Umum selalu salah faham mengenai konsep taat kepada suami. Ia tidak bermakna segala perihal rumah tangga perlu digalas sendirian. Untuk menjadi bidadari suami, bukan bererti anda harus mengabdikan diri kepada suami semata-mata.
Pastinya setiap pasangan yang berkahwin mengetahui hal menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan tolak-ansur dan rasa saling membantu antara pasangan suami isteri.
Jangan kerana terlalu sayangkan suami dan ingin dianggap sebagai isteri yang terbaik, anda merelakan diri anda untuk melakukan segala-galanya. Ia seolah-olah terlihat seperti anda ‘merajakan’ suami.
Adakah itu caranya untuk menjadi bidadari suami? Sudah tentulah tidak. Ini kerana jika begitu amalan anda, nescaya ia akan mendatangkan mudarat kepada emosi dan fizikal isteri.
Bagaimana untuk menjadi bidadari suami?
Terdapat beberapa cara yang boleh anda dan pasangan lakukan untuk memperolehi keluarga yang bahagia. Sudah tentu ia memerlukan kerjasama daripada suami isteri dan bukan sekadar bergantung harap kepada isteri semata-mata.
Berikut adalah 3 cara utama yang perlu diamalkan setiap pasangan yang berkahwin jika ingin mempunyai rumah tangga yang bahagia, iaitu:
Ads
Melakukan tugasan rumah bersama-sama
Jika anda sedang melakukan sebarang tugasan rumah seperti mengemas, cuba untuk meringankan mulut meminta bantuan si suami. Ya, anda mungkin boleh melakukan segalanya sendiri tetapi jangan menjadikan diri anda sebagai kuli.
Rumah tangga yang dibina adalah milik anda berdua, maka atas sebab itu suami juga bertanggungjawab dalam menjalankan sebarang tugasan rumah. Tetapi elakkan daripada memberikan arahan kepada suami.
Berikan pilihan kepadanya untuk melakukan pekerjaan. Sebagai contoh, katakan kepadanya bahawa anda akan memasak, dan tanyakan sama ada si suami boleh membantu anda dengan menguruskan pakaian kotor.
Paling penting jangan melakukan segalanya sendirian. Lakukan segalanya bersama-sama pasangan.
Meluahkan secara jujur
Ada sesetengah isteri sukar untuk mengakui apa yang dirasainya dan memilih untuk memendam perasaan. Lebih parah lagi apabila anda memilih untuk menzahirkan apa yang anda rasai dengan mimik wajah anda.
Ads
Percayalah suami anda tidak akan dapat menangkap apa yang anda rasai melainkan anda melafazkan secara lisan kepada mereka. Malahan semakin lama anda memendam perasaan, akan semakin berat bebanan yang anda tanggung.
Jadi sebaiknya, sejak dari awal perkahwinan, cuba untuk jujur dengan pasangan tentang apa yang anda rasai. Tetapi luahkan dengan cara yang baik dan elakkan daripada menggunakan bahasa yang kasar, okay?
Dalam masa yang sama hindari daripada membuat sebarang andaian negatif kepada pasangan anda. Jika wujud perkara atau isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati, berterus-teranglah dengannya. Komunikasi adalah kunci utama kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Berterima kasih
Anda pasti tahu 2 perkataan paling ajaib adalah terima kasih dan maaf. Percayalah saat anda melafazkan 2 perkataan ajaib itu, hati individu yang menerimanya pasti rasa dihargai walaupun tidak ditunjukkan melalui reaksi wajahnya.
Ads
Jika pasangan anda melakukan sesuatu selepas anda memintanya, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih, walaupun mereka hanyalah sekadar membuang sampah ke luar atau menukar lampin si kecil.
Mungkin ada yang mengatakan, penghargaan itu boleh ditunjukkan melalui perbuatan seperti membalas pertolongan pasangan dengan menyediakan segelas air. Tetapi hakikatnya 2 patah perkataan ajaib, “Terima kasih, Sayang” pasti akan mendatangkan kesan di hati pasangan anda.
Anda pun pastinya akan berasa terharu dan dihargai jika mendapat ucapan terima kasih daripada pasangan selepas melakukan sebarang tugasan, bukan? Jadi, cuba untuk amalkannya.
Isu menjadi kuli atau bidadari suami tidak seharusnya timbul kerana setiap hubungan rumah tangga itu perlulah mempunyai sifat tolak ansur dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Jika anda sayangkan rumah tangga anda, maka ringan tangan dan bantulah pasangan anda dalam melakukan setiap tanggungjawab dan tugasan di rumah.
Sumber:Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk menjaga anak yang ramai apatah lagi jika semuanya lelaki. Anak lelaki lebih lasak dan ada saja akalnya yang kadang-kadang buat ibu ayah pening kepala. Walaupun begitu, jika betul cara didikan sudah tentu menguruskan anak yang ramai bukan lagi satu masalah.
Melalui perkongsian dari ibu anak enam (5 lelaki dan 1 perempuan), Pn Sarah Saifuddin di laman Facebooknya, dia tidak lokek bercerita tentang cara-caranya menguruskan kesemua heronya itu.
Ikuti penulisan ibu ini.
Lumrah seorang ibu surirumah. Bila punya anak yang ramai, hampir sebahagian tugasan terpaksa diambil alih sepenuhnya. Kerapkali saya ditanya, Macamana saya urus anak-anak hero 5 orang ni di tempat awam, kemana-mana sahaja.
Percaya tak kalau saya katakan, Anak ramai sebenarnya lebih mudah diurus berbanding 2 ke 3 orang? Eh biar betul? Ye, betul.
Ini situasi ketika saya membawa mereka keluar. Habib 9 tahun. Hanif 7 tahun. Hafiz 6 tahun Hasyri 4tahun. Hakim 1 tahun.
Sebelum keluar, mulakan dari rumah.
1. Pesanan penaja. Sebelum keluar rumah, saya pastikan semua settle dahulu. Kalau ada anak yg jenis pakai pampers waktu malam je, so pakaikan siap2 pampers. Walaupun nak kluar kejap je. Sebab time dia nak kencing ke apa, dia tak mengganggu waktu kita diluar atau tempat awam.
Kalau x, mcmna nk berlari cari tandas lagi? Nak-nak kalau tgh drive.
Tetiba, umi nak kencing! Ala padan…😂 Selalunya hasyri memang saya pakaikan pampers siap2. Kemudian, pesan siap-siap pada abang-abang yg lain.
“Pergi toilet siap, kalau nak kencing lepas ni masa umi drive, umi tinggal tepi jalan je. “ Selalu saya guna ayat ni, diorg dah takut. Haha.. so cepat2 ke toilet belaka.
2. Situasi dalam kereta. Saya akan beri pesanan siap2 pada abang. “Habib yg paling besar mesti jaga Hasyri yg kecik. Hanif mesti jaga Hafiz. Always pimpin tangan adik, jangan berlari.
Kalau sesiapa berlari, tak dengar umi cakap, tak ingat apa yg umi pesan, umi uturn balik. Siapa good boy, umi belanja ABC.” ABC adalah kegemaran anak2.
Dan saya tahu, itu reward paling baik utk beri pada anak2. Dalam kereta, pesan siap2 mohon behave. Taknak bergaduh. Taknak bertengkar.
Anak lelaki kan. Sekali bergaduh bertumbuk, dengan mak sekali jadi ninja! Pernah tetiba hampir sampai ditempat dituju, diorang tetiba bergaduh.
Apa saya buat? Saya pegang pada janji. Saya UTURN balik on the spot.
Haru kan? Mana tak haru nak2 kalau time tu nak gi makan n perut kita pun tgh lapar. Memang kesian kat anak. But, kena jadi parent yg pegang pada janji. Once you cakap uturn kalau bergaduh, so please make it uturn.
Sebab apa? Meh saya cerita. Peristiwa ni hampir berkali-kali terjadi. Memang nak bagi mereka behave tempat awam bukan senang. Ada time order makan, dia bergaduh. Pun saya uturn balik. Bukan tak kesian kat anak.
Tapi memberi pengajaran. Dan anak tahu, kita betul2 tegas. So next time, anak-anak dengan sendirinya berjaga2.
3. Susun kedudukan di meja makan. Selalunya saya pilih meja makan yg luas, tepi sekali. Anak-anak saya jenis berebut nak makan tepi umi dan adik baby (hakim).
Mereka berempat akan berebut kerusi dahulu. So masa tu, ibu main peranan paling penting. Ibu dihujung sini. Abang paling besar dihujung sana. Make sure adik yg diorg kena jaga duk sebelah masing-masing. So diorang tahu tanggungjawab diorang belum habis.
Oh ya! Make sure masa nak keluar makan ni, Anak-anak memang betul-betul lapar! Kalau ada yg taknak makan, better beli tapau je.
4. Order makan satu persatu. Selalunya kalau pergi makan, mesti order air dulu kan? Kali ni tukar. Order makanan sahaja dulu. Air order bila dah habis semua makan. Sebab bila anak minum air dulu, dia takkan habiskan makanan diorang.
Dan selalunya bila dah habis makanan, semua behave, saya akan bagi reward pada diorang. Ok, order abc. So diorang tahu, sape behave masa makan, umi bagi hadiah.
But ingat! Kalau order abc, order untuk 2 orang je. Contoh kalau berempat. Then mintak mangkuk lebih.
Ibu, masa order sampai, rasa dulu makanan tu. Baru bagi anak makan. Even sesudu sahaja. Then bagi2 kanlah makanan tu. Diorang still berkongsi.
Kalau ada yg merajuk, saya pesan siap-siap. Ok. Jangan makan. No more datang makan lagi. Nanti duduk rumah je. Dah tak boleh have fun dgn umi. Automatik yg merajuk tadi nak makan. Hoho.. Sebab dia tahu umi tegas.
Kalau umi sanggup uturn, umi mesti sanggup tinggal dia kat rumah jugak.haha Oh ya! Tahu tak kenapa ibu kena merasa dulu makanan anak-anak? Nanti saya sharing. Seronok story bab ni!❤
5. Situasi semasa makan. Pernah kan anak tgh makan, comot2. Ibu, belajar beri arahan pada anak yg sulung. “Abang, lap mulut adik tu. Kesian adik comot. Hahaha”
Kenapa hahaha? Sebab nk ambik hati abg yg tgh mood makan tadi kot spoil mood sbb kena tgok adik tetiba. Ibu, wujudkan situasi lucu dan kelakar. Rajin tanya anak, sedap tak? Suap umi sikit. Jangan pelik kalau tetiba 4 orang sekaligus berebut nak suap. Masa tu pandai2 la ibu bagi giliran.
Selalunya di kedai makan, saya akan order 3 nasi sahaja. Yg dua org lagi akan berkongsi. Saya orderkan pinggan lebih. Kalau ada yg tak cukup, baru menambah. Kenapa? Sebab sayang tengok nasi yg tak habis. Nanti saya nak habiskan mcmna?
6. Pakaian ibu. Bila keluar makan, saya make sure pakaian saya bebas bergerak. Tak semestinya seluar. Tapi kain yg bebas utk bergerak lebih laju.
Bila berjalan, Hasyri akan pimpin tangan saya sementara saya dukung Hakim. Habib, hanif dan hafiz akan berjalan berpimpin tgn. Kalau menghalang jalan, maka saya bg arahan jln berdua. Begitu juga dgn niqab.
Saya lebih selesa memilih niqab yg senang dibuka ketika makan. Dan niqab ElHuda pilihan saya sbb lebih mudah.
7. Nak ke mana selepas makan? Kenalpasti minat anak-anak. Sedari kecil, saya biasakan anak dgn buku sbg reward. Sampai di kedai buku ibarat heaven buat mereka.
Saya biarkan mereka memilih buku kesukaan. Pilihlah buku apa. Umi akan cuba setuju. Ada jugak pilih buku komik ke apa. Selalunya saya bertolak ansur.
8. Macamana kalau anak nampak mainan masa keluar? Pernah saya tengok situasi anak tantrum kerana nak mainan yg mahal. Ibubapa menahan pilu yg amat dihadapan org.
Saya ingat pesan bonda, “Jangan ditahan kemahuan anak. Kalau tak setuju, nasihat yg baik. Kalau tak makan saman, tukarlah. Beli barang lain.”
