Potong Kuku Bayi Ibarat Sukan Ekstrem. Cara Potong Kuku Kaki & Kuku Tangan Bayi Juga Berbeza

Share

Aspek kebersihan dan kecantikan si kecil adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan oleh setiap ibu bapa. Pun begitu, ramai ibu bapa terutamanya ibu bapa yang baru, masih mengalami kemelut setiap kali ingin memotong kuku bayi mereka.

Baca: Isteri Kena Ada Simpanan. Andai Allah Ambil Suami Dulu, Kita Mampu Besarkan Anak

Potong kuku bayi ni sebenarnya ibarat bermain sukan ekstrem. Berpeluh-peluh, berdebar-debar ibu bapa nak menyelesaikan tugasan ini. Untuk menyelesaikannya, ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui petua untuk potong kuku bayi dengan berkesan.

#1. Gunakan pengetip kuku bayi
Perkara yang paling penting dalam hal penjagaan kuku bayi adalah anda menggunakan pengetip kuku bayi apabila hendak memotong kuku mereka. Jangan sesekali anda menggunakan gunting atau pengetip kuku dewasa kerana ia adalah lebih besar dan boleh menyebabkan anda terlebih potong kuku bayi. Sebaiknya, gunakan pengetip kuku bayi yang mempunyai saiz yang lebih kecil dan bentuk yang lebih bulat, sesuai untuk si kecil anda.

#2. Potong kuku bayi di tempat yang terang
Ada segelintir individu terutamanya yang sudah lama bergelar ibu bapa, menganggap ini adalah sesuatu yang remeh dan boleh dilakukan dengan mudah. Disebabkan itu, ada ibu bapa yang memotong kuku bayi tanpa melihat kuku bayi dengan teliti malah ada yang melakukannya di dalam bilik yang gelap! Ini adalah cara yang salah kerana ia boleh menyebabkan anda tersalah potong alur kuku bayi lalu menyebabkan kecederaan kepada mereka.

#3. Potong kuku bayi ketika dia tidur
Jika si kecil anda merupakan bayi yang lasak, anda boleh memotong kuku mereka secara curi-curi ketika mereka sedang nyenyak tidur. Ini kerana jika anda mahu memotong kuku bayi yang aktif semasa mereka berjaga, ia hanya akan mendatangkan stres kepada anda ataupun kecederaan kepada bayi. Oleh itu, potong kuku bayi ketika mereka sedang nyenyak tidur tetapi, anda diingatkan untuk pasang lampu bilik terlebih dahulu sebelum melakukannya.

#4. Potong kuku bayi ketika dia mandi
Kuku bayi adalah sama sahaja seperti kuku individu dewasa yang mana ia adalah keras dan tajam. Bagi memudahkan proses memotongnya, anda boleh jadikan tabiat untuk memotong kuku ketika atau selepas bayi mandi. Ini kerana kuku bayi akan menjadi lembut selepas terkena air lalu memudahkan anda untuk memotong kuku bayi dengan tenang.

#5. Cara potongan kuku yang berbeza untuk jari tangan dan jari kaki bayi
Kebanyakan ibu bapa beranggapan bahawa cara memotong kuku bayi adalah sama sahaja untuk jari tangan dan jari kakinya. Ia adalah tidak benar kerana ketika memotong kuku tangan bayi, anda perlu memotong mengikut alur kukunya. Namun jika memotong kuku kaki bayi, anda tidak perlu memotong mengikut alur kukunya tetapi potongan yang dicadangkan adalah secara lurus sahaja. Ini bertujuan mengelak sebarang kecederaan ketika memotong kuku bayi.

Jika berlaku sebarang kecederaan pada kuku atau jari si kecil, apa yang perlu dilakukan?
Paling penting, anda perlu bertenang dan jangan panik. Pertama sekali, basuh luka tersebut menggunakan air yang bersih. Kemudian, tekan sedikit luka tersebut menggunakan tisu atau apa-apa kain yang bersih untuk menghentikan pendarahan.

Menurut pakar, anda tidak disarankan untuk menampal balutan di jari bayi yang terluka kerana ia akan tertanggal dengan mudahnya apabila bayi memasukkan jari ke dalam mulutnya, lalu meningkatkan risiko bayi tertelan lalu tercekik balutan tersebut. Selain itu juga, jangan gunakan sebarang ubat pada luka bayi seperti ubat gamat kerana khuatir mereka akan menghisap jari mereka.

Baca:Tengok Muka Sendiri Pun Takut. Masuk 3 Bulan Hamil Kulit Berkedut, Hitam & Bengkak

Jika luka pada jari bayi anda masih tidak sembuh atau makin teruk, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi mengelakkan sebarang infeksi daripada berlaku pada luka yang dialami oleh si kecil kesayangan anda.

Sumber: Hello Doktor

Published by
NuFa