Benar, bila ada anak kecil, ibu bapa juga seperti menjadi anak-anak kembali. Kemanisan menjadi ibu akhirnya menjadi milik wanita ini yang sudi berkongsi kisahnya dengan Pa&Ma.
11 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Dan hanya setelah 11 tahun berumah tangga, wanita ini akhirnya dikurniakan cahaya mata. Justeru, dia dan suami cukup menghargai kehadiran cahaya mata mereka, Imani Kasimah. Penantian yang berbaloi dengan kelahiran si comel.
Farhah Simard yang kini menetap di Kanada amat bersyukur dengan kehadiran si kecil Imani Kasimah 2 tahun 9 bulan. “Anak ini hadir dalam hidup kami selepas 11 tahun bersama, jadi bila kami ada anak, habiskan masa bersama anak, bermain bersama adalah matlamat utama kami sebagai ibubapa.”
“HABISKAN MASA UNTUK BUAH HATI KECIL KAMI”
Bagi Farhah, tiada yang luar biasa baginya membesarkan anak, sama seperti ibu bapa lain, mahu menghabiskan masa sebanyak mungkin dengan anak.
“Matlamat ini adalah sangat biasa sebenarnya, semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak anak mereka, jadi tanpa buat perbandingan, ini hanyalah cerita bagaimana kami sebagai ibubapa , tidak kurang mahupun lebih dari anda, habiskan masa bersama buah hati kecil kami,” kata ibu ini.
WAKTU KERJA FLEKSIBEL
Waktu kerja fleksibel adalah satu perkara yang sangat didambakan kebanyakan ibu bapa kerana ia tidak menyebabkan terikat kepada jadual kerja yang tetap. Waktu kerja boleh dirancang supaya ada masa untuk anak yang sedang membesar.
“Di Kanada, masa berkerja adalah fleksibel. Papa Imani habis kerja jam 2 petang. Jadi bila habis bekerja, hari masih panjang untuk kami bersama-sama dengan anak sebelum anak masuk tidur jam 8 malam. Saya juga sudah kembali bekerja sejak 2 bulan lalu, tapi hanya 3 hari seminggu, seperti hari Imani ke playschool.
PLAYSCHOOL SEJAK USIA 18 BULAN
Kata Farhah, Imani sudah ke playschool sejak berusia 18 bulan. Ini memberikan peluang untuknya kembali bekerja. Playshcool tidak mempunyai jadual ketat buat si kecil.
KUASAI 3 BAHASA
Daripada video yang dikongsikan Farhah, anaknya dapat berbahasa Melayu dengan baik. Dia sendiri menekankan penggunaan bahasa Melayu kepada Imani. Manakala suaminya pula hanya bertutur bahasa Perancis dengan si anak. bahasa Inggeris pula dipelajari anak kecil itu dengan sendirinya (self taught).
SENTIASA LAKUKAN AKTIVITI DI LUAR RUMAH
Imani seorang anak yang aktif. Kata Farhah di didedahkan dengan pelbagai aktiviti. Terkini dia suka aktiviti berenang, bebas berlari dan melompat di trampoline.
JADI CAMPER MUDA, BIARKAN SIBUK DI LUAR RUMAH
“Imani juga mengikuti bapanya ke “camping ground” yang kami menetap sepanjang musim panas setiap tahun. Imani belajar kenal orang di sini. Memang tidak mudah menjadi “camper’” paling muda, kerana sentiasa ada sahaja yang datang mengagah.
“Paling penting, disini, Imani dapat menjalani kehidupan kanak kanak yang riang tanpa ada batasan. Jadi kami sentiasa di luar rumah sepanjang masa dan dia biarkan sibuk bermain.
LIBATKAN ANAK DENGAN SEMUA AKTIVITI
Bila kami kembali ke rumah musim sejuk, bila salji turun, hobi Imani ialah menolong papa bersihkan salji, boleh dikatakan kami sentiasa melibatkan imani dalam semua aktiviti harian kami.
LESEN KEMBALI MENJADI KANAK-KANAK
Luahan ibu ini menggambarnya betapa enjoynya rasa menjadi seorang ibu. Malah baginya memiliki anak adalah seperti mendapat lesen menjadi kanak-kanak kembali.
“Pada saya, mempunyai anak seperti dapat “lesen” untuk kembali menjadi seperti kanak kanak juga, kami jenis ibubapa yang boleh main pasir bersama anak, kutip kayu dan batu bersama, bila musim sejuk, berkubang dalam salji buat “snow angel”, bermain gelungsur dengan gelak ketawa yang gembira sekali. Terima kasih untuk anak tersayang, kerana ada dia, kami, ibu bapa berpeluang kembali menikmati kembali zaman kanak kanak yang sudah berlalu pergi itu.,” kata Farhah.