Prophetic Parenting: Farah Lee Tolak Rotan Anak & Seru Didik Dengan Kasih Sayang

Share

Setiap ibu ayah pasti mahu membesarkan anak yang berakhlak mulia dan mendengar kata. Namun, dalam mendidik anak-anak, kaedah yang digunakan memainkan peranan besar dalam membentuk emosi dan jiwa mereka. Inilah yang cuba ditegaskan oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Farah Lee, apabila beliau menyeru ibu bapa supaya menolak sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap kanak-kanak melalui pendekatan Prophetic Parenting.

Prophetic Parenting: Didikan Berasaskan Kasih Sayang

Menurut Farah, ibu ayah perlu memahami dan menghayati cara didikan Rasulullah SAW yang dikenali sebagai Prophetic Parenting. Satu pendekatan yang berasaskan kasih sayang, kelembutan dan teladan yang baik. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada membentuk akhlak dan emosi anak-anak dengan empati, bukan ketakutan.

Farah Lee Tolak Rotan & Pukul Anak

Dalam satu perkongsian di media sosial, Farah menjelaskan bahawa dia tidak pernah memilih untuk memukul atau mencubit anaknya. Katanya, Nabi SAW tidak pernah memukul kanak-kanak mahupun wanita, maka itu sepatutnya menjadi contoh buat semua ibu bapa.

“Aku ibu yang tegas, tapi aku tak pernah pilih untuk pukul mahupun cubit anak, sebab aku tahu Nabi tak pernah buat dan Nabi sepatutnya jadi rujukan semua orang yang inginkan kebaikan,” katanya.

 

View on Threads

 

Farah turut menegaskan bahawa masalah akhlak yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak hari ini bukan berpunca daripada ketiadaan hukuman fizikal, sebaliknya disebabkan kegagalan mendidik kebijaksanaan emosi (EQ) anak-anak. Pendekatan Prophetic Parenting menekankan empati dan kemanusiaan agar anak membesar dengan kasih, bukan ketakutan.

Pandangan Ustaz: Nabi SAW Tidak Pernah Memukul Anak

Pandangan Farah turut seiring dengan penjelasan Ustaz Azlan Shah, yang menyatakan bahawa terdapat banyak hadis sahih daripada para sahabat menunjukkan Rasulullah SAW tidak pernah memukul anak mahupun wanita.

Menurutnya, dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Nabi SAW hanya membenarkan anak berumur 10 tahun dipukul secara ringan jika enggan mendirikan solat setelah mereka dididik dengan penuh kasih sayang sejak umur tujuh tahun. Namun begitu, beliau menegaskan tiga syarat yang mesti dipatuhi:

  • Tidak boleh meninggalkan kesan.
  • Tidak boleh menyakitkan.
  • Tidak boleh dipukul pada wajah.

Ustaz Azlan turut menambah bahawa hadis tidak menyebut penggunaan sebarang peralatan seperti rotan. “Kalau ikut tiga syarat ini, adakah rotan masih sesuai digunakan?” soalnya.

Hukuman Rotan Di Sekolah Ada Garis Panduan

Dalam konteks undang-undang di Malaysia, ibu bapa atau orang awam tidak dibenarkan merotan kanak-kanak. Hanya guru besar atau guru yang diberi kuasa boleh melaksanakan hukuman rotan, itupun tertakluk pada garis panduan ketat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebelum ini menegaskan bahawa hukuman hanya boleh dijalankan untuk kesalahan berat seperti kes buli. Ia juga dilarang dilakukan di khalayak ramai dan terhadap murid perempuan.

Rotan pula mesti ringan dan hanya di tapak tangan atau punggung yang berlapik pakaian, selain setiap hukuman perlu direkodkan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Didik Dengan Kasih, Bukan Ketakutan

Farah Lee menyeru agar ibu ayah kembali kepada pendidikan berasaskan sunnah, yang menekankan kelembutan, kesabaran dan komunikasi yang baik. Baginya, anak yang membesar dalam suasana penuh kasih akan lebih mudah mendengar kata kerana mereka merasa disayangi, bukan kerana takut dihukum.

“Kalau anak takut sebab kita marah, itu bukan tanda kita berjaya didik. Tapi kalau anak takut untuk kecewakan kita sebab sayang dan hormat, itulah kejayaan sebenar,” ujarnya.

Prophetic Parenting bukan sekadar teori, tetapi cara hidup yang mampu melahirkan generasi berjiwa tenang, penyayang dan penuh adab. Dalam dunia penuh cabaran ini, anak-anak bukan hanya perlu disiplin, tetapi juga perlu merasa dicintai. 🌸

Published by
Nana