Sepanjang bulan Ramadan, ramai di kalangan kita yang bersungguh-sungguh mengejar barakah yang berada di dalamnya dengan mengerjakan amalan berpuasa dengan sempurna. Bagi lelaki dan wanita yang tidak hamil, tentunya ia tidak menjadi masalah. Bagaimana pula dengan wanita hamil?
BERPUASA BAGI WANITA HAMIL
Pakar perubatan sendiri tidak menggalakkan mereka berpuasa terutama pada 3 bulan yang pertama. Ini kerana kehamilan di peringkat awal selalunya memberikan komplikasi yang tidak menyenangkan bagi wanita hamil di samping di saat ini bayi memerlukan nutrien yang secukupnya.
Namun begitu ramai wanita hamil yang tidak mahu mensia-siakan keberkatan dan peluang untuk beramal di bulan ini. Kebanyakan ulama juga tidak menggalakkan wanita hamil berpuasa jika ia memudharatkan bayi atau diri wanita yang hamil itu sendiri.
Beberapa pakar perubatan juga memberikan pendapat yang berbeza sama ada setiap wanita hamil boleh meneruskan ibadah puasa atau meninggalkannya sepanjang kehamilan. Tiada suatu pendapat seragam yang sesuai digunakan untuk semua wanita hamil. Oleh itu doktor harus menilai wanita hamil secara individual kerana hukum bagi wanita hamil yang berpuasa juga berbeza bagi setiap orang.
Oleh itu janganlah mensia-siakan kemudahan yang Allah berikan pada wanita yang hamil. Hanya mereka sendiri yang dapat mengetahui kekuatan diri mereka untuk berpuasa. Oleh itu jika mengalami kekeliruan terhadap kesihatan haruslah berjumpa dengan doktor untuk berbincang.
Apabila wanita hamil datang ke pusat rawatan untuk pemeriksaan antenatal pada bulan Ramadhan, seseorang itu haruslah memberitahu masalah yang dihadapinya ketika berpuasa.
Doktor boleh memberikan pendapat sama ada wanita hamil itu boleh meneruskan puasa atau harus meninggalkan puasanya. Ini kerana sepanjang tempoh berpuasa, tubuh wanita hamil dan bayi yang di dalam rahem menggunakan segala nutrien dan tenaga yang tersimpan di hati (liver) wanita itu.
Kekuatan wanita hamil untuk bertahan terus berpuasa bergantung kepada beberapa faktor:
1. Berapa lama wanita itu telah hamil? (stage of pregnancy)
2. Berapa lama tempoh berpuasa? Jika di Malaysia tempuh berpuasa antara 12-13 jam, tetapi di negara Eropah mungkin ia lebih lama dan mungkin juga lebih pendek. Jika terlalu lama ada sesetengah wanita hamil tidak sanggup berpuasa kerana banyak nutrien yang disimpan dikongsikan bersama bayi dalam rahem.
3. Adakah bulan Ramadan secara kebetulan bersama-sama dengan cuaca panas atau amat sejuk? Dalam musim yang terlalu panas atau terlalu sejuk (terutama di negara yang mempunyai 4 musim), banyak tenaga yang digunakan untuk mengekalkan haba tubuh di musim sejuk sementara di musim panas, dehidrasi mudah berlaku dan sangat bahaya pada bayi yang dikandung.
4. Bagaimana kesihatan wanita hamil sebelum beliau hamil? Jika wanita hamil itu telah mengalami masalah penyakit kronik sebelum kehamilannya, maka beliau mudah menjadi lemah jika tidak makan dan minum.
Oleh itu saya sering menasihatkan wanita yang merancang untuk hamil atau pun telah hamil di bulan Ramadhan harus berbincang dengan doktor. Ini sangat penting terutama bagi wanita yang mempunyai sejarah kehamilan yang bermasalah (complicated pregnancy) sebelum ini, seelok-eloknya harus merancang bersama doktor.
Jika terdapat tanda-tanda berikut, sebagai panduan asas, wanita hamil boleh berbuka puasa. Antaranya:
i) Rasa pening, lemah, pitam atau penat walaupun telah berehat selama 30 min hingga sejam.
ii). Rasa loya dan mula muntah sehinggakan tiada cara lain selain memakan ubat penahan muntah.
iii). Rasa sangat haus, warna air kencing menjadi keruh dan baunya sangat hancing, menandakan fenomena dehidrasi. Bila dehidsrasi berlaku wanita hamil akan berasa amat lemah dan membahayakan diri dan bayinya. Beliau haruslah berbuka jika perlu meminum air atau dimasukkan air saline ke dalam saluran darahnya secara intravenous.
iv). Jika umur kehamilan melebihi 20 minggu dan bilangan pergerakan bayi dalam rahem menjadi kurang daripada 10 kali pergerakan. Kebiasaannya bayi akan bergerak selepas ibunya makan kerana pada masa itu bayi dalam rahem mendapat nutrisi yang dibekalkan. Kekurangan pergerakan bayi menunjukkan bayi itu memerlukan nutrient dan berada dalam keadaan yang bahaya. Adakalanya apabila wanita itu berbuka puasa, pergerakan bayi dapat dirasakan semula.
v). Rasa sakit perut memulas-mulas seperti mahu melahirkan. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang. Dengan makan dan minum, nutrien dapat diberikan kepada bayi dan proses kelahiran pra matang dapat dielakkan.
vi). Wanita hamil tidak mengalami pertambahan berat badan atau mengalami kekurangan berat badan. Ini bermakna tenaga dan nutrient yang disimpan semakin berkurangan yang sepatutnya disimpan secukupnya untuk proses kelahiran nanti.
vii). Mengalami sakit kepala, atau demam yang mana harus memakan ubat bagi menyembuhkan kesakitan dan demamnya.
Pada masa yang sama, doktor akan melarang seseorang wanita itu berpuasa jika dia mempunyai komplikasi kehamilan seperti:
- Diabetes mellitus
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit hati (liver) yang tidak berfungsi
- Penyakit bronchial asthma yang kuat
- Penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
- Kehamilan kembar
- Mengalami risiko kelahiran pramatang
- Masalah-masalah lain berkaitan kehamilan yang serius
TIPS PEMAKANAN
Untuk mengelakkan kekurangan tenaga dan nutrient yang sepatutnya digunakan oleh bayi di dalam rahem, ada beberapa tips yang boleh digunakan bagi persiapan berpuasa.
– Minumlah air yang banyak ketika bersahur dan berbuka (Iftar) bagi mengurangkan dehidrasi yang merbahaya pada bayi.
– Makanlah makanan yang memberikan tenaga secara beransur-ansur seperti kurma dan kekacang ketika berbuka puasa. Makanan seperti ini akan memberikan tenaga berterusan walaupun beberapa jam telah berpuasa.
– Elakkan makanan yang bergula yang boleh menyebabkan paras gula tinggi secara mendadak, kerana apabila insulin dikeluarkan ia akan menyebabkan paras gula menjadi rendah, dan kita akan rasa mengantuk. Selain itu ia hanya memberikan tenaga yang cepat tetapi hanya sebentar saja.
– Makan makanan yang banyak protein – daging dan telur untuk pembesaran fizikal bayi.
Selain itu bagi wanita yang hamil, boleh mengikuti cara-cara berikut untuk mengelakkan keletihan ketika berpuasa untuk wanita hamil.
- Rancang jadual seharian agar dapat rehat secukupnya.
- Elakkan berjalan jauh atau membawa barang-barang berat.
- Elakkan terdedah pada cuaca yang panas kerana ini akan mempercepatkan dehidrasi.
- Kurangkan kerja-kerja rumah yang berat dan minta tolong suami untuk melakukannya.
- Elakkan membuang masa dengan memperbanyakkan bacaan al- Quran.
Kesimpulannya, seorang wanita hamil boleh berpuasa jika beliau mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi wanita yang tiada kekuatan akibat penyakit yang sedia dihidapi semenjak sebelum berkahwin, dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya.
Bagi wanita yang mempunyai komplikasi kehamilan yang mana dinasihatkan oleh doktor agar tidak berpuasa, boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya (jika ia melibatkan diri wanita hamil saja) atau menggantikannya dan membayar fidyah (jika dikhuatiri bayinya mengalami kemmudharatan akibat berpuasa).
Kredit:Dr Zubaidi Hj Ahmad
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI