Sejak kebelakangan ini tular mengenai beberapa jenis tanaman dalam rumah seperti lidah jin yang dikatakan mampu menyedut udara kotor selain memberi kesegaran kepada ruang rumah.
Disebabkan menjadi tular, tanaman ini antara yang menjadi terlaris setakat ni di jual sama ada di kedai-kedai bunga ataupun secara atas talian.
Namun, menerusi laporan Bernama baru-baru ini, pokok tersebut juga mempunyai kesan buruk terhadap manusia.
Risiko untuk individu yang lemah sistem imuniti
Menurut ahli Kimia, Dr Fatimah Salim, dia melahirkan kebimbangan penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata di dalam rumah lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikroorganisma.
“Ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan golongan tertentu.
“Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata. Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).
“Sebab itu tanah tidak sepatutnya di simpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini,” katanya .
Tambah Fello Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, terdapat alternatif kepada tanah jika ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah.
“Antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.
“Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri,” katanya.
Berwaspada bagi yang ada anak kecil
Dalam pada itu, menerusi satu posting Pusat Racun Negara, 7 Jun lalu, pihak berkenaan menasihati orang ramai terutama jika mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin.
Bahan ini dikatakan boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.
“Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.
“Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil, mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan,” kata pengendali akaun tersebut.
Sumber: Bernama, Facebook Pusat Racun Negara