Berita

Pilunya, Ibu Pergi Selang Sehari Selepas Kehilangan Anak

Share

Kematian merupakan satu kepastian bagi setiap insan yang bernyawa. Selepas sehari anak meninggal dunia, ibu pula menyusul ‘pergi’ menghadap sang pencipta.

Yusnieta Mohd Lawi, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu pada jam 6.30 pagi sehari selepas anaknya, Nur Iezarra Abd Talib, 9 tahun menghembuskan nafas yang terakhir semalam akibat sawan.

Sebelun ini, Yusnieta Mohd Lawi ditemukan tidak mampu bergerak bersama anaknya yang tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di rumahnya di Kampung Gual To’Deh, di sini yang sedang dilanda banjir pada Selasa. Yusnieta Mohd Lawi tidak mampu bergerak dipercayai akibat terkena serangan angin Ahmar

Abang mangsa, Muhammad Denish Alfi Abd Talib, 14, berkata terdahulu adiknya itu mengadu sakit di bahagian belakang leher dan menangis teruk, tengah malam

NAIK LORI KE HOSPITAL

Kedua-dua mereka dibawa menggunakan lori tanah keluar dari kawasan banjir setinggi meter 0.9 hingga 1.5 meter di kampung itu untuk ke hospital.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed mengesahkan kematian Yusnieta kerana strok.

“Ibu kanak-kanak ini meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPZ II.

“Nur Lezarra Zaliefa yang meninggal dunia sebelum ini disahkan oleh pihak hospital akibat paru-paru berair,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Yusnieta, Norshazlina Jantan, 32, berkata, dia mengetahui berita sedih itu melalui anak sulung Yusnieta, Muhammad Denish Alfi Ald Talib, 14.

Katanya, sejak dibawa ke hospital, mereka sekeluarga keresahan kerana dimaklumkan keadaan Yusnieta tidak stabil.

Hanya suami Yusnieta, Abd Talib Abdullah, 42, bersama anak sulung mereka, Muhammad Denish Alfi Ald Talib, 14, berada di hospital.

Sebelum ini, jenazah Nur lezarra selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh di sini, kelmarin selepas selesai dibedah siasat.

“Jenazah Yusnieta juga akan dikebumikan di tanah perkuburan sama,” katanya.

Terdahulu, seorang remaja dilaporkan melalui detik cemas apabila mendapati adiknya tidak sedarkan diri di kediaman mereka yang dilanda banjir, manakala ibunya diserang angin ahmar susulan tangan kiri tidak dapat digerakkan.

Dia segera memaklumkan kepada bapa bagi mendapatkan bantuan dari penduduk kampung agar memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk membawa kedua-duanya ke hospital dalam kadar segera.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Nor Yusoff