Rahmat PKP Buat Tok Ti. Dapat Lihat Siti Aafiyah Membesar Depan Mata & Kehidupan Lebih Terurus Walau Dalam Norma Baru

Share

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac yang lalu untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik Covid-19 ternyata tersimpan hikmah dan rahmat di sebaliknya.

Bukan sahaja untuk memutuskan rantaian wabak tersebut, malah bagi ibu bapa yang sibuk dan tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga dan anak-anak, waktu PKP lah semuanya dapat ditimbal balik.

Begitu juga dengan penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut mengakui PKP yang dilaksanakan tersimpan pelbagai rahmat disebaliknya.

Tak dapat lakukan rutin Ramadan seperti biasa, tapi Siti Reda

Bukan saja mendedahkan dirinya kepada amalan normal baharu yang suatu ketika dulu begitu asing buatnya, sebaliknya, akui Siti, paling menyentuh hati apabila terkenangkan rutin yang sering dilakukan setiap kali tibanya Ramadan, tidak dapat dilaksanakannya, tahun ini.

Paling terasa, Siti tidak dapat menunaikan ibadat umrah pada 10 Ramadan terakhir yang sebelum ini menjadi rutin. Jujurnya, sayu rasa hati dan Siti rindu menunaikan solat terawih di Masjidil Haram.

“Masih terbayang-bayang kemeriahan di masjid terutama pada malam-malam terakhir Ramadan. Bagaimanapun, Siti reda dengan apa yang berlaku. Tindakan Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan ibadat umrah dilakukan wajar. Ini berikutan wabak COVID-19 perlu dihapuskan.

“Seperkara lagi yang Siti pelajari, apabila berlaku situasi seperti ini, kita akan lebih merasai kenikmatan beribadat di masjid.

“Siti berdoa semoga pandemik ini akan segera berakhir dan kita boleh kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah,” luah Siti kepada akhbar BH Online.

Lebih banyak masa dengan Aafiyah

Jika sebelum ini, waktu terpaksa dibahagikan antara tugas sebagai isteri, ibu, ahli perniagaan dan anak seni sehingga ada kala pecutan hidupnya menjadi laju.

Namun, dengan pandemik ini, ia membawa hikmah buat penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Basyirah ini.

“Apabila masa banyak terluang di rumah, secara tidak langsung Siti lebih banyak bermuhasabah untuk memperbaiki diri.

“Kalau dahulu, Siti terlalu sibuk kerana banyak kerja yang hendak dilakukan hingga kadang-kadang tak cukup tangan dan masa, tapi sekarang, semuanya lebih terurus.

“Paling seronok apabila melihat Siti Aafiyah membesar di depan mata. Kalau dulu, waktu yang diluangkan bersama tidak banyak.

“Apabila balik kerja, kadang-kadang dia sudah tidur. Tetapi kali ini, sepanjang hari Siti dengannya dan dapat tengok gelagat dan aksi lucunya.

“Macam mana Aafiyah merajuk dan cara dia marah pun, Siti sudah boleh tahu.

“Momen seperti inilah yang menyedarkan Siti bahawa setiap musibah yang berlaku, ada rahmat di sebaliknya,” ujar penyanyi berusia 41 tahun ini.

Guna Media sosial untuk promosi lagu dan produk

Daripada segi kerjaya, penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini berkata, dia banyak mempelajari perkara baharu yang bakal menjadi amalan biasa buatnya pada masa hadapan.

“Tidak dinafikan, banyak perkara baharu yang Siti belajar umpamanya merakam lagu di rumah. Biasanya Siti rakam lagu di studio.

“Siti juga terpaksa rakam video sendiri untuk mempromosikan produk dan membuat siaran langsung melalui media sosial.

“Sebelum ini, Siti banyak bergantung dengan cara konvensional terutama daripada segi promosi produk.

“Ketika PKP bermula, Siti banyak menggunakan media sosial untuk perniagaan. Hanya selepas kerajaan perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 mei lalu, barulah Siti berani keluar rumah.

“Itupun sebab Siti hendak periksa stok barangan dan memberi semangat kepada kakitangan yang terpaksa bekerja pada waktu getir seperti ini,” katanya.

Berjaya khatam Quran dalam bulan Ramadan

Ramadan yang baru saja melabuhkan tirainya semalam turut memahat kenangan manis buat isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini apabila Siti berjaya khatam al-Quran.

Walaupun bukan kali pertama, namun akui Siti, perkara itu mengujakan dirinya.

“Setiap tahun, Siti sekeluarga akan mengadakan tadarus. Tahun lalu, Siti tak dapat ikut serta kerana menunaikan umrah.

“Jadi apabila duduk di rumah, dapatlah Siti hadir bersama. Alhamdulillah, tercapai hasrat Siti untuk khatam pada majlis tadarus itu. Ini adalah kali ketiga Siti khatam dan rasa sangat gembira,” katanya.

Rai Aidilfitri secara sederhana

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Siti berkata, dalam situasi sekarang, mereka sekeluarga meraikannya secara sederhana.

“Daripada segi persiapan, tahun ini tidaklah begitu beriya-iya sangat. Semuanya serba sederhana. Daripada segi persiapan, Siti pakai koleksi pakaian sendiri iaitu Creacion By Siti Nurhaliza.

“Biskut raya pula nampak gayanya, tahun ini, rezeki Siti sangat murah. Ramai yang menghadiahkan biskut raya. Kalau dihimpun, boleh muat satu almari besar,” katanya.

Siti berkata, tahun ini, dia tidak menganjurkan majlis rumah terbuka atau menerima tetamu atas sebab keselamatan dan saranan kerajaan.

“Siti hanya beraya bersama keluarga terdekat. Jadi, juadah raya pun tidak dimasak banyak. Kami sekeluarga patuh saranan kerajaan yang tidak menggalakkan amalan kunjung-mengunjung.

“Siti harap semua pihak dapat memahami situasi ini dan tidak berkecil hati apabila Siti tidak terima kehadiran tetamu.

“Rumah Siti ada kanak-kanak dan orang tua, jadi Siti tidak mahu ambil risiko. Buat masa ini, kita kenalah berkorban.

“Insya-Allah selepas semuanya kembali pulih seperti sedia kala, panjang umur tahun depan bolehlah kita beraya bersama,” katanya yang meraih Anugerah Seri Perak pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

sumber: BH Online

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah