Kebanyakan ibu berhasrat untuk menyusukan anak secara eksklusif. Namun ada ketikanya impian itu tak kesampaian sehingga ibu asyik cakap susu sikit, takut anak lapar.
Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, persediaan awal penting supaya dapat melancarkan proses penyusuan selepas melahirkan anak. Antaranya ialah:
#1 Yakin boleh menyusu sepenuhnya
Perkara utama adalah yakin bahawa puan boleh menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu. Yakin yang susu sentiasa cukup untuk bayi, seolah-olah tiada pilihan lain selain menyusukan bayi secara eksklusif. Hasil kajian mendapati 80% kegagalan ibu menyusu secara eksklusif adalah kerana faktor psikologi ibu sendiri yang kurang yakin susu adalah cukup untuk bayi terutamanya di awal kelahiran di saat susu matang belum dihasilkan.
#2 Fahami proses penghasilan susu ibu
Adalah sangat penting untuk puan faham tentang bagaimana susu ibu dihasilkan. Lebih tinggi pemahaman tentang bagaimana tubuh bertindak dalam penghasilan susu ibu, lebih tinggi peluang untuk berjaya menyusu bayi sepenuhnya dengan susu ibu. 95% daripada ibu yang melahirkan anak boleh menyusu sebaik kelahiran. Punca kebanyakan ibu yang beranggapan susu tidak ada adalah disebabkan kurangnya ilmu tentang fisiologi susu ibu itu sendiri. Bila tidak faham, puan akan mudah mengalah. Puan boleh mula buat pembacaan, menghadiri seminar tentang susu ibu atau menyertai Kumpulan Sokongan Susu Ibu bagi mendapatkan informasi dan fakta yang tepat tentangnya. Adalah sangat baik jika suami ikut serta belajar tentang ilmu penyusuan. Hal ini kerana untuk berjaya menyusu, sokongan daripada suami dan keluarga adalah sangat penting.
#3 Mulakan di awal kelahiran
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang disusukan dengan susu ibu seawal empat jam pertama sejurus lepas kelahiran adalah lebih mudah untuk berjaya menyusu berbanding bayi yang lambat memulakan penyusuan pertama. Sebelum kelahiran bayi, bincang bersama doktor tentang pelan kelahiran. Nyatakan hasrat puan mahu menyusukan bayi hanya dengan susu ibu seawal kelahiran untuk mengelakkan bayi diberi susu formula di hospital yang boleh menyebabkan masalah lain seperti keliru puting.
#4 Sentuhan kulit-ke-kulit
Puan juga boleh meminta untuk melakukan sentuhan kulit-ke-kulit iaitu dengan meletakkan bayi di atas dada, keduanya tanpa pakaian sejurus selepas kelahiran. Apabila bayi berada dalam pelukan puan, bayi akan tenang lalu memudahkan proses lekapan penyusuan pertama. Sentuhan kulit-ke-kulit juga boleh dilakukan ketika bayi dalam pantang atau semasa dia mempunyai masalah untuk menyusu secara langsung. Sentuhan kulit-ke-kulit dapat membantu meningkatkan hormon oksitosin untuk pengeluaran susu ibu yang lebih banyak.
#5 Menyusu mengikut keperluan bayi
Paling penting menyusulah mengikut permintaan iaitu keperluan bayi menyusu ketika di dalam pantang. Jangan menyusu mengikut jam. Susukan bayi bila-bila masa diperlukan. Kenal pasti tanda-tanda awal bayi menyusu seperti mulut kelihatan seperti mengunyah atau mengalihkan kepala ke kiri dan kanan. Tujuannya membolehkan puan menyusukan bayi secepat mungkin sebelum dia mula menangis. Jika bayi sudah mula menangis, dia bayi sahaja lapar tetapi dalam keadaan marah. Situasi ini akan menyukarkan proses pelekapan dan penyusuan bayi.
#6 Teknik pelekapan yang betul
Pastikan bayi melekap dengan betul pada bahagian tampok hitam (areola), bukan menghisap di bahagian puting. Mulut bayi mesti ternganga luas dan aerola dimasukkan ke dalam mulut hampir sepenuhnya. Jika teknik lekapan tidak betul, susu tidak dapat dikeluarkan dengan sepenuhnya sekali gus boleh menyebabkan masalah bengkak susu dan puting melecet. Sabar dan beri masa untuk bayi belajar melekap dengan betul. Bulan pertama menyusu adalah masa pembelajaran untuk bayi. Bayi akan dapat menguasai teknik menyusu dengan betul apabila masuk ke bulan berikutnya. Apabila bayi melekap dengan betul dan menghisap secara efektif hingga payudara kosong sepenuhnya, ia akan membantu lebih banyak susu dihasilkan.
#7 Bantuan pakar laktasi
Dapatkan bantuan pakar laktasi atau Persatuan Sokongan Ibu Menyusu untuk membantu dalam isu-isu yang berkaitan penyusuan. Sokongan adalah sangat diperlukan untuk membina keyakinan ibu agar berjaya menyusu sepenuhnya dengan susu ibu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI