Punya sejarah kencing manis kehamilan terdahulu pastinya satu yang mengerikan. Bimbang ia akan berlaku lagi untuk kehamilan kedua , ketiga dan seterusnya. Mungkin ada yang sampai fobia untuk hamil lagi. Jangan bimbang mama ini nasihat daripada pakar.
Saya mengalami masalah kencing manis ketika kehamilan terdahulu. Adakah ia boleh berlaku pada kehamilan saya yang seterusnya? Saya dan suami merancang untuk hamil anak kedua dalam tahun ini dan berharap masalah kencing manis tidak menghantui lagi.
Suria – Semenyih, Selangor
Langkah pertama saya menyarankan puan membuat pemeriksaan perubatan untuk memastikan tahap glukos dalam darah berada di paras normal dan bukannya di dalam kategori kencing manis atau diabetes.
Sekiranya keputusan darah puan termasuk di dalam kategori pesakit kencing manis (diabetes mellitus), puan hendaklah bertemu dengan doktor dan mengawal tahap glukos sebelum cuba untuk hamil. Ini adalah kerana tahap glukos yang tinggi dan tidak terkawal dikaitkan dengan kecacatan kepada bayi seperti penyakit jantung kongenital.
Jika keputusan darah didapati normal, puan bolehlah cuba untuk hamil sekali lagi. Walau bagaimana pun, ketika hamil, hormon kehamilan boleh menyebabkan paras glukos di dalam tubuh meningkat lebih tinggi daripada biasa. Keadaan ini dinamakan sebagai gestational diabetes yang hanya berlaku ketika hamil dan ‘hilang’ selepas bayi dilahirkan.Bagi ibu hamil yang mengalami diabetes, terdapat beberapa rutin dan risiko yang perlu dihadapi.
- Membuat lawatan ke klinik antenatal dengan lebih kerap.
- Temu janji dengan doktor perbidanan.
- Pemeriksaan darah lebih kerap.
- Temu janji dengan pakar makanan.
- Pengawalan makanan dan minuman.
- Kelahiran secara induksi jika perlu.
- Bayi bersaiz besar ketika lahir atau macrosomia.
- Masalah bayi yang meninggal dalam kandungan secara tiba-tiba.
Oleh itu, saya menyarankan puan untuk mula mengawal pengambilan makanan dan melakukan senaman sebelum hamil. Glukos berasal dari gula yang ditambah ke dalam makanan, minuman serta sumber makanan berkarbohidrat. Kurangkan pengambilan gula sama ada dalam makanan atau minuman. Pilih atau tukar kepada air tanpa gula.
Saya pernah menasihatkan perkara ini kepada seorang pesakit dan beliau menjawab bahawa tidak boleh hidup tanpa minum air bergula. Hal ini kerana gula boleh membawa kepada ‘ketagihan’. Apabila cuba mengurangkan kadar gula, kadang kala diri jadi lemah, mengantuk, marah, beremosi dan lain-lain. Ia memerlukan kekuatan mental untuk melakukannya!
Elakkan mengambil makanan karbohidrat ringkas secara sederhana. Sebaiknya gantikan dengan karbohidrat kompleks seperti nasi beras perang, roti mil penuh atau bijirin penuh. Buah-buahan yang manis juga diambil secara sederhana manakala sayur-sayuran berdaun boleh dimakan sepuas-puasnya!
Senaman juga penting untuk membina otot untuk membakar glukosa dan membolehkan puan mencapai berat badan yang baik sebelum hamil. Sejarah kencing manis di dalam keluarga adalah satu risiko untuk mendapat kencing manis ketika hamil. Kesimpulannya, lakukan pengawalan pemakanan dan penjagaan kesihatan serta bersenam sejak sebelum hamil. Saya berharap kehamilan puan dipermudahkan kali ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI