Prof Dr Muhaya Kongsikan Tip Bagaimana Anda Mampu Jadi Ibu Bapa Hebat Di Mata Anak-Anak

Share

Ibu bapa mana tidak mahu menjadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka kan? Malah mesti kembang hati kalau diri kita dijadikan idola oleh semua permata hati kita. Sebenarnya kita semua mampu menjadi ibu bapa yang hebat. Kuncinya, sentiasa perbaiki diri dan tidak jemu menambah ilmu.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa kita juga tak terlepas dari melakukan kesilapan di depan anak-anak. Nak sama-sama mencipta kebahagiaan, amalkan tip menjadi ibu bapa terbaik untuk membentuk sahsiah anak-anak dari Prof Dr Muhaya

Cara mudah membentuk peribadi terpuji dan sahsiah anak-anak

1) Kalau Tiba-tiba Teringatkan Anak, Kirimkan Bacaan Al-Fatihah

Apabila sampai kepada ayat “iyyakanakbudu waiyyakanastain” – yang bermaksud “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”

Mintalah apa-apa sahaja hajat masa itu yang ada hubungkait dengan anak yang kita ingat tersebut. Habiskan bacaan Al-Fatihah.

Doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanfaat dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2) Pandang Wajahnya Semasa Dia Tidur, Ucapkan Bahawa, Ibu Nak (Nama Anak) Jadi Anak Yang Soleh Sayang!

Cuba amalkan (ada ustaz yang kata ini bermakna kita bercakap dengan rohnya) dan ucapan ini adalah DOA dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

3) Semasa Bangun Solat Malam, Solatlah Hajat Di Sisinya

Maksudnya kita solat dalam bilik anak dan dekat dengan anak kita. Jika kita selalu buat dan kita beritahu anak kita yang kita sering doakannya, anak tersebut akan dapat merasakan satu ikatan kasih sayang yang hakiki.

Yang mana mereka dapat rasakan bahawa kita sangat sayangkannya dan mahu anak kita menjadi anak yang soleh/solehah. Anak juga akan tahu yang kita sering solat hajat untuknya.

4) Minta Dikasihani

Ucapkan setiap masa yang kita sedang menunggu panggilan Allah. Jika anak-anak tidak menjadi anak yang soleh/solehah bermakna mereka tak sayangkan kita. Sudah tentulah kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5) Peluk Anak Selalu Walaupun Anak Sudah Besar, Sebagaimana Kita Menatang Anak Sewaktu Kecil

Serlahkah aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita berbangga mempunyai anak sepertinya.

6) Maafkan Anak Kita Setiap Masa Walaupun Perbuatannya Amat Melukakan Hati Kita

Muhasabah diri. Berkemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kita sebenarnya berpunca daripada dosa-dosa kita yang lampau.

7) Yang Penting Kita Jaga Tutur Kata

Jangan sekali-kali mengucapkan perkataan yang boleh melukakan hati anak. Jika ianya berlaku secara tidak sengaja, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk meminta maaf.

Mengakulah kepada anak kelemahan kita. Kita marah kerana kesalahan mereka. Bukan bermaksud membenci. Ceritalah dan nak buat macam drama pun boleh.

8) Amalkan Membaca Ayat 40 Surah Ibrahim Supaya Kita, Anak dan Zuriat Keturunan Kita Termasuk Dalam Golongan Orang-orang Yang Tetap Mendirikan Solat.

Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

9) Selalu Ingatkan Anak, Tak Guna Ada Pangkat, Belajar Tinggi Hatta Hafal Al-Quran Sekalipun Jika Tidak Mempunyai Peribadi Yang Mulia

Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10) Masa Basuh Beras, Niatkan; “Ya Allah, Lembutkanlah Hati Anak-anakku (Sebut Nama) Untuk Faham Agamanya Sebagaimana Engkau Lembutkan Beras Ini Menjadi Nasi”‘

Kenapa kita nak anak faham agama? Kerana anak yang tidak faham agama boleh membawa bersama ibu bapanya ke neraka.

Basuh beras lawan arah jam (macam orang tawaf) sambil selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Semasa melakukan perkara ini, hati jangan lalai, sentiasa ingat Allah selalu.

Amalan harian yang boleh dikatakan mampu dilakukan oleh semua ibu bapa. Cuma perlukan kesungguhan dan konsisten. Mungkin sekarang tidak nampak lagi, tapi setelah beberapa ketika, pasti kita tersenyum syukur mendapati sahsiah dan akhlak anak-anak kita sangat menyejukkan jiwa.

Sumber: www.myliferia.com

Published by
Wan Amy