Pra eklampsia atau sawan hamil mengancam ibu sejak usia kandungan 20 minggu ke atas. Keadaan ini boleh menyebabkan terjadinya kematian janin. Apakah dia pra eklampsia?

Menurut Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan SALAM Shah Alam Specialist Hospital, pra eklampsia ialah keadaan di mana ibu yang hamil melebihi 20 minggu ke atas, mempunyai tekanan darah melebihi 140/90mmHg, kenaikan berat badan yang mendadak dan  mempunyai protein di dalam air kencing.

Lazimnya, ibu yang mengalami keadaan ini akan kembali ke paras normal selepas bersalin (bayi dikeluarkan). Apa yang membezakan tekanan darah tinggi dan pra eklampsia ialah hadirnya protein 2+ di dalam air kencing ibu dan hanya akan berlaku 20 minggu ke atas iaitu selepas uri terbentuk.

Pra Eklampsia Ancam Ibu Hamil 20 minggu Ke Atas. Boleh Bantut Perkembangan Janin & Strok Pada Ibu Jika Tidak Dikawal

Kata Dr Nurul Azwa, tiada jawapan kepada mengapa terjadinya pra eklampsia ini. Ia berkemungkinan kerana plasenta yang tidak terbentuk sempurna yang menyebabkan berlakunya gangguan aliran darah ibu yang mana protein yang sepatutnya ditapis buah pinggang ibu terbebas ke dalam air kencing.

TANDA-TANDA PRA EKLAMPSIA

Antara tanda-tanda pra eklampsia ialah tekanan darah tinggi dan kehadiran protein 2+ di dalam air kencing. Namun gejala-gejala pra eklampsia yang serius adalah seperti berikut;

  • Sakit kepala yang teruk
  • Pandangan menjadi kabur.
  • Pedih pada ulu hati.
  • Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah dengan tiba-tiba.
  • Loya dan muntah.

Pra Eklampsia Ancam Ibu Hamil 20 minggu Ke Atas. Boleh Bantut Perkembangan Janin & Strok Pada Ibu Jika Tidak Dikawal

5 WANITA BERISIKO TINGGI ALAMI PRA EKLAMPSIA

Anda lebih cenderung untuk mendapat pra eklampsia jika terdiri daripada golongan ini.

IKLAN
  1. Kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar dengan kehamilan yang terdahulu.
  2. Berumur 40 tahun atau lebih.
  3. Mempunyai berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
  4. Mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah seperti tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang atau diabetes.
  5. Kandungan kembar atau lebih.
  6. Mempunyai sejarah pra eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya.
  7. Pernah mengalaminya pada kehamilan sebelum ini.

Pra Eklampsia Ancam Ibu Hamil 20 minggu Ke Atas. Boleh Bantut Perkembangan Janin & Strok Pada Ibu Jika Tidak Dikawal

KESAN PRA EKLAMPSIA KEPADA IBU DAN BAYI

Pra eklampsia boleh menjadi ancaman yang kuat kepada ibu dan bayi. Ibu yang mengalami pra eklampsia perlu dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya ada komplikasi supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi. Dalam keadaan tertentu, ia boleh memberikan kesan pada ibu seperti berikut :

#1 Eklampsia atau nama lain sawan ketika mengandung, di mana tangan dan kaki tersentak-sentak tanpa ransangan,  bebola mata ibu naik ke atas dan kancing gigi. Keadaan yang berterusan ini akan menyebabkan pengurangan aliran darah dan oksigen ke uri dan akan membahayakan nyawa bayi.

#2 Sindrom HELLP. Ini adalah kecelaruan pada hati dan pembekuan darah. HELLP bermaksud:

H: haemolysis atau sel-sel darah merah pecah.

IKLAN

EL: elevated liver enzymes hati tidak berfungsi dengan baik.

LP: low platelet count atau jumlah platelet rendah menyebabkan darah lambat membeku.

#3 Strok atau pendarahan dalam otak. Ia disebabkan oleh tekanan darah yang terlampau tinggi menyebabkan salur darah  pecah, merosakkan sel-sel otak sehingga sebahagian otak itu tidak berfungsi.

#4 Tumpah darah atau pendarahan yang berterusan.

#5 Kerosakan organ seperti hati, buah pinggang dan wujudnya cecair dalam paru-paru (edema pulmonari).

IKLAN

#6 Pada bayi yang dikandung pula, tumbesaran bayi boleh terbantut disebabkan pengaliran darah serta kuantiti oksigen dan nutrien yang tidak mencukupi. Ia juga boleh menyebabkan air ketuban berkurangan (oligohidramnios) dan bayi mati secara mengejut di dalam kandungan.

Pra Eklampsia Ancam Ibu Hamil 20 minggu Ke Atas. Boleh Bantut Perkembangan Janin & Strok Pada Ibu Jika Tidak Dikawal

JANGAN CULAS PEMERIKSAAN PRANATAL!

Penting bagi anda menghadiri semua temu janji pranatal kerana ini akan membantu doktor anda mengesan dan mengawal pra eklampsia (jika ada).

Bagi yang berisiko tinggi, ibu akan diberikan ubat aspirin pada dos yang rendah bermula minggu ke-12 sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra eklampsia. Suplemen kalsium juga perlu diambil. Tekanan darah, pemeriksaan air kencing dan penambahan berat badan akan dipantau dengan teliti.

URI PERLU DIKELUARKAN SEGERA

Bagi menstabilkan ibu daripada eklampsia, bayi dan uri perlu dikeluarkan segera melalui proses kelahiran. Tetapi sebelum bersalin, tekanan darah tinggi ibu akan distabilkan terlebih dahulu.

Magnesium sulfate akan diberikan sebelum dan  selepas bersalin kerana sawan masih boleh berlaku selepas bersalin. Bagi sesetengah hospital kerajaan, ibu akan dipantau selama lima hingga tujuh hari sehingga tekanan darah tinggi stabil dan protein dalam air kencing berkurangan.

Sumber: Majalah Pa&Ma

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI