
Bagi pasangan yang menanti hampir sedekad untuk menimang cahaya mata, setiap detik bersama anak adalah terlalu berharga. Namun dalam sekelip mata, kegembiraan itu bertukar jadi duka. Itulah ujian berat yang sedang dilalui pasangan pensyarah, Amirul Ridzuan Abu Bakar, 39, dan isterinya Nurul Husna Khairuddin, 38, apabila anak kembar mereka terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, semalam.
“Saya berasa ralat dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia terjadi selepas 10 tahun kami cuba dapatkan zuriat sebelum dikurniakan kembar lelaki,” luah Amirul sebak.
Keluar Bersarapan, Berakhir Dengan Ujian Berat
Menurut Amirul, isterinya bersama anak kembar mereka, Amir Husain dan Amir Hasan, serta ibu bapa mentua keluar bersarapan di sebuah restoran di TTDI Grove dengan menaiki sebuah Honda City. Amirul pula berada di Kedah atas tuntutan kerja sebagai pensyarah di Perlis.

“Pada 10.59 pagi saya menerima mesej SOS daripada telefon isteri. Saya cuba hubungi berkali-kali tetapi panggilan tidak berjawab. Akhirnya orang lain angkat dan maklumkan isteri terlibat kemalangan,” ceritanya.
Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian itu, Amir Husain, bayi berusia setahun, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas tercampak keluar daripada kereta. Kembarnya, Amir Hasan, yang turut cedera telah dibenarkan keluar hospital malam tadi namun masih dipantau kesihatannya.
‘Seolah-olah Dia Tahu Akan Pergi’
Kata Amirul, pada hari kejadian Amir Husain menunjukkan perubahan sikap yang luar biasa.
“Biasanya dia makan agak bersepah macam kanak-kanak lain. Tapi semalam dia makan bersungguh-sungguh, tak bersepah, seolah-olah dia tahu akan ‘pergi’…” katanya sebak.

Amirul berkongsi bahawa beliau dan isteri mendirikan rumah tangga pada 2013 dan mengambil masa hampir 10 tahun untuk dikurniakan zuriat. Anak kembar lelaki mereka dilahirkan pada 20 Mei tahun lalu. Amir Husain ialah adik yang lahir 15 saat selepas abangnya Amir Hasan.
Jenazah Amir Husain telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan pagi tadi.
Doakan Kami Tabah
Amirul juga memaklumkan isterinya masih trauma dan belum bersedia berkongsi kisah kejadian itu.
“Saya ralat dengan tindakan pemandu lori itu. Saya juga ralat kerana tidak dapat bersama anak ketika kejadian kerana PJJ. Tapi saya berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anak kami. Doakan juga supaya kami tenang dan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan seorang bayi maut, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!















