Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.

Pra-Eklampsia: Amaran Bahaya Sebelum Dapat Sawan Ketika Hamil. Ibu Hamil Selepas 20 Minggu Perlu Berhati-Hati

Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil

Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.

Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.

Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.

Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?

Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.

Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).

1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.

Ads

Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :

❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit
❗️Mata menjadi kabur
❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik
❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah
❗️Berasa tidak sihat

Pra-Eklampsia: Amaran Bahaya Sebelum Dapat Sawan Ketika Hamil. Ibu Hamil Selepas 20 Minggu Perlu Berhati-Hati

Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.

Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut

Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.

Ads

Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:

berumur 40 tahun atau lebih;
berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih;
mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;

Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.

Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.

Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?

Ads

Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.

Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.

Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.

Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.

Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.

Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu

Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu

Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & kehamilan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI