Aksesori pam susu sebenarnya ada tempoh hayatnya sendiri. Mungkin ramai yang terlepas pandang tentang perkara ini kerana tanggapan kita terhadap pam susu adalah gajet penyusuan yang selagi fizikalnya elok, selagi itulah kita akan pakai.
Kaunselor Laktasi, Nad Masrom berkongsi tentang tempoh hayat plastik dan aksesori pam susu yang perlu kita semua ketahui dan ‘take note’ supaya tidak memberikan kesan buruk kepada bayi. Ikuti perkongsian ini.
TEMPOH HAYAT PLASTIK
Tahu tak ibu-ibu, botol susu dan corong pam yang digunakan ada tempoh hayatnya. Tak boleh guna bertahun-tahun lamanya walaupun fizikal nampak elok sahaja.
Kebanyakan corong pam dan bekas simpanan susu diperbuat dari polimer jenis polypropylene (PP). Perlu patuhi tempoh hayat dan ditukar ikut waktu demi keselamatan bayi. Jika tidak, bahan kimia plastik akan larut dalam susu.
Melainkan jenis termosplastik yang berkualiti dan tahan haba serta UV yang lebih lama seperti tritan, PPSU, PES. Itu pun biasanya dalam tempoh setahun sahaja.
Jika calar, perlu ditukar serta-merta. Kawasan calar boleh menggalakkan pembiakan bakteria dan lebih mudah bahan plastik terurai dan larut dalam susu.
Kalau jumpa botol atau corong yang bersentuhan dengan susu tapi bila guna steam sterilizer terus melebur, hati-hati. Bahan plastik yang digunakan mungkin tidak selamat untuk bayi kita.
Jika nak menyahkuman, perlu ketahui jenis yang kita nak guna adakah bersesuaian dengan jenis botol atau corong plastik yang kita ada.
Jika menggunakan bekas jenis PP, lebih baik gunakan steam sterilizer. Jika nak gunakan UV sterilizer, jenis PP ni mudah longgar ikatannya selepas 6 hari terdedah dengan cahaya UV. Dan tempoh hayat akan jadi lebih pendek berbanding steam sterilizer.
Jika gunakan UV sterilizer, boleh gunakan bekas plastik yang berkualiti seperti tritan, PPSU atau PES. Kebanyakan jenis plastik ini adalah tahan kepada haba, impak dan UV.
Sebab itu, jika ibu ada peluang menyusukan bayi secara terus, manfaatkan sebaiknya peluang ini. Tak perlu risau terdedah dengan bahaya plastik ini.
Tapi sebagai ibu bekerja (seperti saya), gunakanlah secara berhemah dan tahu tentang tempoh hayat plastik. Walaupun BPA free, ia tidaklah 100% selamat.
Masih lagi ada bahan pengeras lain yang digunakan untuk menggantikan BPA yang dibimbangi kesannya kepada kesihatan anak (antaranya kanser).
Sama-sama kita cakna dan sebarkan tentang ilmu ini kepada ibu-ibu yang tidak tahu.
Kredit: Nad Masrom, Kaunselor Laktasi
Artikel: Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Takut Bergerak Lepas Bersalin Caesarean. Pulmonary Embolism Selalu Terjadi Kepada ‘Ibu Manja’!
Kebanyakan ibu takut nak bergerak selepas bersalin secara pembedahan caesarean. Tahukah anda ia boleh meningkatkan risiko kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru yang boleh menyebabkan maut!
Kita kerap kali mendengar kematian wanita selepas bersalin akibat sesak nafas. Sesak nafas, mungkin asbab kematian yang kelihatan umum tetapi ia berkemungkinan besar disebabkan oleh Pulmonary Embolism atau ringkasnya disebut PE. Ia sepatutnya diberikan perhatian serius di kalangan ibu selepas bersalin!
SALAH SATU PUNCA KEMATIAN WANITA SELEPAS BERSALIN
Menurut Dr Dharmini Veerakumaran, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pulmonary embolism ialah keadaan di mana kehadiran darah beku secara tiba-tiba di dalam saluran darah ke paru-paru. Ia merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian wanita hamil dan selepas bersalin iaitu dalam masa kira-kira enam minggu selepas bersalin. Selain darah tinggi dan tumpah darah, PE ialah antara penyumbang tertinggi kematian wanita selepas bersalin di Malaysia.
Darah wanita hamil adalah lebih pekat daripada biasa. Pembesaran bayi dalam akan menekan saluran darah utama yang terdapat pada badan ibu menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar. Ini akan menyebabkan darah beku akan terbentuk di saluran darah pada betis (deep vein thrombosis). Selain itu, terdapat juga beberapa sebab lain seperti melahirkan melalui pembedahan juga boleh menyebabkan darah beku terbentuk kerana kurangnya pergerakan selepas bersalin.
IBU MANJA
Menurut Dr Dharmini, kurangnya pergerakan selepas bersalin digelar keadaan ‘ibu manja’ terjadi kerana ibu terlalu takut untuk bergerak kerana bimbang luka bersalin akan sakit dan sebagainya walhal perbuatan mereka sebenarnya meningkatkan risiko terjadinya pulmonary embolism.
“Apabila darah beku berkumpul pada bahagian betis, si ibu akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan berasa sakit pada betis ketika berjalan. Gejala ini perlu diberi rawatan awal. Jika tidak, darah beku pada dalam saluran darah dibahagian kaki si ibu boleh ‘dislodge’ dan bergerak bila-bila masa dan menyangkut di saluran darah yang halus di paru-paru. Ini boleh menyebabkan saluran darah di dalam paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism dan boleh menyebabkan kematian secara tiba- tiba,” kata Dr Dharmini.
12 KEADAAN IBU MENINGKATKAN RISIKO PULMONARY EMBOLISM
Hampir semua ibu yang hamil dan bersalin mempunyai risiko untuk mendapat penyakit pulmonary embolism kerana darah ketika ini lebih pekat daripada kebiasaannya. Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa dan selepas bersalin menjadi lebih tinggi sekiranya anda mempunyai keadaan ini;
- Ibu mempunyai berat badan melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2.
- Bersalin menerusi pembedahan
- Ibu berumur lebih daripada 35 tahun.
- Ibu yang melahirkan kandungan kembar.
- Mengalami masalah air ketuban banyak atau polihidramnios.
- Ibu yang mengalami dehidrasi atau kurang air dalam badan.
- Ibu yang pernah mendapat penyakit darah beku sebelum dan semasa mengandung atau pada kandungan terdahulu.
- Tumpah darah semasa bersalin (melebihi satu liter).
- Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin.
- Penyakit yang menyebabkan darah menjadi likat seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome.
- Ibu melalui pembedahan semasa mengandung atau selepas bersalin seperti pembedahan appendisitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
- Ibu hidap penyakit pra eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein) semasa hamil dan berterusan selepas bersalin.
KENALI SIMPTOM AWAL
Menyedari bahaya pulmonary embolism dan keupayaannya meragut nyawa, para ibu yang dalam tempoh minggu pertama selepas bersalin terutamanya sekali yang berisiko tinggi perlu berwaspada dan peka tanda-tanda awal pulmonary embolism. Antara simptom awal adalah seperti berikut;
- Kembang atau bengkak kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki kiri)
- Sukar untuk bernafas.
- Sakit dada.
- Batuk berdarah.
- Denyutan nadi yang sangat laju.
Sekiranya anda mempunyai simptom ini, segera dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor yang merawat biasanya akan menjalankan pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism. Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera.
BAGAIMANA PULMONARY EMBOLISM BOLEH DIELAKKAN?
Kebanyakan mangsa yang mengalami pulmonary embolism maut sebelum sempat sampai ke hospital. Oleh itu, rujuklah kepada doktor dengan segera terutamanya jika ada mengalami simptom awal. Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, anda boleh berusaha untuk mengelakkan pulmonary embolism melalui beberapa langkah.
- Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.
- Aktif bergerak dan berjalan. Jangan hanya berbaring di katil dan jauhi sifat ‘ibu manja’ yang takut atau malas untuk bergerak!
- Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh.
- Suntikan ubat suntikan pencair darah sekiranya dirasakan perlu.
Menurut Dr Dharmini, amalan pantang tradisional yang dilakukan secara sederhana seperti bertungku, bertuam, berdiang, berurut dan mandi air suam semasa dalam pantang amat membantu untuk mengelakkan terjadinya darah beku pada ibu. Walau pun ia baik, ibu perlu mengelakkan ia dilakukan pada bahagian luka caesarean bagi mengelakkan jangkitan kuman dan luka lambat sembuh.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Amalan Berpantang & Rahsia Awet Muda, Wanita Ini Kongsi Petua Elak ‘Hilang Seri Selepas Bersalin’
Amalan berpantang membantu mengembalikan kesegaran tubuh selepas bersalin. Ia juga merupakan salah satu rahsia untuk kelihatan awet muda. Amat menggerunkan bila selepas bersalin, wajah kelihatan hilang seri. Lebih menyedihkan bila nampak lebih tua daripada usia sebenar.
Amalan Berpantang & Rahsia Awet Muda
Berkongsi di Facebook peribadinya Dzuriasikim Dzulkefli ibu tunggal kepada lima orang anak ini mengakui mengamalkan tempoh berpantang selepas bersalin dengan baik boleh menjaga dan mengekalkan seri wajah.
Melihat pada wajahnya pasti ramai yang tidak menyangka wanita ini sudah berusia 55 tahun. Tampak muda dan auranya cukup memikat, itulah yang dimiliki oleh insan yang selesa disapa dengan panggilan Kak Zue.
“Pernah dengar tak orang tua-tua sebut, “Hilang seri dia lepas bersalin….”
Pastinya setiap wanita tidak mahu ditegur sebegitu. Berikut dikongsikan tip penjagaan diri serta petua yang diamalkan;
“Apa yang saya tulis ini adalah amalan rutin saya. Yang menjadi sebahagian dari hidup saya sejak remaja atau di zaman persekolahan. Sebahagian besarnya sudah jadi kebiasaan kerana memang menjadi amalan dalam keluarga juga. Jadi, bukanlah ke semua ini saya lakukan kerana terpaksa dan kerana nak dipandang cantik atau muda ya. Namun, apa sahaja ilmu yang dikongsi, jika anda rasa dapat membawa kepada kebaikan, bolehlah diambil dan diamalkan juga nanti.
Wanita Ini Kongsi Petua Elak ‘Hilang Seri Selepas Bersalin’
“Alhamdulillah, walaupun sudah hampir 55 tahun usia saya, dengan izin Allah, saya tidak ada masalah kedut di wajah yang ketara termasuk di bahagian mata, tidak ada sebarang masalah sakit-sakit sendi, tapak kaki, lutut, mahupun badan, tiada sakit-sakit kepala, tidak ada masalah angin dalam badan, masih boleh membaca dan menulis tanpa menggunakan cermin mata, masih berambut lebat, tiada masalah kulit menggeleber.
BERPANTANG PENUH SELEPAS BERSALIN
“Saya tulis huruf besar ini. Sebab ramai wanita moden tak suka berpantang. Ambil ringan. Serta mungkin juga kerana tidak seiring dengan banyak pendapat moden. Tapi saya kongsikan di sini sebahagian dari amalan berpantang saya dari kelahiran anak pertama hingga ke lima ya.
– MANDI AKAR KAYU setiap hari walaupun sampai ke hari terakhir berpantang.
“Biasanya ada orang yang akan bantu sediakan. Jika tiada, minta tolong suami rebuskan. Bangun awal, mandi air suam atau hangat dengan rebusan akar kayu awal pagi. Terus sapu segala ramuan di perut dan ikat perut atau berbengkunglah dari awal pagi.
– MENGAMALKAN HERBA ATAU JAMU
“Terutama ketika dalam pantang. Usah malas untuk makan atau minum air akar kayu di samping ubat dari hospital.
– BERURUT
“Sapu minyak herba satu badan. Berurut selalu.
– BERTANGAS
– KURANG PENGAMBILAN AIR
“Jangan sampai tak cukup air, tapi jangan minum terlalu banyak. Jangan minum ais. Saya pantang 100 hari tak minum air sejuk. Malah hingga kini, saya jarang minum ais.
– BERTUNGKU
– BERBENGKUNG
“Mesti pakai. Jangan culas. Jangan ambil mudah. Jangan malas. Jangan ganti bengkung dengan girdle moden.
– JAGA MAKAN
“Usah makan sembarangan. Waktu berpantang saya hanya minum air yang suam sahaja, tidak sejuk (walaupun pada suhu bilik). Makan pula hanya ikan, daging, ayam yang dibakar sahaja. Ikan pun bukan semua ikan yang boleh dimakan. Saya juga banyak amalkan makan nasi bersama lada hitam yang ditumbuk. Kunyit hidup dan halia muda.
– BERSTOKIN
“Usah ambil remeh.
– PASTIKAN BADAN SENTIASA PANAS
“Jauhi aircond.
– PANTANG BERSAMA SUAMI
“(Kalau saya 100 hari, terserahlah).
– ELAK MENGANGKAT BENDA BERAT/SENAMAN BERAT
– PANTANG KELUAR RUMAH
– IKAT RAMBUT TINGGI SELALU
“Ikat kemas-kemas. Orang dulu-dulu selalu simpan rambut supaya boleh diikat sebelum bersalin dan ketika dalam pantang. Ikatan rambut yang kemas dipercayai boleh mengurangkan sakit kepala dan menegangkan wajah.
Kebaikan Berpantang Adalah Untuk Diri Sendiri
“Perlu diingat, kebaikan berpantang ini adalah untuk diri sendiri. Kena sihatkan dalaman dahulu. Jadi perlu bersabar kerana ia hanya untuk sementara waktu iaitu di antara 44 hari, 60 hari atau 100 hari.
Jangan Culas Kalau Betul-Betul Nak Jaga Badan
“Wanita zaman moden (tidak semua) memang serba boleh. Hampir semua perkara mampu diuruskan sendiri dengan efisyen. Tak salah berpantang sendiri, cuma perlu konsisten dan disiplin. Kalau rasa malas dan culas, tapi masih lagi ingin berpantang sendiri, carilah penyedia khidmat berpantang dan urut selepas bersalin yang boleh ditempah secara online.
“Ingatlah, berpantang adalah proses pemulihan tubuh yang amat penting dan akan memberi kesan kebaikan kepada kesihatan jangka masa panjang.
“Masa muda kita tak rasa. Rasa macam ok. Jalan ok. Bersama suami ok. Duduk kaki terbuka ok. Tak pakai stokin ok. Tak ikat perut pun ok. Tunggu bila berusia…. Kata orang tua, jika tidak berpantang ni, bukan sahaja diri yang akan merasa nanti, malah pasangan (suami) pun boleh “rasa”.
“Sebab itulah kalau tengok wanita zaman nenek-nenek kita, mereka masih langsing dan cergas bertenaga walaupun telah lanjut usia dan beranak ramai. Orang zaman dulu beranak 8 ke 10 orang itu biasa bagi mereka.
“Selain pemakanan dan cara hidup, amalan berpantang yang diamalkan sedikit sebanyak dapat membantu kepada faktor tersebut. Jika dibandingkan dengan wanita zaman kini, umur baru 30 pun dah banyak penyakit yang datang.
“Untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap, dan mengurut inilah tujuannya. Kalau tak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh membuat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.
“Sebenarnya, cantik adalah bersifat luaran dan sangat subjektif. Segala petua ini adalah lebih kepada penjagaan kesihatan diri. Kesihatan adalah sangat berharga dan tak dapat dijual beli. Masa pula tak akan dapat kita putar kembali nanti. Jadi, jagalah diri.”
Sumber/Foto: Dzuriasikim Dzulkefli
Artikel berkaitan: 13 Amalan Berpantang Penuh Lepas Bersalin, Badan Sihat Walau Dah Usia 40 Tahun!
Ibu Berpantang Pun Boleh Makan Kuih-Muih, Ini 10 Jenis Kuih Yang Sesuai Untuk Kudapan Berpantang!
Memecahkan Angin Dalam Badan, Resepi Ayam Masak Halia, Bagus Untuk Ibu Berpantang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Lena Tidur, Kena Ada Bau Mama. Sebab Itulah Banyak Baby Suka ‘Mengempeng’
Mungkin rasa susu badan sangat istimewa sehinggakan si manja tidak mahu melepaskan puting ibunya. Ada masanya anak sudah tidur ketika disusukan, tetapi terjaga semula apabila ibu menarik keluar puting payudara dari mulutnya. Dek kerana anak suka mengempeng, sukar untuk ibu melakukan kerja-kerja lain. Sudahnya, ibu pun terlelap sama. Jika anda mahu berhenti menyusukan bayi, cubalah cara ini.
Artikel Menarik: [Jangan Bagi Anak Makan Kicap, Nanti Parut Hitam. Eh, Betul Ke?]
Apabila dilepaskan puting payu dara daripada mulutnya, dia akan menangis biar pun sudah yakin dia sudah pun lena. Apa yang patut dilakukan agar ia tidak menjadi tabiat buruk kerana keadaan ini menyukarkan ibu untuk bergerak setiap kali sesi penyusuan berlangsung.
4 SEBAB KENAPA BAYI MENGEMPENG
Bayi suka mengempeng mengikut usianya. Kadang kala ia adalah biasa bagi bayi yang berusia beberapa bulan memerlukan keselesaan daripada ibunya dan payudara. Berikut adalah antara sebab terjadinya hal ini:
a)Selama sembilan bulan dia menjadi sebahagian daripada anda dan kini baru beberapa minggu atau bulan menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
b)Dia memerlukan momen penyusuan intim bagi mengenang perasaan selesa yang pernah dilaluinya bersama anda.
c)Sesetengah bayi memerlukan lebih keselesaan sewaktu menyusu berbanding yang lainnya. d)Ini kerana mungkin perasaannya lebih sensitif. Tiada salahnya jika bayi hanya boleh tidur lena jika menyusu terlebih dahulu.
e)Kajian menunjukkan anak yang mendapat keselesaan apabila dia menangis, cenderung
untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari. Asasnya, jika anda memberi keselesaan kepadanya sekarang, dia akan kurang memerlukannya di masa akan datang.
Artikel Menarik: [Air Putih Bagusm Tapi Tak Perlu Sampai 7 Liter Sehari. ‘Terbeban’ Buah Pinggang]
GUNAKAN PENGGENDONG BAYI
Adalah tidak biasa jika bayi terus mahu menyusu ketika sedang tidur. Untuk itu, ada beberapa perkara yang boleh anda cuba lakukan bagi mengatasi hal ini. Bergantung kepada berapa usia anak, anda mungkin boleh biarkan dia terus menyusu sambil tidur tetapi pastikan dia diletakkan di dalam sling (penggendong). Jadi, anda boleh bangun dan lakukan pekerjaan lain ketika dia tidur.
PERHATIKAN CORAK TIDUR SEBELUM BERHENTI MENYUSUKAN
Walau bagaimanapun, pastikan bayi benar-benar lena dan tidak lagi menghisap puting sebelum anda cuba mempraktikkan panduan ini. Untuk itu, anda mungkin perlu menunggu untuk beberapa ketika. Bayi akan melakukan aksi hisapan untuk mendapatkan keselesaan (flutter atau comfort sucking) iaitu hisapan yang lembut dan perlahan-lahan. Apabila bayi baru sahaja tidur, anda dapat lihat dia mengerut mukanya, sebahagian tangan digenggam, bayi menegangkan otot badan serta muka dan kelopak matanya bergerak-gerak.
CABUT BILA SUDAH TIDUR NYENYAK
Apabila sudah nyenyak tidur pula, anda dapat mengenal pasti dengan melihat corak
pernafasannya adalah biasa, kelopak mata tidak bergerak dan anggota tubuhnya lemah;
tangan terkulai, tiada lagi genggaman tangan serta ototnya lebih relaks. Oleh yang demikian, apabila bayi mula tidur nyenyak, cuba tarik puting dan jauhkan diri
daripadanya secara perlahan-lahan.
GUNAKAN KELINGKING
Satu perkara yang kadang kala membantu ialah sisipkan jari kelingking di dalam mulut
bayi apabila dia sudah tidur. Jadi, anda boleh keluarkan puting payu dara dari mulutnya dan biarkan bayi menghisap jari anda itu.
Artikel Menarik: [Pam Hari Ini, Stok Untuk Esok. KEnapa Susu Sikit? Kaunselor Laktasi Beri Penjelasan]
Lama-kelamaan, barulah anda boleh mengeluarkan jari daripada mulutnya. Cara ini membantu dengan memberi sedikit tekanan pada bahagian bawah bibir bayi apabila anda melakukannya. Dengan melaksanakan panduan ini, anda boleh mengelakkan bayi daripada terjaga daripada tidur.
OBJEK YANG MEMPUNYAI BAU BADAN IBU
Meletakkan sesuatu benda betul-betul di sebelahnya yang mempunyai bau badan ibu seperti baju T atau bantal juga dapat membantu. Ketahuilah, menyusu bukan sekadar membekalkan bayi dengan khasiat yang diperlukannya. Lebih daripada itu, payu dara anda berupaya memberikan keselesaan dan rasa selamat kepada bayi.
Masa yang diperuntukkan untuk menyusu bayi adalah sangat singkat tetapi memori kasih sayang yang anda curahkan melalui penyusuan susu ibu akan berkekalan seumur hidupnya. Percayalah, bayi anda dengan sendirinya akan tidur tanpa perlu menyusu pada masa akan datang. Jadi, nikmati momen ini selagi ada.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI