kestabilan hubungan suami isteri terus terpelihara.
Pa&Ma Nasihatkan: 🌸 Perancangan keluarga adalah tanggungjawab bersama. 🌸 Jangan takut berbincang dengan pasangan tentang pilihan terbaik. 🌸 Dapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan profesional kesihatan. 🌸 Pil perancang lelaki bukan pengganti kondom – ia masih penting untuk elak jangkitan penyakit.
Jika semuanya berjalan lancar, dunia mungkin bakal menyaksikan perubahan besar dalam perancangan keluarga. Bukan lagi satu beban untuk wanita semata-mata, tetapi satu usaha bersama antara suami isteri demi masa depan keluarga yang lebih bahagia.
Hati ibu bapa mana yang tidak hancur apabila melihat wajah si kecil yang ditatang penuh kasih, pulang dalam keadaan penuh lebam. Itulah yang dilalui sebuah keluarga apabila anak lelaki berusia dua tahun dipercayai menjadi mangsa dera pengasuhnya.
Menurut perkongsian di laman Facebook oleh Zehra Zubari, anak saudaranya itu dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat, ceria dan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit. Namun, sekitar jam 9.39 malam, apabila kanak-kanak itu dihantar pulang, wajahnya dipenuhi lebam merah yang jelas menyakitkan hati sesiapa sahaja yang melihat.
“Hancur luluh hati kami sekeluarga. Dia masih kecil, belum pandai bercakap, tapi sudah menerima penderitaan sebegini. Dia hanya mampu sebut ‘akit, akit’ sambil gosok pipinya yang lebam,” luah Zehra penuh sebak.
Trauma Yang Mendalam
Sejak kejadian itu, si kecil ini mengalami trauma yang cukup teruk. Dia enggan didukung ahli keluarga, sering mengigau di wad, dan menangis sambil menyebut “No, no, no” seolah-olah masih ketakutan dengan apa yang berlaku.
Lebih memilukan, keluarga mendakwa kanak-kanak itu dibawa keluar oleh pengasuh sekitar jam 12.30 tengah hari dan hanya dihantar pulang hampir 10 jam kemudian dalam keadaan cedera tanpa sebarang rawatan.
Susulan laporan polis, pasangan suami isteri yang menjaga kanak-kanak ini telah ditahan bagi membantu siasatan. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut mengesahkan siasatan dijalankan selepas ibu mangsa membuat laporan pada Jumaat lalu.
Iktibar Buat Semua Ibu Bapa
Kes penderaan ini benar-benar menguji hati seorang ibu dan ayah. Anak yang ditinggalkan di tangan pengasuh sepatutnya dilindungi, tetapi sebaliknya menjadi mangsa kekejaman.
Oleh itu, Pa&Ma mengingatkan semua ibu bapa agar:
Sentiasa peka dengan keadaan fizikal anak setiap kali pulang dari jagaan.
Percaya pada naluri hati – jika ada yang mencurigakan, segera bertindak.
Pilih pengasuh atau pusat jagaan berdaftar serta dipantau oleh pihak berkuasa.
Jangan teragak-agak memasang CCTV atau membuat pemeriksaan mengejut demi keselamatan anak.
Semoga kejadian ini membuka mata kita semua bahawa amanah menjaga anak bukan perkara kecil. Anak-anak adalah anugerah Allah yang wajib dilindungi dengan penuh kasih sayang, bukan disakiti.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman berat terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 40, seorang penganggur yang akhirnya menerima balasan atas kekejaman melampau yang pernah menggemparkan negara.
Lelaki itu dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan 10 tahun dan satu sebatan bagi kes meliwat, serta 30 tahun dan 12 sebatan bagi kes membunuh seorang bayi berusia 9 bulan. Keputusan ini sekaligus menjadi perkembangan penting dalam kes bayi Afiq yang kembali menarik perhatian rakyat.
Menurut pertuduhan, jenayah ngeri ini berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang pada 27 April 2021. Di situlah seorang bayi kecil, Muhammad Afiq Rizqin, menjadi mangsa kerakusan manusia yang langsung tidak berhati perut. Lebih menyedihkan, tragedi berlaku di rumah asuhan tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat buat anak kecil ketika ibu bapa keluar mencari rezeki.
Arwah diliwat hingga mengalami kecederaan dalaman sebelum meninggal dunia. Jenayah ini meninggalkan luka yang mustahil sembuh buat keluarga kecil itu.
Selepas hukuman dibacakan di mahkamah, satu catatan lama kembali tular di media sosial coretan si ibu, Robiatul’ Adawiah Aziz, yang ditulis kira-kira empat tahun lalu.
Luahan itu merakam kronologi penuh bagaimana tragedi itu terbongkar, dan bagaimana seorang ibu melalui saat paling gelap dalam hidupnya.
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa kes bayi Afiq bukan sekadar berita, tetapi tragedi kemanusiaan yang merentap hati sesiapa yang membacanya.
Coretan Ibu Yang Kembali Tular Kronologi Tragedi Adik Afiq
Coretan Robiatul’ Adawiah pernah viral suatu ketika dulu kerana setiap ayatnya terasa seperti ditikam perlahan-lahan. Kini, apabila keadilan akhirnya ditegakkan, luahan itu muncul semula mengingatkan orang ramai tentang betapa dahsyatnya penderitaan yang dilalui keluarga ini.
1. Panggilan Cemas Yang Meragut Seluruh Nafas Seorang Ibu
Pada 27 April 2021, jam 3.44 petang, ibu ini menerima panggilan daripada pengasuh, Ida:
“Biey, datang hospital Sungai Buloh sekarang, Afiq tak sedar.”
Dunia terus gelap. Tanpa fikir apa-apa, dia menghubungi suami dan bergegas ke Hospital Sungai Buloh menaiki motosikal dalam keadaan hujan lebat dan jalan sesak.
Satu persoalan mula timbul mengapa pengasuh membawa bayi itu sejauh Hospital Sungai Buloh sedangkan ada hospital jauh lebih dekat? Lebih memeranjatkan, pengasuh tidak menghubungi ibu terlebih dahulu, hanya selepas anak diserahkan kepada doktor.
2. Pengasuh Hilang Entah Ke Mana – “Saya kat bazar Ramadan.”
Sampai di hospital, doktor memaklumkan bahawa jantung Afiq sudah berhenti sebelum sampai. CPR dilakukan selama 10 minit dan jantungnya kembali lemah-lemah.
Ketika jururawat memanggil pengasuh untuk membantu beri maklumat, ibu menghubungi Ida. Jawapannya?
Dia berada di bazar Ramadan.
Di saat bayi asuhan bertarung nyawa, dia masih sempat berjalan-jalan sesuatu yang sukar diterima sesiapa pun.
Yang menghantar bayi ke hospital pula suami pengasuh, seorang penagih dadah.
3. Malam Yang Tidak Terlupakan
Doktor menunjukkan keadaan Afiq melalui video. Bayi kecil itu terbaring kaku, dipenuhi wayar dan mesin bantuan hidup. Doktor memberitahu bahawa otak Afiq mengalami kerosakan teruk akibat kekurangan oksigen.
Ibu dan ayah bergilir menjaga sepanjang malam, walaupun berada di zon pesakit COVID-19. Tangisan mereka hanya Tuhan yang dengar.
4. Pemergian Yang Merobek Jiwa
Keesokan paginya, doktor mengesahkan keadaan Afiq semakin merosot. Jantung semakin perlahan, darah semakin kurang.
Untuk mengurangkan penderitaan, doktor mencadangkan agar ubat dikurangkan sedikit demi sedikit.
Dan tepat 12.18 tengah hari, 28 April 2021, adik Afiq pergi menghadap Pencipta.
Ketika itu, mereka masih tidak tahu punca sebenar kematian.
5. Bedah Siasat Mendedahkan Kebenaran Paling Menyakitkan
Pada 30 April 2021, hasil bedah siasat keluar. Dan di situlah segala rahsia yang cuba disorok terbongkar.
Arwah lemas kerana mulut dan hidung ditutup. Dan lebih kejam, ada koyakan pada saluran najis akibat diliwat.
Berita yang tidak mampu diterima akal seorang ibu atau mana-mana manusia waras.
6. Janji Seorang Ibu: “Kami Akan Fight Untuk Anak Syurga Kami.”
Walau patah, mereka tetap berdiri. Walau hancur, mereka tetap melawan.
Dalam tulisannya, si ibu menegaskan bahawa mereka redha, tetapi mereka tidak akan melepaskan perjuangan untuk menuntut keadilan buat anak syurga mereka.
Kematian Adik Afiq Akhirnya Terbela
Empat tahun keluarga kecil ini menanggung rindu, marah, kecewa dan luka yang tidak pernah hilang. Namun dengan hukuman yang akhirnya dijatuhkan minggu ini, ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk pembelaan buat arwah Muhammad Afiq Rizqin.
Tiada apa pun yang boleh mengembalikan senyuman kecil itu, tiada apa yang boleh memadam trauma yang dilalui ibu dan ayahnya, tetapi sekurang-kurangnya keadilan itu akhirnya menyebelahi mereka.
Hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dikenakan ke atas pelaku menjadi isyarat jelas bahawa dosa terhadap seorang bayi tidak akan sesekali terlepas daripada undang-undang dan pembalasan.
Kisah adik Afiq mengingatkan seluruh negara bahawa anak kecil bukan sekadar amanah, tetapi nyawa yang wajib dijaga tanpa kompromi. Dan hari ini, walaupun jasadnya sudah lama pergi, perjuangannya tetap hidup melalui setiap baris tulisan seorang ibu yang tidak pernah berhenti berharap. Kes bayi Afiq terus kekal sebagai peringatan tentang pentingnya keselamatan anak kecil.
Keadilan itu mungkin datang lambat, tetapi ia hadir juga akhirnya menjadi penutup luka paling pedih dalam hidup mereka. Arwah Afiq telah pun kembali ke tempat yang paling selamat, dan hari ini, seluruh rakyat Malaysia turut sama menghembuskan nafas lega kerana kematiannya akhirnya terbela.
Jangan sampai terlambat. Kalau betul sayangkan ibu ayah, selalulah beritahu mereka. Pastikan mereka tahu betapa kita sayangkan mereka. Garang mereka bertempat, setiap kali kita dirotan dulu tu semuanya untuk membentuk kita jadi ‘manusia’.
Seperti yang dikongsikan pembaca Pa&Ma kali ini, betapa menyesalnya dia kerana begitu ‘berat’ mengakui rasa sayang pada si ayah. Bila baca luahan dia, sedih sangat rasa. menitik air mata.
Admin tolong siarkan cerita aku ni. Aku nak semua orang baca dan jadikan iktibar. Kena sayang ayah, hormat ayah. Takut bila dia dah takde, baru nak menyesal. Time tu dah tak guna. Itulah cerita hidup aku.
Lelaki ego. Aku mengaku, sebab aku lelaki. Ayah aku pun lelaki. Sama-sama ada pendirian sendiri. Nak menang aje kerjanya. Aku dengan ayah memang tak pernah sebulu angin. Sejak kecik lagi, memang selalu bergaduh dengan ayah. Seawal aku 15 tahun, aku dah berani naik suara dengan ayah.
Ayah aku ni orangnya tegas. Garang gila. Maklumlah askar. Dia memang pantang kalau anak-anak dia buat pasal. Tapi memang aku lah yang selalu buat masalah. Berapa banyak jiran datang mengadu hal aku pada ayah.
Kena Rotan Sampai Berbirat
Aku ingat waktu aku form 5. Aku kantoi pancitkan tayar Ustaz Harun. Asalnya benda ni berlaku sebab Ustaz Harun tegur aku dengan kawan-kawan melepak tepi parit. Lepak-lepak budak, sambil melepak mengorat anak dara. Lepas tu main gitar nyanyi-nyanyi.
Geram punya pasal, malam tu waktu solat Isyak kat surau aku plan nak pancitkan tayar Ustaz Harun. Settle solat, aku cepat-cepat keluar, sebab bahaya kalau lambat. Nanti ada yang nampak pulak. Aku dengan member, namanya Ijam. Cepat-cepat kami pergi ke motor Ustaz.
Nak jadikan cerita kena tangkap. Kantoi! Ada yang nampak kami nak pancitkan tayar. Bising-bising waktu tu, sampai ayah aku pun keluar menjenguk. Bila dia dapat tahu anak dia yang buat hal, terus ditariknya aku keluar dari surau tu. Penampar satu kali aku dapat! Lepas tu dia kata, balik siaplah. Memang betul teruk aku kena. Balik tu ayah dah tunggu dengan rotan dia. Bukan sembarangan rotan, dia raut sendiri dari pelepah sawit. Sekali libas, boleh pengsan sakitnya.
Teruk aku kena malam tu. Emak menangis, merayu-rayu minta ayah berhenti. Kakak-kakak aku semuanya menangis, nak cakap dengan ayah tak berani. Tapi memang terbaiklah hasil kena rotan tu, penuh birat belakang badan. Sakitnya, Tuhan je yang tahu. Kalau waktu tu pukul anak macam ni kena tangkap polis, aku rasa ayah aku meringkuk kat dalam dah!
Gaduh Teruk Dengan Ayah
Habis SPM aku cakap dengan emak, malas nak sambung belajar. Aku kata cita-cita aku nak jadi pomen. Waktu tu aku berkawan dengan seorang abang kat kampung, dia ada bengkel sendiri. Dia banyak ajar aku cara-cara betulkan kereta. Aku jadi minat dengan kereta. Sebab tu aku cakap dengan emak tak nak sambung belajar dah. Aku siap minta emak belikan aku kereta second hand nak bikin-bikin kata aku. Tapi, ayah aku tak setuju.
Ayah aku kata aku anak jantan. Jadilah askar macam dia. Punyalah bengang aku. Aku cakap nak buat jadi askar. Anak sendiri tak pandai jaga, berangan nak jaga negara. Teruk aku bergaduh dengan ayah waktu tu. Merasalah penampar sedas dua. Penumbuk ayah pun naik kat muka. Pergh! Pecah mulut. Memang ayah aku marah betul aku tak nak sambung belajar.
Malam tu aku dah tak tahan. Aku bungkus kain baju, salam emak. Minta maaf pada emak. Lepas tu aku keluar dari rumah. Aku rasa lega. Dapat lepas dari cengkaman ayah aku. Tak ada tempat nak pergi, aku minta tumpang rumah Ijam malam tu. Ijam ni memang kawan baik aku, sampai sekarang kami masih berhubung. Bini-bini kami pun berkawan baik.
Dia lah yang tahu segala cerita pahit manis kehidupan aku dengan ayah. Aku tumpang rumah Ijam dalam sehari dua, lepas tu aku ke KL. Dia tak bagi aku pergi, sebab katanya kami tak ada kenalan kat sana. Aku tetap berdegil, jadi dia punya sayang kat aku, dia pun ikut sekali.
Kerja Mekanik, Sewa Bilik RM200 Dengan Ijam
Rasanya ada juga dalam 2 minggu aku dengan Ijam tidur kat masjid waktu kami datang KL. Kerja tak ada, rumah tak ada. Berbekalkan duit yang emak aku dan Ijam bagi, lepaslah buat beli makan. Sambil tu cari kerja. Takkan nak kalah dengan ayah aku kan? Sebagai jantan, aku kena buktikan pada ayah aku, yang aku boleh hidup tanpa dia.
Akhirnya rezeki menyebelahi aku dan Ijam. Aku dapat kerja jadi pomen, Ijam kerja kat pasar raya. Bolehlah untuk buat hidup. Dapat jumpa sebuah bilik sewa. Sebulan RM200. Punya sempit, tapi muat untuk kami berdua. Itulah pengalaman kami duduk berdua. lama juga kami kerja di KL dan duduk di bilik sewa tu.
Dalam 2 tahun juga. Dalam tempoh tu, susah senang kami share sama-sama. Kami berjaya buat bisnes sama-sama. Dapat modal dari bos aku. Memang dia banyak duit. Dia kata nampak kesungguhan aku, jadi dia nak support aku buat bisnes. Si Ijam ni dia bijak sikit part pengurusan duit dan kira-kira, jadi aku ajak dia bisnes sekali.
Tak senang, tapi tak mustahil. Kerja bagai nak gila. Akhirnya bisnes aku berjaya. Ijam minta izin untuk dia usahakan bisnes sendiri. Tapi katanya tetap akan bantu aku. Memandangkan dia suka memasak, sebab emak dia kat kampung memang ada gerai. Jadi dia nak buat bisnes makanan.
Aku support dia. Tapi aku kata, bisnes ni buat sama-sama sampai kami masing-masing dah berjaya. Lepas 5 tahun usahakan kedua-dua bisnes ni, aku dah berjaya ada 2 bengkel. Ijam cuma ada satu cawangan tapi dia ada buat bisnes katering jugak.
Beli Kereta Untuk Ayah
Walaupun aku bergaduh dengan ayah, setiap kali raya aku balik. Sebab sibuk, aku jarang balik kampung. Tapi duit belanja untuk emak dan ayah aku hantar. Aku ni anak bongsu. Kakak aku ada empat orang. Jadi selalu juga emak minta aku balik sebab katanya ayah rindu. Dia kata, aku sajalah anak lelaki dia. Tapi dia tak pernah nak beritahu dia rindu, sebab jatuhlah ego dia.
Aku balik kampung satu hari tu, bawa kereta untuk ayah. Aku tahu ayah bangga dengan aku. Waktu aku balik tu, dia dah tunggu depan rumah. Bila aku tunjukkan kereta baru untuk ayah, senyum simpul dia. Ucap juga terima kasih, tapi nampaklah masih tegas. Ayah kan, pusing-pusing celah mana tetap aku sayang. Aku tahu, dia pun sayangkan aku.
Tapi aku tak sangka, itulah salahnya aku. Sebab sepanjang aku bergaduh dengan ayah tu, tak pernah sekali pun aku beritahu yang aku sayangkan dia. Itulah yang aku sesalkan sampai sekarang. Bila aku dah serius nak berkahwin dengan gf aku waktu tu (sekarang dah jadi wife aku), aku minta izin pada emak dan ayah. Tak ada halangan pun dari pihak mereka. Mereka setuju saja walaupun aku masih muda, lebih kurang 22-23 tahun. Tapi mungkin sebab aku dah stabil dari segi kewangan, orang tua aku pun izinkan.
Waktu aku nak kahwin, sibuklah ayah besarkan bilik aku. Nak bagi cantik katanya. Biar selesa nanti aku dengan wife nak duduk situ. Macam-macam dia buat. Dah besarkan bilik, dia cat pula cantik-cantik. Minta emak hiaskan bilik. Seronok agaknya nak dapat menantu perempuan tunggal.
Satu hari tu dia nak buat wiring, sebab nak pasang lampu untuk bilik aku. Dia pun memanjat sebab tinggi kan? Emak dah larang, tapi ayah tetap berdegil. Dibuatnya juga kerja tu. Entah macam mana, mungkin ayah terkenan serangan jantung waktu tu, dia jatuh. Bila emak jumpa dia, dia dah tak sedarkan diri. Terus emak minta tolong jiran sebelah untuk bawa ayah ke hospital.
Bergegas aku dengan kakak-kakak semua balik ke kampung. Sedihnya bila tengok keadaan ayah. Dia masih tak sedarkan diri. Wayar berselirat sana-sini. Doktor kata ada darah beku pada kepala ayah. Sekarang ayah koma, tapi tak pasti seberapa lama. Doktor tak nak berikan harapan. Lebih kurang seminggu juga ayah terbaring koma, masih tak menunjukkan tanda-tanda akan pulih.
Doktor kata dah tak ada harapan. kami perlu cabut alat bantuan pernafasan ayah. Katanya, bila dicabut ayah akan ‘pergi’. Jadi kami sepakat untuk ikut saranan doktor. Setakat itulah panjangnya umur ayah. Dia meninggalkan kami sekeluarga. Sedih sungguh rasanya. Semata-mata dia nak sediakan bilik yang selesa untuk aku dan isteri, dia jatuh tangga. Akulah yang paling terkesan dengan pemergian ayah, sampai aku minta untuk tangguhkan perkahwinan. Mujur isteri dan keluarganya faham. Terima kasih sayang…
Paling menyedihkan, ayah macam dah boleh agak dia akan meninggal dunia. Dia ada tulis sepucuk surat untuk aku. Ya, macam dalam filem kan? Tapi itulah yang berlaku. Ayah aku tulis surat dan dalam tu dia luahkan perasaan dia. Dia minta maaf pada aku dan beritahu betapa dia bangga dan sayangkan aku. Ya Allah, remuknya hati aku. Sedihnya. Memang aku down sangat. Aku menyesal, sebab selama ni tak pernah beritahu yang aku pun sayangkan dia! Maafkan aku, ayah!
Untuk korang yang masih ada anak, hargailah mereka. Jangan malu mengakui yang korang sayangkan dia. Jagalah dia sebaik-baiknya. Jangan jadi macam aku, sampai hujung nyawa dia, tak sempat beritahu yang aku sayangkan dia.
Sekiranya anda mempunyai cerita atau pengalaman yang mahu dikongsikan dengan Pa&Ma, boleh klik KONGSI CERITA.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.