
Sebagai ibu bapa, kita memang sanggup buat apa saja untuk pastikan anak-anak sentiasa sihat dan cergas. Bila anak demam sikit je, kita lah yang berjaga malam, pantau suhu badan, lap dahi, bancuh air suam dan doa tak putus. Tapi dalam masa yang sama, kadang kita terlupa satu perkara penting ibu ayah pun kena jaga kesihatan. Kalau kita jatuh sakit, siapa pula nak uruskan anak?
Menariknya, orang dulu-dulu ada cara tradisi tersendiri bila anak tak sihat. Salah satunya ialah bagi telur separuh masak. Ramai antara kita yang pernah dengar atau mungkin sendiri dibesarkan dengan cara tu bila demam, badan rasa lemah, mak akan terus rebuskan telur separuh masak dan suap dengan penuh kasih sayang.
Tapi persoalannya, betul ke telur separuh masak ni ada khasiat untuk pulihkan tenaga? Atau sekadar mitos turun-temurun?
Kajian Saintifik Buktikan Khasiat Telur Separuh Masak
Menurut perkongsian Dr. Suri Roowi, telur memang padat dengan protein yang mudah diserap oleh badan. Protein ni penting untuk membantu pemulihan dan pertumbuhan otot, terutama bila badan lemah atau letih.
Kajian pada tahun 2017 yang dilakukan ke atas 10 lelaki mendapati, pengambilan keseluruhan telur – putih dan kuning membantu pertumbuhan otot dengan lebih baik. Ini kerana kuning telur kaya dengan vitamin A, selenium, zink dan asid lemak palmitat, yang sangat penting untuk perkembangan otot.
Lebih menarik lagi, kajian oleh UKM mendapati:
-Telur rebus separuh masak paling mudah dicerna dengan kadar 81.5%.
-Telur rebus masak penuh pula sekitar 76.2%.
-Telur mentah paling rendah pada 70.0%.
Maksudnya, memang tepatlah amalan orang dulu-dulu telur separuh masak bukan saja sedap dimakan masa sarapan, tapi juga memberi manfaat lebih tinggi untuk pulihkan tenaga badan.
Ibu Ayah Pun Jangan Lupa Jaga Kesihatan

Kita selalu fokus kesihatan anak-anak, tapi jangan lupa badan kita sendiri pun perlukan tenaga. Kalau anak tengah demam, ibu ayah cepat penat sebab berjaga malam dan kurang tidur. Jadi, tak salah kalau kita pun ambil telur separuh masak sebagai sumber tenaga mudah. Simple, cepat dan berkhasiat.
Bayangkan, bila anak sembuh kita pun masih bertenaga – barulah suasana rumah lebih ceria dan terkawal.
Kadang-kadang amalan orang tua dulu ada benarnya. Telur separuh masak bukan sekadar nostalgia, tapi memang terbukti ada manfaat dari sudut sains moden.
Jadi lepas ni, bila anak kurang sihat atau ibu ayah sendiri rasa badan letih, boleh cuba amalkan telur separuh masak sebagai salah satu makanan pemulih tenaga.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua ibu bapa yang sentiasa berjuang untuk kesihatan anak-anak tersayang.
Sumber: Dr. Suri Roowi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!















