Rahim Jatuh Buat Wanita Tak Selesa, Jangan Biarkan, Bahaya Jika Tidak Dikawal!

Share

Setiap kali melakukan kerja-kerja berat, mulalah rasa sakit belakang, rasa tidak selesa di bahagian bawah dan tubuh mula rasa tidak selesa. Hati-hati, jangan dibiarkan hal ini berterusan. Berkemungkinan anda mengalami masalah tombong, atau rahim jatuh.

Menurut Dr Erna Nadia, tombong atau rahim jatuh ini jika dibiarkan boleh membahayakan wanita. Sebaiknya cegah dan usahakan untuk pulih secepat yang mungkin.

Ini yang dikongsikan oleh beliau.


TOMBONG RAHIM JATUH

Ramai yang PM tanya pasal tombong. Maaf kalau saya tak reply sebab saya fikir baik saya buat satu artikel tentang tombong sebab ramai yang takut sangat. Asalnya saya tak faham apa itu tombong. Jadi, saya google.

Bila google tombong, yang keluar semua blog atau page dari penjual produk. Semuanya menggunakan ayat untuk menakut nakutkan wanita. Dan memang itu sahaja modal mereka untuk berniaga.

Buat cerita atau ayat, nanti orang mesti takut lepas tu mesti orang akan beli. Ok,jom kita ambil tahu apakah tombong.

Tombong atau bahasa lainnya adalah rahim jatuh. Dalam bahasa perubatan pula adalah uterine prolapse. Uterine prolapse ini terjadi apabila otot otot dan ligamen ligamen yang menyokong dan memegang rahim menjadi lemah. Apabila telah lemah, rahim akan terkeluar atau ‘jatuh ‘ dari kedudukan asalnya.

Lelaki juga boleh mengalami masalah ini. Tapi depa tak ada rahim, jadi ada bahagian lain yang akan terlibat. Masalah ini secara keseluruhannya kita sebut sebagai pelvic organ prolapse ( masalah jatuh bahagian pinggul).

Kenapa berlaku tombong kita dah tahu. Tapi siapa yang berisiko?

1. Wanita yang melahirkan anak.
Hal ini adalah normal kepada semua wanita terutamanya yang melahirkan secara normal kerana semasa proses kelahiran, banyak tenaga dan trauma telah berlaku di kawasan sekitar rahim. Ada juga yang mengalami masalah salah teran. Ada yang melahirkan anak yang besar secara normal.

2. Faktor usia
Semakin meningkat usia kita, otot dan ligamen kita menjadi sedikit lemah jika kita tak lakukan senaman dan tak kawal pemakanan. Ingat, masa adalah otot.

Selepas menopos, hormon estrogen di dalam badan kita berkurang menyebabkan rahim kita juga sedikit lemah.

3. Obesiti dan lebih berat badan
Sebab tu elok kekalkan berat badan kita dalam lingkungan normal.

BMI yang normal adalah 18-24
Cara kita BMI adalah berat(dalam kg) bahagi dengan (tinggixtinggi) ,tinggi dalam meter.
Contoh : 50 kg / (1.6×1.6) = 19.53 ( normal)
Jika BMI 25-29 : lebih berat badan
BMI lebih dari 30 adalah obesiti.

Hati hati dengan obesiti, kerana banyak penyakit yang boleh diundang tanpa dijemput.

4. Batuk berpanjangan
Sebab itu jika batuk, dapatkan rawatan yang betul. Jangan malas ke klinik.

5. Sembelit
Masalah tombong meningkat risikonya bila kita selalu meneran sewaktu membuang air besar. Kerana kita paksa otot dan ligamen di kawasan pinggul untuk kerja lebih dari biasa dan menggunakan tenaga yang banyak. Lama lama otot dan ligamen kat situ jadi haus.

6. Selalu mengangkat barang yang berat
Bila kita angkat barang berat, bahagian pinggul kita akan kerja lebih. Ditambah pula jika posisi dan cara angkat barang kita tak betul.

7. Merokok
Jangan ingat lelaki sahaja merokok. Perempuan pun ada. Merokok, vape, shisha sama sahaja. Semuanya membawa peluang untuk batuk.

8. Pernah ada sejarah pembedahan di kawasan pinggul.

9. Masalah genetik yang menyebabkan fungsi connective tissue ( tisu penghubung) menjadi lemah.

Adakah tombong merbahaya?
Ya jika tidak dikawal dari awal.

 

 

Bagaimana hendak kekalkan otot dan ligamen jadi kuat?

1. Senamam Kegel
Paling senang dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila bila masa. Kemutkan bahagian dalam rahim ( seperti nak menahan kencing), buat dalam 5 saat, 3 kali setiap sesi, dan 10 kali setiap hari atau selang sehari.
Sambil tengok tv ke fb ke kat office ke pun boleh buat.Jangan buat time kencing atau tengah angkat berat ya.

2. Amalkan gaya hidup sihat.

3. Pastikan berat badan anda normal

4. Berhenti merokok

5. Dapatkan rawatan yang betul sewaktu mengandung. Jangan terpedaya untuk lakukan home birth. Kalau bayi anda besar, macam mana? Fikir masa depan.

Bagaimana doktor nak diagnos penyakit ini?
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang sewajarnya untuk anda. Jangan risau, jika anda masih dara, doktor tak lakukan vaginal examination pun. Dan anak dara muda tak ada masalah ini biasanya.

Selain itu, doktor boleh lakukan ultrasound atau MRI juga.

Apakah simptom simptom untuk tombong?
1. Sakit ari ari
2. Sakit atau tak selesa sewaktu hubungan kelamin
3. Terasa seperti duduk di atas bola atau ada sesuatu yang terkeluar dari vagina
4. Sukar mengawal kencing
5. Kencing tidak lawas
6. Tidak dapat menahan kencing dalam jangka masa lama
7. Selalu sembelit
8. Pendarahan vagina ( bukan semasa haid)
9. Pendarahan sewaktu hubungan kelamin
10. Keputihan melampau atau lain dari biasa
11. Sakit bahagian pinggul atau belakang ( bawah)

Jika ada simptom seperti di atas dan anda ada risiko seperti yang saya sebut di atas, berjumpalah doktor. Jangan beli jamu atau produk untuk masalah ini.

Tidak ada jamu atau produk yang boleh kuatkan otot dan ligamen. Fikir logik, masukkan sesuatu dalam rahim, bagaimana ia berfungsi untum ketatkan otot?

Makan jamu atau produk, bagaimana ia boleh ketatkan otot? Otot bersifat elastik. Ianya boleh kembali ke bentuk asal dengan senaman yang betul. Logik logik logik. Hidup bukan magik.

Jadi, apakah rawatan untuk tombong?
1. Jika di tahap 1&2, amalkanlah senaman Kegel setiap hari. Kawal pemakanan. Insha Allah ianya boleh sembuh.

2. Jika di tahap 3&4, biasanya akan diberi vaginal pessary untuk menyokong rahim dari terjatuh atau perlukan pembedahan.

Saya senaraikan tahap tahap tombong di dalam gambar di bawah. Untuk penjual dan penyebar mitos, berhenti menakutkan wanita wanita. Berhenti burukkan lagi kesihatan mereka dengan ilmu yang tidak sahih.

Betulkah ada bidan yang boleh naikkkan rahim?
Guna akal yang waras. Bagaimana bidan boleh tolak rahim anda dari luar atau urut dari luar? Bahagian rahim dan faraj semuanya adalah otot, kalau urut otot, kesan selesanya cuma sementara.

Ingat,

– Jaga pemakanan
– Amalkan senaman Kegel
– Rawat masalah sembelit dan batuk
– Jangan angkat benda yang berat berat
– Jangan masukkan sesuatu ke dalam vagina tanpa nasihat doktor

Insha Allah, anda akan sihat sahaja. Betullah badan nak pakai lama. Sebab tu kena jaga dari usia muda. Bagaimana nak jaga? Pelihara yang asas dahulu dan kekalkan hidup sihat sampai bila bila.

Susah nak kawal makan dan amalkan senaman? Malas itulah penghubung antara permulaan dan kekalahan.

Nota kaki : Hidup bukan fantasi atau magika. Kalau kita malas, bukan rahim saja jatuh, kesihatan pun merudum. Ingat, jangan menyerah sebelum keringat dikerah.

Menarik: Hidung Terletak Macam Baby Korea, Wajah Ala-Korea Anak Intan Ladyana Curi Perhatian, Comelnya!

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil.

Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
SRM