Rajin Layan Anak Dah Boleh Wujudkan ‘Bonding Time’, Tak Perlu Buat Benda Susah Pun

Share

Hubungan mereka ketika bercinta tidak banyak diketahui umum. Sebaik sahaja Raf melamar Mawar untuk menjadi isterinya, semakin ramai yang mengikuti perkembangan mereka sehinggalah kini sudah mempunyai si kecil Rafael. Ketika berpeluang berjumpa dengan pasangan romantis ini, Pa&Ma sempat bertanyakan tentang hubungan mereka berdua dengan anak-anak.

Menurut Raf, dia amat mementingkan nilai kekeluargaan. Dia dan Mawar mengharapkan hubungan baik antara keluarganya kini akan berkekalan sampai bila-bila. Paling penting, mereka berdua mahukan anak-anak membesar dengan baik dan tahu untuk menghormati orang yang lebih tua.

“Pada saya, keluarga tidak boleh diganti. Apa pun yang terjadi, keluarga paling penting. Kalau bolehlah, saya mahu anak-anak membesar seperti mana hubungan saya dan Mawar. Kami amat menghormati antara satu sama lain dan bersikap terbuka untuk menerima teguran antara satu sama lain,“ kata Raf.

Kata Mawar pula, Raf seorang yang sangat berdisiplin dan tegas. Pun begitu, tegas dalam kelembutan dan caranya itu boleh diterima anak-anak. Mawar memberitahu yang suaminya itu suka menghabiskan masa dengan anak-anak. Dia akan mengambil tahu minat anak supaya boleh melakukan aktiviti itu dengan anak-anaknya.

Anak sulung Raf misalnya, sukakan bola sepak. Jadi dia akan pastikan sesibuk mana pun jadualnya, Raf akan bermain dengan Raden Ahmad Rayyan. Mawar pula akan melayan karenah si manja, Raden Seri Raysaa Chanela yang sukakan alat solek dan berdrama.

Raf dan Mawar jenis suka duduk di rumah jika tiada sebarang tuntutan kerja. Jadi mereka banyak melakukan aktiviti-aktiviti menarik di rumah untuk memastikan anak tidak bosan. Kata Raf, dia dibesarkan dalam suasana begini. Tidak keluar rumah kecuali untuk bekerja, jadi dia mahu anak-anaknya juga begitu tetapi tidaklah sehingga langsung tidak diberi pendedahan dengan dunia luar.

Raf mahukan anak-anaknya untuk belajar agama. Untuk anak lelaki, Raf akan mencuba untuk memastikan anaknya boleh menjadi Imam seawal usia lima tahun. Kata Mawar, dia selesa dengan pendekatan ini kerana dia dapat meilhat keberkesanannya pada dua orang anak Raf sebelum ini. Mawar juga mengatakan, anak-anak ini dapat dibentuk dengan contoh yang baik.

“Pada usia yang masih kecil, anak mungkin tak faham lagi, tapi dia akan ikut apa kita buat. Itulah pentingnya kita jadi role model yang baik supaya anak-anak mudah dibentuk,” kata Mawar mengakhiri perbualan bersama Pa&Ma.

Saksikan pasangan Raf dan Mawar Rashid dalam Pa&Ma Musim kelima dengan kupasan topik episod ke-8 ‘Imunisasi Elak Penyakit Berjangkit’ pada 21 Ogos 2019, rabu jam 9 malam di saluran Astro Prima 9ch 105), Prima HD (ch 121) dan Astro Go (apps).

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham