Berita

Proton e.MAS 7 Rasmi Dilancar, Harga Bermula RM109,800

Share
Proton e.MAS 7 dilancarkan secara rasmi!
Malaysia kini mempunyai kereta elektrik pertama!
Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kereta elektrik pertama Proton e.Mas 7 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Memetik laporan Bernama, Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara iaitu Proton e.MAS 7 yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800 dengan tawaran rebat sebanyak RM4,000 bagi 3,000 pembeli pertama.

Model berkenaan dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam ucapannya mengumumkan bahawa ia akan menjadi kenderaan rasmi ASEAN 2025 sebagai sokongan kepada kenderaan sifar emisi dan teknologi kenderaan mesra alam di Malaysia.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C itu ditawarkan menerusi dua varian iaitu e.MAS 7 Premium pada harga RM123,800 dan e.MAS 7 Prime (RM109,800).

Bagaimanapun, bagi 3,000 pembeli pertama, e.MAS 7 Premium ditawarkan pada harga RM119,800 manakala e.MAS 7 Prime (RM105,800).

Untuk makluman, e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik bersepadu “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Menerusi bateri Aegis ‘short blade’ ia mempunyai kemampatan tenaga lebih tinggi, selamat dan tahan lebih lama.

Varian Prime dilengkapi versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km dan Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km (WLTP).

Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30 peratus hingga 80 peratus.

Sumber: Bernama
Published by
Nor Yusoff