Rambut Gugur Selepas Bersalin Perkara Normal Tapi Cara Ni Boleh Elakkannya Jadi Lebih Teruk

Share

Masalah keguguran rambut selepas bersalin adalah perkara normal. Walau bagaimanapun, agak membimbangkan apabila ia boleh berlanjutan selama beberapa bulan.

Masalah ini jika tidak diatasi dengan baik bakal menjurus kepada kewujudan bahagian atau tompok botak di kepala pula.

Punca utama rambut gugur selepas bersalin adalah hormon yang tidak stabil. Selepas melahirkan anak, jumlah estrogen dalam tubuh berkurangan secara mendadak.

Kredit IG Jihan Muse

Perlu anda tahu bahawa rambut yang gugur dalam tempoh selepas bersalin ini sebenarnya merupakan rambut yang sepatutnya sudah lama gugur.

Selain daripada itu, masalah tekanan dan kekurangan vitamin adalah antara penyumbang lain faktor keguguran rambut selepas melahirkan anak.

Hal yang sama telah dilalui oleh pengacara dan pelakon Jihan Muse. Demi menjaga kecantikan rambutnya untuk jangka masa yang panjang, dia telah mengambil langkah bijak dengan memotong pendek rambutnya.

Kredit IG Jihan Muse

Sememangnya adalah mustahil untuk anda menghentikan keguguran rambut selepas bersalin. Namun begitu, berikut adalah antara beberapa perkara lain yang boleh anda lakukan bagi mengawal masalah keguguran rambut daripada menjadi lebih buruk.

Langkah terbaik yang boleh anda lakukan ialah meningkatkan usaha penjagaan rambut yang lebih insentif dengan mengambil vitamin tambahan untuk menguatkan dalam tubuh. Hal ini secara tidak langsung boleh menguatkan akar rambut.

Elakkan menyikat rambut ketika ia masih basah. Ketika basah, rambut sangat rapuh. Lebih memburukkan keadaan apabila anda menyikatnya secara kasar. Ia lebih mudah terputus dan gugur.

Dalam pada itu, jangan gunakan alat pengering rambut dan alat pengeriting rambut buat sementara waktu kerana ia boleh menambahkan masalah kerosakan rambut.

Hindari diri daripada mewarnakan atau mengeritingkan rambut yang tentunya banyak menggunakan bahan kimia.

Gunakan mask rawatan rambut khas untuk masalah rambut gugur. Produk rambut yang kaya dengan kandungan vitamin A dan minyak vitamin E juga boleh membantu rambut menjadi lebih sihat.

Amalkan pemakanan sihat yang mengandungi banyak protein, kalsium, zink, buah-buahan, dan sayur-sayuran kerana makanan adalah sumber utama vitamin dan nutrien.

Bagi yang mengalami masalah rambut gugur berlanjutan atau sangat serius, anda perlu berjumpa dengan pakar dengan segera untuk mengetahui puncanya agar dapat menangani masalah ini dengan baik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Intan Jastina