Itu yg sy buat. Tipulah kalau anak saya takpernah mintak mainan. Itu dunia anak-anak kecil tanpa batasan. Selalunya saya bawa mereka ke kedai mainan. Saya bagi peluang mereka melihat. Tapi bila tengok harga, saya rasa macam telan bom. Saya bagitahu siap-siap.
Umi tak cukup duit. Pernah sekali diorang merengek nak jugak mainan. Saya belikan dlm sendu. Naik jereta, diorang mintak beli air. Saya pura-pura menangis, duit dah habis. Macamana nak beli air. Saya keluarkan dompet. Memang duit dah habis.
Anak kedua saya tetiba nenangis dan meminta maaf berkali.
Mungkin serba salah duit dah beli mainan.
Sejak haritu dia belajar sesuatu. Habib dan hanif faham setiap kali saya katakan umi tak cukup duit. Saya belajar mohon maaf dgn anak jika tak dapat memenuhi permintaan. Selalunya kalau ke tempat mainan, saya bagi dia pegang dan tengok sepuasnya.
Biar hilang rasa bosan dan keinginan. Lama-lama diorang tahu, Heavennya dikedai buku berbanding kedai mainan! 9. Apabila semua selesai. Selalunya bila naik kereta, otw balik, Saya tanya perasaan anak-anak setiap seorang. Bila gembira, apa yg perlu buat? Saya pastikan mereka berterima kasih dgn saya. Agak lama nak ajar mereka berterima kasih sekalipun untuk happy2 time. Alhamdulillah skrg tak lagi. Awal-awal beli atau dapat sesuatu, Diorang tak lupa ucap, Terima kasih umi! Terima kasih ayah! Percayalah! Masa tu ibu mesti rasa mcm nak lompat sampai ke bintang bila anak happy!😘
10. Berjanjilah. Tapi mesti tunaikan! When you make a promise, so please! Make it true.
Anak2 sebenarnya belajar behave dari sebuah janji. Rewardlah bila mereka behave. Walau sekecil2 reward, mereka akan lebih menghargai.
Cukup dulu 10 tips. Jom sharing kat komen kalau ada tips lain. Boleh rujuk gambar dibawah untuk situasi saya.
**PLEASE! Make sure handphone simpan siap2 . Wasap silent dahulu. Check handphone bila keadaan terkawal. This is your family time. #sharingtips #ambillahjikabermanfaat #sharingilmudarioranghebatsekeliling #jangankecamsaya #sayasekadarsharing #lainoranglainsituasi #throwbackstatus
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sama seperti bersekolah, bermain dan berkawan, melibatkan anak-anak dengan tugas harian di rumah juga penting. Bahkan sangat penting untuk membantu perkembangan kognitif, psikologi, dan emosi. Melakukan tugasan kecil di rumah dapat membantu kanak-kanak belajar tentang erti realiti kehidupan sebenar. Merekan perlu tahu dan perlu terlibat dalam melakukan kerja-kerja rumah untuk menjaga diri sendiri, keluarga dan rumah. Ia bermula dari rumah bak kata bijak pandai melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Antaranya tugasan kecil adalah seperti mengemas alat permainan, menyediakan pakaian sebelum mandi, menyidai tuala di tempat yang betul selepas menggunakannya, mahupun mengemas katil.
Pentingnya Melibatkan Anak Pada Tugasan di Rumah (Household chores)
Terdapat segilintir ibubapa yang tidak mahu mengajar kemahiran hidup seharian. Akhirnya, anak-anak ini mempunyai keterbatasan untuk berfungsi pada tahap yang sesuai dengan usia. Contohnya, anak yang berusia 5 tahun tidak mampu mengemas mainannya sendiri selepas bermain. Si anak tadi hanya bermain dan meninggalkan mainan bersepah tanpa dikemas sebelum beredar melakukan aktiviti lain. Si ibu yang akan mengemas mainan tanpa mengajak si anak melakukannya bersama.
Daripada sudut Islam, pendidikan merupakan satu bentuk pelajaran bagi kognitif, fizikal dan roh dalam melahirkan insan yang berperikemanusiaan, berakal dan berakhlak. Ibn Khaldun telah membahagikan ilmu kepada dua bentuk: fardhu ain dan fardhu kifayah. Ini mejelaskan bahawa Islam bukan hanya mementingkan pencapaian intelektual semata-mata bahkan perlu dilengkapi dengan ilmu lain.
