Menyentuh bab poligami, kebanyakan lelaki sama ada dalam situasi serius atau sekadar gurauan, masing-masing ada hujah tersendiri. Bukan apa ia antara isu yang paling hangat diperkatakan.
Namun bagi isteri, isu ini cukup sensitif buat mereka. Jika boleh memang tak mahu dengar walaupun selalu diperkatakan akan dapat payung emas jika izinkan suami berpoligami.
Bagi suami, jika niat poligami itu ada, fikirlah sebaiknya. Bukan mudah tanggungjawab itu kerana ia sangat berat. Sekadar cakap memang boleh, tapi nak berlaku adil ia sesuatu yang sukar jika kurang ilmu dan boleh melukakan hati pasangan.
Seperti perkongsian dari Peguam Syarie Kedah, Pulau Pinang, Perlis & Perak, Khairul Fahmi Ramli, untuk berpoligami bukan sekadar kemampuan kewangan semata-mata tetapi ada lagi beberapa faktor yang perlu diambil kira.
Poligami bukan mudah
Sekarang ni trending drama 7 Hari Mencintaiku 2 di TV3. Baru ni saya layan la online bila kelapangan sebab ramai yang menyumpah Mak Leha dan Nurul Ain sebab beria-ia nak suruh Khuzairi poligami. Saya pun tertanya, hebat betul ke Khuzairi ni? Layak ke?
Bila dah sampai episod yang paling terkini, baru la faham. Ohh rupanya Mak Leha ini yang beriya sakan nak menantukan Nurul ni. Si Nurul ni pun boleh tahan gediknya juga la nak dekat suami orang. Cumanya persoalan penting, kenapa yang Khuzairi tak tolak? Mampu ke dia tu?
Sebenarnya, memang ada situasi yang mana mertua mula tidak berkenan dengan menantu sedia ada. Berharapkan pula calon idaman untuk menjadi surihati anak lelakinya. Tengok-tengok, menantu idaman pun tidaklah sehebat mana selepas nikah.
ARTIKEL MENARIK [“Baru Anak Sorang Dah Penat, Mak Cik Anak 8 Elok Je.” Elak Cakap Macam Ni Pada Ibu Baru”]
Ramai orang akan ingat, nak poligami ni perkara paling utama adalah kemampuan Kewangan. Salah tu tuan-tuan dan puan-puan.
Di dalam Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008, ada menyatakan tentang perkara yang perlu dinilai sebelum dibenarkan oleh Mahkamah untuk seseorang lelaki berpoligami. Antaranya :
👉🏻 Perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu
maksud yang dinyatakan di dalam perkara ini adalah sekiranya isteri sedia ada tidak mampu melahirkan anak atau uzur untuk bersetubuh atau gila.
👉🏻 Kemampuan kewangan
Lelaki tersebut mempunyai kemampuan kewangan mengikut Hukum Syarak bagi semua tanggungan sedia ada.
👉🏻 Boleh berlaku adil
Mesti mampu untuk berlaku adil dari sudut layanan dan bermalam. Setiap isteri dan tanggungan perlu dilayan dengan baik dan tidak diabaikan.
👉🏻 Tidak menyebabkan darar syarie pada isteri sedia ada
Maksudnya perkahwinan poligami ini tidak akan menjejaskan kebajikan isteri sedia ada. Bahkan mungkin dengan poligami ini akan menyebabkan isteri tersebut menderita.
Daripada alasan-alasan yang diberikan ini, jelas menunjukkan, perkara mengenai poligami ini bukan dilihat kepada satu sudut sahaja iaitu kemampuan kewangan. Ada orang yang dia mungkin mampu untuk menafkahi isteri dan anak-anak sedia ada, tapi dia mungkin sukar untuk berlaku adil.
Apa yang saya lihat berdasarkan pengalaman kes di mahkamah, orang yang benar-benar mampu berpoligami ini dengan baik adalah lelaki yang mampu menguasai dan melayani isteri sedia ada dengan baik dan mampu untuk berlaku adil.
Cuma banyak yang ada sekarang ini, hanya mampu cakap boleh tanggung kewangan dan boleh berlaku adil, tapi selepas kahwin, macam-macam isu rumah tangga yang timbul. Jika dilihat situasi Khuzairi, saya berpandangan dia tidak layak untuk berpoligami kerana ia hanya mahu ikut kehendak ibunya sahaja bukan kerana dia mampu atau Mia ada kemudaratan sebagai isteri.
Ingatlah, kalau tak mampu nak pergi masjid lima kali sehari, tak payah mimpilah nak berlaku adil poligami macam Nabi.
Sumber: Khairul Fahmi Ramli
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.