Tangisan bayi di tengah malam bukanlah suatu perkara asing buat ibu bapa baharu. Jika bayi terjaga di tengah malam, bukan ibu bapa sahaja yang akan merasa kesannya (tidak cukup tidur).
Bahkan juga, si manja turut merasai kesan akibat tidak mendapat tidur yang lena. Hal ini kerana, bayi yang tidak mendapat tidur yang cukup boleh mengganggu proses tumbesaran mereka. Bagi membantu si manja mendapatkan tidur yang lena pada malam hari, cuba ikuti panduan di bawah:
Sebelum tidur, pastikan bayi sudah diberikan susu yang mencukupi.
Sebelum tidur, lap badan bayi menggunakan tuala yang direndam dengan air suam.
Selepas membersihkan badan bayi, lakukan urutan lembut pada tubuh badan bayi termasuk tangan dan kaki. Penggunaan minyak bayi ataupun losen boleh membantu proses urutan dan harumannya boleh merangsang si manja mendapatkan tidur yang lena.
Jika ingin menidurkan bayi, pastikan pencahayaan dalam bilik tidur suram.
Anda boleh memasang alunan muzik lullaby ataupun zikir yang sesuai bagi merangsang mood tidur si manja.
Tahukah anda bahawa faktor pakaian semasa tidur juga boleh membuatkan si manja terjaga daripada tidur. Jadi, pastikan anda memakaikan bayi dengan pakaian yang sesuai dan selesa biarpun semasa dia sedang tidur. Anda boleh juga membalutkan tubuh bayi dengan selimut nipis untuk menghangatkan tubuhnya semasa tidur.
Ajar si manja tidur pada satu-satu waktu. Contohnya, terus bawa si manja tidur pada setiap jam 9 malam pada setiap hari. Dengan cara ini, bayi anda akan mengulangi waktu tidur yang sama setiap hari.
Bayi memang akan tidur tidak kira siang ataupun malam. Namun, anda perlu ajar bayi membezakan tidur siang dan malam mereka dengan cara membiarkan bayi tidur di bakul bayi pada waktu siang dan tidur di katil bayi ataupun bersama anda pada waktu malam.
Jika bayi anda terjaga pada waktu malam, tepuklah punggung atau pahanya dengan lembut bagi merangsangnya untuk terus tidur. Sekiranya si manja menangis, periksa sama ada berlaku kebocoran lampin. Anda juga boleh mendukung bayi anda seketika sambil mendodoinya dengan suara yang perlahan.
Sumber: Hello Doktor