Banyak perkara yang menakjubkan yang boleh dirungkai apabila kita melatih anak-anak melakukan tugasan kecil di rumah. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang mempunyai set tugasan mempunyai harga diri yang lebih tinggi dan lebih mampu menangani kekecewaan. Kualiti ini menyumbang kepada kejayaan yang lebih besar apabila mereka berada di sekolah.
Kemahiran komunikasi dan berunding. Komunikasi boleh menjadi lisan mahupun bukan lisan. Contohnya, berbincang dengan tugasan secara verbal (lisan) atau memberikan senyuman sebagai tanda setuju atau gembira (bukan lisan).Komunikasi boleh menjadi berkesan atau tidak berkesan.
Apabila si anak terlibat dalam tugas, ia memberi anak pengalaman kemahiran berkomunikasi dengan jelas. Si anak belajar mendengar arahan dengan jelas. Selain itu, anak-anak dapat berunding, bekerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan. Ibu bapa perlu sentiasa memberikan peluang untuk berunding dengan si anak. Jangan pernah mendominasi dalam membuat keputusan kerana ini akan membuat si anak memberontak dan enggan melakukan tugasan. Jadikan setiap tugasan sebagai win-win situation.
Apabila ibu bapa berkomunikasi dan berunding dengan berkesan dengan anak, mereka menunjukkan rasa hormat. Kanak-kanak kemudian mula merasa bahawa mereka didengar dan difahami oleh ibu bapa mereka.
Sikap Positif. Penglibatan dalam tugasan harian mengajar kanak-kanak tanggungjawab dan mengambil alih tugas. Meminta anak-anak bertanggungjawab terhadap tugas mereka dapat meningkatkan rasa diri mereka bertanggungjawab dan amanah. Anak-anak akan merasa lebih berkemampuan dan dipercayai dalam menyelesaikan tugas mereka.
Menyelesaikan tugasnya dan melakukannya dengan baik akan meningkatkan rasa harga dirinya serta memberinya rasa kecekapan. Ia menanamkan sikap positif seperti sabar, bertolak ansur, simpati dan empati di dalam diri anak-anak. Jangan pernah memandang rendah atas bantuan yang anda perolehi daipada sepasang tangan kecil!
Firman Allah s.w.t yang mafhumnya: “Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu- bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) “(Surah Luqman: ayat 14)
Ayuh, mulakan hari ini!
Model Peranan (Role-Modelling). Selain mempunyai keyakinan bahawa penting untuk memiliki dan melatih anak menyelesaikan tugas, sikap ibu bapa sendiri itu jauh lebih mustahak. Sikap ibu bapa mampu mencorakkan sikap anak anda seterusnya meningkatkan kemungkinan kerjasama dalam menyelesaikan tugasan. Contohnya, ajak anak membuang sampah bersama, mencuci kereta bersama, menvakum rumah bersama, ataupun memotong satur bersama. Pastikan setiap ahli keluarga menjalankan tugas. Jangan pernah ada yang curi tulang. Tunjukkan teladan yang baik kepada anak. Bukanlah menjadi hak mutlak ibu bapa untuk memerintah dan mengarahkan anak melakukan tugasan daripada A sehingga Z sedangkan si ibu atau ayah hanya duduk di sofa bersama telefon pintar. Ibu bapa mesti turun padang melakukan tugasan bersama. Ungkapan hikmah dan bijak dalam pepatah Melayu “bapa borek anak rintik” – harus diingat anak-anak kita akan memerhati dengan teliti, melihat apa yang kita lakukan.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.”
Bersesuaian dengan umur. Sebaiknya mulakan dengan memilih tugas yang sesuai dengan usia dan kebolehan anak. Perlu diingat tugasan yang terlalu sukar boleh mengecewakan bahkan berbahaya. Tugas yang terlalu mudah pula mudah membosankan. Sebagai contoh, bagi anak berusia di bawah 2 tahun, ibu bapa boleh mulakan dengan tugasan seperti mengemas mainan. Tugasan ini menghantar mesej yang penting – sumbangan, kerjasama, kebersihan, dan kekemasan amat diperlukan untuk mencipta persekitaran dan suasana gembira. Ingatlah bahawa tidak semua kanak-kanak sama. Dikala anak dapat menangani tugasan mereka dengan mudah, yang lain mungkin memerlukan lebih banyak masa dan kesabaran. Bersiapsiagalah untuk memberi bantuan kepada mereka apabila diperlukan.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Kegiatan anak pada masa kecilnya akan menambahkan akalnya pada waktu dia besar.” (Riwayat Tirmidzi).
