Apabila seseorang wanita selamat melahirkan, antara masalah yang biasa dialami ialah kenaikan berat badan. Hal yang sama turut dialami oleh pelakon terkenal Lisa Surihani.
Terkini, dia tampil lebih ramping daripada sebelumnya selepas selamat melahirkan anak keduanya, Yusof Leonne. Lisa kelihatan seperti anak dara, sedangkan tubuhnya berisi selepas bersalin tujuh bulan yang lalu.
Ekoran daripada muat naik gambar-gambar terkini di dalam Instagram miliknya, ramai pengikut memohon Lisa berkongsi rahsia kelihatan langsing yang telah diamalkannya itu. Lisa pula tidak lokek dan memberi tip-tip yang menurutnya memberi kesan buat dirinya tetapi mungkin tidak bagi orang lain. Walau bagaimanapun, tidak salah jika yang lain mencuba tip yang sama.
Terdapat empat tip yang diamalkan oleh Lisa untuk mengurangkan berat badannya.
Kebiasaannya umum menggunakan beras biasa. Namun dalam berusaha untuk mengurangkan berat badan, Lisa memilih untuk menggunakan beras herba ponni yang lebih tinggi kandungan serat. Walaupun diambil dalam jumlah yang sedikit, ia mampu membuatkan anda berasa kenyang.
Seperti yang diketahui ramai, gula adalah salah satu bahan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan jika diambil secara berlebihan. Untuk itu, Lisa seboleh mungkin mengurangkan pengambilan gula di dalam makanan dan minuman hariannya.
Kaedah ini merupakan cara berdiet yang paling mudah dan tidak menyeksakan. Apa yang perlu dilakukan ialah membahagikan masa selama 16 jam untuk berpuasa dan 8 jam untuk makan. Cara amalan ini bergantung kepada individu.
Anda boleh menggunakan waktu malam untuk mula berpuasa. Contohnya bermula daripada jam 8 malam hingga 12 tengah hari keesokan harinya. Manakala 8 jam selebihnya anda boleh makan dengan kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dan terkawal. Dalam masa yang sama, anda perlu minum lebih banyak air kosong dan sebaik-baiknya elakkan minuman mahupun makanan yang manis.
Anda tidak perlu melakukan senaman yang berat. Boleh lakukan apa sahaja jenis senaman asalkan badan sentiasa fit.