
Ramai wanita hanya tahu tentang pil perancang sebagai cara untuk elak mengandung, tetapi sebenarnya pil perancang mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan hormon dan tubuh wanita. Ia bukan sekadar membantu merancang keluarga, malah memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan hormon agar wanita kekal sihat, bertenaga dan stabil secara emosi.
Manfaat Pil Perancang Yang Ramai Wanita Tak Tahu
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Imelda Balchin, ramai wanita tidak sedar bahawa pil perancang mampu memberi kesan baik terhadap kesihatan dalaman dan emosi mereka. Malah, ubat ini turut membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit serius yang sering menyerang wanita moden.

Pil Perancang Bukan Sekadar Untuk Elak Kehamilan
Dalam satu perkongsiannya di media sosial, Dr. Imelda menjelaskan bahawa pil perancang bukan sekadar digunakan untuk merancang keluarga, tetapi turut membantu memperbaiki keseimbangan hormon dan mengurangkan masalah kesihatan wanita yang biasa berlaku.
Antara kelebihan utama pil perancang yang dikongsikan beliau ialah:
- Mengurangkan haid yang terlalu banyak
- Mengurangkan senggugut
- Mengurangkan risiko pembentukan fibroid
- Mengurangkan jerawat
- Mengatur kitaran haid yang tidak teratur
- Mengurangkan risiko kanser dinding rahim
- Mengurangkan risiko kanser ovari
- Mengurangkan risiko rheumatoid arthritis
- Mengurangkan risiko kanser usus besar
Kesemua manfaat ini berlaku kerana hormon yang terkandung dalam pil perancang membantu menstabilkan kitaran hormon wanita secara konsisten setiap bulan.
Lepas BTL, Tubuh Rasa Lain Sebab Hormon Semula Jadi Kembali
Dr. Imelda juga menjelaskan bahawa ramai wanita keliru apabila terasa tubuh berubah selepas berhenti mengambil pil perancang terutamanya selepas menjalani BTL (Bilateral Tubal Ligation) atau ikat peranakan.

“Jika dulunya anda makan pil dan mendapat manfaat seperti haid yang teratur atau jerawat berkurang, selepas berhenti pil (selepas buat BTL), semua manfaat itu akan hilang. Anda akan kembali seperti keadaan asal sebelum mengambil pil,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa BTL tidak menyebabkan haid tidak teratur atau jerawat naik semula. Perubahan itu berlaku kerana hormon tubuh sedang menyesuaikan diri semula tanpa bantuan pil perancang.

Wanita PCOS Perlu Lebih Peka Dengan Perubahan Diri
Dr. Imelda turut menasihatkan wanita yang mengalami PCOS (Polycystic Ovary Syndrome) agar lebih berhati-hati apabila berhenti mengambil pil perancang.
“Jika anda ada PCOS, haid tidak teratur dan jerawat banyak, anda mungkin masih memerlukan pil untuk manfaat lain seperti mengawal haid dan jerawat walaupun sudah tidak mahu mengandung lagi,” katanya.
Tambahnya, berat badan berlebihan dan lemak badan yang meningkat boleh memburukkan lagi keadaan jerawat serta gangguan hormon. Oleh itu, wanita disarankan untuk mengawal berat badan, bersenam secara konsisten dan mengamalkan pemakanan sihat demi keseimbangan hormon jangka panjang.
Pil Perancang Lindungi Kesihatan Hormon Wanita
Kesimpulannya, pil perancang bukan semata-mata ubat untuk mengelakkan kehamilan, tetapi juga alat bantu kesihatan hormon yang melindungi sistem reproduktif wanita. Ia membantu wanita kekal sihat, cantik dan seimbang dari segi fizikal serta emosi.
👉 Nasihat Dr. Imelda, setiap wanita perlu faham fungsi tubuh sendiri dan berbincang dengan doktor sebelum berhenti atau menukar kaedah perancang keluarga.
Dengan ilmu yang betul, ibu-ibu bukan sahaja dapat menjaga kesihatan diri tetapi juga memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa dalam keadaan terbaik.
Sumber: Facebook Dr Imelda Balchin
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