Aktiviti yang melibatkan seluruh keluarga. Penting untuk memikirkan tugas yang membuat anak terlibat dalam mengurus keluarga secara keseluruhan. Tugasan seperti membentang sejadah sebelum solat berjemaah, mengatur meja makan atau bergotong-royong membersihkan laman rumah. Tugasan ini cenderung memberi anak rasa tanggungjawab dan penyertaan dalam tugasan seluruh keluarga dan bukan sebagai bentuk hukuman. Didik juga anak supaya sentiasa membantu ibu bapa.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: ayat 23)
Jelas dengan tugas. Melakukan tugas dengan rela dan ikhlas memerlukan penilaian matang, kurang impulsif, dan lebih banyak kesedaran mengenai perspektif keperluan orang lain. Anak-anak tidak dilahirkan dengan sifat-sifat ini. Perkembangan mereka berbeza dan beransur-ansur. Jadi, mereka perlu jelas dengan tugas mereka. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh melakukannya bersama sebelum anak dapat melakukannya sendiri. Ibu bapa perlu meletakkan rutin kepada anak agar mereka mudah ingat akan tugasan mereka. Adalah perkara biasa untuk si anak mempunyai perasaan ingin tahu semua perkara. Maka, jelaskan mengapa mereka melakukan tugasan tersebut. Ini membantu kanak-kanak mempunyai pemikiran rasional dan penaakulan yang baik. Contohnya, “Baju yang kotor perlu dimasukkan ke dalam bakul. Jangan biarkan baju bersih dan kotor bercampur. Baju kotor dah ada kuman yang kita tak dapat lihat. Dan agama kita ajar kita sentiasa menjaga kebersihan.” Harus diingat, leteran tidak membantu perkembangan penaakulan dan pemikiran rasional malah membantutkannya.
Beri dorongan. Beri motivasi dan dorongan kepada anak secara berterusan. Sekiranya dia merasakan dia membantu ibu bapa dengan menyelesaikan tugasannya, dia akan merasa lebih ikhlas melakukannya. Sebaliknya, mereka mungkin berasa terpaksa atau lebih buruk sekiranya mereka melihatnya sebagai hukuman. Pujian juga penting. Pujilah kerja dan usaha anak yang baik agar dia terus merasa bertanggungjawab dan gembira. Contohnya, “Wow! Cantik dan kemas anak mama susun buku-buku di rak buku ni.” Dan sertai dengan pelukan. Pelukan juga satu bentuk pujian tetapi mampu memberi impak yang besar pada anak. Ganjaran juga perlu diberikan secara berkala untuk menunjukkan usahanya dihargai. Bawalah anak ke restoran kegemaran atau menonton wayang kegemaran.
Baginda Nabi SAW telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti agar dapat melahirkan generasi yang taat kepada Allah SWT. Sepertimana yang Baginda Nabi SAW sabda di dalam hadith Baginda yang bermaksud: “Bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga empat belas tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia empat belas tahun ke atas.”
Kredit: Dr. Rahimah Saimin Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu bapa yang mula mencari tadika yang terbaik untuk anak-anak bagi persiapan untuk masuk ke tadika pada tahun hadapan. Menurut Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Bustam Kamri yang merangkap Dekan Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengakui bahawa tadika yang bagus dan berkualiti mendidik kanak-kanak membaca terletak kepada kemahiran guru yang mengajar.
Tadika yang mahal belum tentu dapat hasil yang dikehendaki oleh ibu bapa yang mengharapkan anaknya boleh membaca.
TADIKA KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA
Di negara kita terdapat dua jenis tadika iaitu tadika bantuan kerajaan iaitu kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Biasanya kelas prasekolah ini terdapat di dalam kawasan sekolah rendah. Ibu bapa perlu mendaftar lebih awal di prasekolah berkenaan.
Selain itu ibu bapa boleh memilih kelas tadika yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Masyarakat dan Luar Bandar iaitu kenali sebagai tabika KEMAS. Biasanya tadika ini berada di kawasan luar bandar. Manakala tadika anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berada di kawasan bandar.
Penubuhan tadika KEMAS dan tadika JPNIN bertujuan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah . Oleh kerana prasekolah dan tadika ini anjuran kerajaan maka yuran yang dikenakan amat minima sesuai dengan kemampuan keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun tadika swasta tetap gunapakai sistem pembelajaran berlandaskan Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekiranya ibu bapa berkemampuan dan tidak mahu menghantar anaknya ke tadika bantuan kerajaan, mereka boleh memilih menghantar anak ke tadika swasta.
Biasanya pengusaha tadika akan mengenakan yuran pada setiap kanak-kanak dan kadar yuran tidak sama pada setiap tadika. Perbezaan yuran bergantung pada keadaan di tadika.
8 TIP BANTU ANAK
Dr Bustam menyenaraikan lapan cara seharusnya pihak tadika lakukan. Apabila sudah tahu mengenai lapan panduan ini, ibu ayah, boleh tanya kepada pihak tadika, bagaimana corak pembacaan di tadika.
1.Aktiviti membaca di tadika hendaklah dipelbagaikan supaya dapat merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca.
2.Cara pendekatan mengajar membaca juga penting untuk menghasilkan kanak-kanak yang boleh membaca dan memahami apa yang dibaca.
3.Kaedah membaca secara menyeluruh, fonetik atau membaca terus hendaklah disesuaikan dengan latar belakang kanak-kanak yang berbeza.
4.Masalahnya kadangkala pihak guru yang mengajar tidak sedar dan menganggap semua kanak-kanak adalah sama minat, kebolehan, keupayaan dan pencapaiannya.
5.Bahan bacaan yang disediakan oleh tadika hendaklah dapat menarik perhatian kanak-kanak. Pemilihan bahan bacaan hendaklah disesuaikan dengan peringkat umur, minat dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai latar belakang.
6.Membaca hendaklah disusuli dengan aktiviti yang mempunyai perkaitan dengan bahan yang dibaca dan memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.
7.Persekitaran membaca di rumah adalah penting sebagai lanjutan aktiviti belajar membaca di tadika. Ibu bapa dinasihatkan mengambil tahu dengan bertanya pengalaman kanak-kanak kegiatannya semasa di tadika.
8.Berikan galakkan kepada anak untuk terus membaca. Ibu bapa jangan merasa kecewa apabila anaknya belum boleh membaca. Dijangka semua kanak-kanak apabila telah mencapai kematangan dalam lingkungan usia sembilan tahun boleh membaca dengan lancar sekiranya diberi bimbingan yang sesuai mengikut keperluan kanak-kanak.
Pilih Guru Berkelayakan
Setiap kelas prasekolah akan menggunakan kurikulum yang sama di seluruh negara. Begitu juga dengan kelas tadika anjuran kemas dan jpnin juga menggunakan kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian pelajaran malaysia. Guru-gurunya pula mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka ini terlatih khusus dalam mengajar kanak-kanak di tadika. Kurikulumnya dibina bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
Bezanya kebanyakan guru yang mengajar di tadika KEMAS dan JPNIN berkelulusan diploma pendidikan awal kanak-kanak. Mereka juga mendapat latihan khusus untuk mengajar kanak-kanak di tadika.
Manakala guru-guru di tadika swasta pula datang daripada pelbagai kelayakan akademiknya. Pengusaha tadika yang berkemampuan akan mengaji guru yang berkelulusan sarjana muda dan juga diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Tadika mahal atau tidak bergantung kepada sistem pembelajaran di tadika itu. Jika tadika itu murah yurannya, tetapi guru-gurunya berpengalaman sudah tentu banyak ilmu pendidikan yang boleh digunapakai untuk mendidik kanak-kanak. Yang penting, pastikan tenaga pengajarnya berkualiti dan mempunyai sijil dalam pendidikan awal kanak-kanak.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.