Pipi Tembam, Badan Semangat! Rezeki Juliana Evans Dapat Bagi Mily Sepenuhnya Susu Badan

Share

Sejak melahirkan cahaya mata pertama 13 Julai lalu, pelakon Juliana Evans akui tak boleh berpisah lama dengan anaknya. Ini kerana Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah masih menyusu badan sepenuhnya.

Tambah Juliana, sejak ada anak keutamaan kini pada anak. Dia juga menyatakan belum berhasrat membuka akaun Instagram khusus buat anak sulungnya, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.

Menurutnya dia lebih selesa sekiranya perkara membabitkan perkembangan anaknya itu dikongsi menerusi laman sosialnya sendiri.

“Selebriti lain mungkin mempunyai sebab tersendiri membuka Instagram anak, tetapi bagi saya dan suami, kami belum terfikir ke arah itu.

“Segala gambar atau momen bersama anak, kami letakkan sahaja di laman sosial masing-masing. Lagipun, saya sibuk menguruskan keluarga, di samping mengendalikan tiga lagi akaun Instagram, terutama berkaitan perniagaan.

“Ia juga antara punca saya enggan menambah satu lagi akaun media sosial,” katanya ketika ditemui pada pelancaran portal e-niaga, Cantix, baru-baru ini.

Juliana yang mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, 31, pada 30 April 2017, dikurniakan Tengku Kamiliah Zanariah yang kini berusia sebulan lebih.

Pantang Cara Tradisional

Berkongsi pengalaman berpantang yang hampir memasuki hari ke-44, Juliana berkata, dia lebih selesa mengikut nasihat emak dan ibu mentuanya supaya menjalani amalan itu secara tradisional.

Selain dijaga kedua-dua insan yang disayanginya itu, Juliana turut mendapatkan khidmat bidan untuk memastikan segala petua dan penjagaan dapat dilakukan dengan konsisten.

“Alhamdulillah, kesihatan saya sudah semakin pulih menjelang tempoh habis berpantang, beberapa hari lagi. Sebelum ini, saya langsung tidak keluar rumah.

“Menerusi penjagaan sepanjang berpantang dan pemakanan yang betul, saya sudah semakin sihat serta bertenaga. Hanya apabila ada urusan penting dan kerja, baru saya keluar seketika.

“Ikutkan, saya mahu berehat selama enam bulan bagi menguruskan anak, memandangkan bayi menyusu badan sepenuhnya. Lagipun, saya menjalankan perniagaan barang kemas dan baju secara dalam talian, jadi saya boleh memantaunya dari rumah,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

Published by
Wan Amy