Puteri Sarah Alami Migrain Teruk Hamil Anak Kedua. Ibarat Macam Nak Hentak Kepala Ke Dinding

Share

Memasuki usia kandungan tiga bulan, pelakon Puteri Sarah memberitahu dia kerap mengalami migrain yang teruk.

Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 33, berkata, gejala itu sedikit sebanyak menganggu urusan hariannya sebagai isteri dan ibu.

“Selalu wanita hamil mengalami alahan muntah-muntah, tapi saya tak ada simptom itu cuma mengalami sakit kepala yang agak teruk.

“Sampaikan saya rasa nak botakkan rambut dan hentak kepala ke dinding kerana tak tahan sakit tersebut.

“Sakit kepala dan pening dari pagi sampai ke malam, terpaksa tahan sakit sebab tak mahu bergantung pada ubat tahan sakit sahaja,” katanya.

Malah menerusi postingnya di instagram, dia ada memberitahu bila mengandung dan ada migrain, bukan sesuatu yang boleh dibuat bergurau.

Nak ambil panadol dan ubat tahan sakit setiap hari tak boleh. Hanya perlu bertahan saja hingga boleh menangis ataupun tidur sepanjang hari.

Hanya boleh makan hidangan baru masak

Sementara itu, isteri kepada pelakon dan pengarah Syamsul Yusof ini berkata dia kini lebih berselera menikmati hidangan yang baru dimasak.

“Setakat ini tak ada mengidam yang pelik-pelik lagi, cuma saya tak boleh nak makan lauk yang dimasak hari semalamnya.

“Saya lebih berselera makan hidangan yang segar dan masih panas. Setiap hari terasa nak menu berlainan, sebelum ni tak ada masalah pun makan makanan yang sama,” ujarnya.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata Syaikhul Islam yang kini berusia 1 tahun 4 bulan.

Sumber: Mstar & Ig Puteri Sarah Liyana

 

Published by
Wan Amy