Radang Payudara Boleh Ganggu Misi Penyusuan 2 Tahun. Kaunselor Laktasi Kongsi 17 Tips Untuk Elak

Share

Sejak semalam bahagian puting menjadi sakit dan pedih. Bayi juga meragam seperti tidak puas menyusu. Pengeluaran susu juga tidak lancar. Ibu ini mungkin mengalami mastitis. Tapi tahukah anda jika tidak ditangani dengan baik ia boleh menjadi lebih teruk iaitu radang payudara?

Menurut kaunselor laktasi, Puan Norsyamlina Che Abdul Rahim, saluran susu tersumbat dan radang payudara (mastitis) adalah dua keadaan masalah payudara yang berlainan. Kadang-kadang susu boleh tersumbat pada sebahagian payudara sahaja.

Jika susu yang tersumbat ini tidak dikeluarkan pada bahagian payudara tersebut, ia akan menyebabkan keradangan (inflammation) tisu payudara atau radang payudara tanpa jangkitan (non-infective mastitis).

Pada peringkat awal tiada jangkitan bakteria berlaku pada payudara. Tetapi apabila payudara dijangkiti bakteria, ia menjadi radang payudara dengan jangkitan (infective mastitis).

Bagi mengelakkan masalah radang payudara ini dan kaunselor laktasi ini mencadangkan 17 perkara yang mama boleh lakukan.

  1. Ibu perlu mengeluarkan susu dengan lebih kerap. Cara terbaik ialah dengan meneruskan penyusuan dengan kerap.
  2. Ibu perlu memastikan bayi melekap dengan betul semasa penyusuan. Mempelbagaikan posisi penyusuan boleh membantu bayi melekap dengan lebih baik.
  3. Jika payudara terlalu besar, ibu perlu mengangkat dan mengampu payudara semasa menyusu agar pengaliran susu lancar di bahagian bawah payudara.
  4. Ibu perlu memberi bayu menyusu pada payudara yang terlibat (jika tidak terlalus akit) terlebih dahulu sehingga tercetusnya pancutan (let down) dan kemudian tukar kepada payudara sebelah lagi.
  5. Jika terlalu sakit untuk menyusu, perah sama ada menggunakan pam atau tangan bagi mengosongkan payudara.
  6. Lakukan urutan lembut (breast compression) di bahagian yang tersumbat ke arah puting sebelum dan sewaktu bayi menyusu.
  7. Tuam payudara yang terlibat dengan tuala suam (warm-pressed) sebelum menyusu untuk merangsang pengaliran susu ibu.
  8. Ibu juga boleh mandi dengan air suam dan melakukan urutan payudara secara lembut dengan menggunakan sikat atau genggaman tangan semasa mandi. Urutan perlulah mengarah ke bahagian puting. Urutan akan membantu payudara untuk dikosongkan dengan lebih maksimum dan mengurangkan simptom saluran tersumbat.
  9. Sepanjang mengalami radang susu dan saluran tersumbat, usahakan supaya payudara tidak ditekan kuat atau terhimpit.
  10. Ibu perlu memastikan coli  yang dipakai tidak ketat.
  11. Ibu perlu elak daripada tidur dalam posisi meniarap yang boleh menyebabkan payudara ditindih.
  12. Pastikan tali penyokong penggendong bayi tidak terlalu menekan payudara.
  13. Tekanan oleh ibu jari pada payudara atau kecederaan pada payudara boleh menyebabkan saluran tersumbat.
  14. Lakukan pemerahan susu ibu jika bayi tidak mahu menyusu dengan kerap kerana jika menyusu dengan kerap kerana jika susu tidak dikeluarkan, ketulan akan menjadi lebih menyakitkan dan boleh menyebabkan bernanah.
  15. Setiap kali selepas penyusuan, ibu perlu memerah (sama ada dengan pam atau tangan) untuk membantu mengosongkan payudara dengan lebih efektif dan seterusnya menggalakkan penyembuhan.
  16. Lakukan tuaman sejuk antara sesi penyusuan (iaitu semasa bayi tidak menyusu) untuk mengurangkan kesakitan pada payudara.
  17. Ibu perlu mendapat rehat yang cukup dan mengambil air dengan mencukupi untuk proses penyembuhan yang lebih optimum.

Published by
Azma ML