Esok, semua Muslim di Malaysia akan mula berpuasa. Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada para ibu menyusu. Ada ibu yang berura-ura mahu mencampurkan susu formula jika stok susu ibu perahan tidak cukup. Ada juga yang mengeluh, apabila mengepam, hasilnya yang dapat sedikit sahaja.
Berpuasa dan pada masa yang sama bekerja serta menyusukan anak bukanlah suatu perkara yang mudah. Pokok pangkalnya ialah usaha dan semangat anda. Berikut adalah perkongsian amalan yang patut anda lakukan di bulan puasa demi menjaga penghasilan dan pengeluaran susu ibu agar tidak terjejas.
Set semula minda
Set semula minda yang kadang-kala terselit pemikiran negatif tentang apa yang bakal anda lalui sepanjang tempoh berpuasa.
Anda perlu bertekad bahawa diri boleh dan mampu menyusukan anak walaupun berpuasa. Susu untuk anak anda sentiasa ada walaupun anda berpuasa. Jangan sesekali memikirkan tentang susu yang mungkin boleh berkurangan.
Buat stok lebih awal
Pastikan stok perahan susu ibu sedia ada mencukupi untuk dua minggu pertama bulan puasa. Ini tidak termasuk stok yang bakal dipam sepanjang bulan puasa.
Stok berkenaan boleh menjadi ‘penyelamat’ jika anda tidak sihat atau terlalu sibuk sehingga tidak sempat mengepam. Lebih banyak stok sedia ada lebih bagus.
Kerap mengepam
Rutin mengepam jangan sesekali ditinggalkan. Pam setiap 3 jam sekali. Biarpun anda dapat 1oz sekalipun serial kali pam, jangan mengeluh. Apabila anda kerap mengepam, ia memberi petunjuk kepada tubuh supaya ‘bekerja’ dengan lebih keras untuk menghasilkan susu untuk anda pam pada jam berikutnya.
Contoh jadual mengepam bagi ibu bekerjaya yang masuk kerja pad jam 8 pagi.
7.30 pagi – sebelum masuk kerja.
10.00 pagi
1.00 petang
4.00 petang
Apabila di rumah, anda boleh buat tandem nursing. Sebelah menyusu, sebelah lagi mengepam. Anak kenyang dan pada masa yang sama, stok susu pun dapat.
Sebelum tidur pam sekali lagi. Jika mahu, seminggu sekali, waktu awal pagi anda boleh buat power pumping. Sepuluh minit pam, sepuluh minit rehat. Ulang selama satu jam. Power pumping boleh meningkatkan permintaan seterusnya otak menghantar petunjuk kepada tubuh untuk mengeluarkan lebih banyak susu.
Ambil makanan sihat
Amalkan memakan 3 biji kurma pada waktu sahur dan 3 biji lagi pada waktu berbuka. Selain memberi tenaga, ia mampu membantu dalam proses pengeluaran susu agar lebih banyak.
Makanan bijirin seperti oat, selain boleh memberi rasa kenyang yang lama, ia juga merupakan milkbooster yang baik.
Kurangkan aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal boleh menyebabkan tubuh terhidrat. Anda boleh kekurangan air. Bila tubuh kekurangan air, penghasilan susu akan terjejas.
Jangan buat kerja yang berat atau berjalan ke sana-sini sehingga boleh menyebabkan anda cepat haus.
Minum air kosong
Sekalipun bulan puasa, bukanlah bermaksud rutin 3 liter air kosong perlu ditinggalkan. 3 liter air kosong tetap perlu diambil bagi menggantikan air yang hilang dari tubuh semasa seharian berpuasa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI