Rasa Kurang Disayangi, Sebab Tu Anak Suka Bergaduh Dengan Adik Beradiknya

Share

“Mamaaa..…tengok tu along ejek orang!”

“Mana ada…angah buat cerita. Angah memang suka cari pasal. Pukul kang baru tau!”

“Mana pulak angah, alonglah yang ejek angah dulu. Orang tak cari pasal pun.”

“Ish…diamlah korang berdua ni. Bingitlah telinga mama. Mama nak rehat kejap pun tak boleh. Mama penat ni tau…Tau tak mama dahlah banyak kerja tadi, balik rumah nak kena hadap macam-macam..Ni korang plak nak tambah sesak kepala mama.”

Fuhh..satu nafas je..

Kesian mama…

Memang memeningkan kepala bila anak-anak berkelahi. Apatah lagi jika perlu menjadi referee.

Penat betul! Inilah yang sering menjadi kita cepat naik darah dan marah-marah.

Anak-anak berkelahi kerana berbagai sebab antaranya;

1- Rasa kurang disayangi. Oleh itu mungkin timbul dengki.

2- Sering dibanding-bandingkan dengan seseorang. Oleh itu dia mungkin ‘retaliate’ atau memberontak. Lantaran berkelahi dengan orang yang dibanding tadi.

3- Sering menyaksikan perkelahian. Oleh itu menyangka itulah caranya berinteraksi di dalam keluarga itu.

4- Sekadar mahu mengekpresi perasaannya.

Namun, walau apapun sebabnya, persoalannya bagaimana hendak membuat mereka kurang berkelahi. Disini Ibu sertakan beberapa kaedah.

InsyaAllah, cuba amalkan 7 kaedah ini. Ia tak mudah, namun jika diamal InsyaAllah sangat berbaloi :

1- Sering luahkan perasaan kasih anda kepada anak-anak dan biar nampak sama rata.

2- Berhenti membanding-bandingkan mereka. Setiap anak ada keistimewaannya. Apa yang hendak kita nampakkan ialah keistimewaan mereka. Bila mereka merasakan mereka dikasih, mereka akan kurang melakukan perkara yang menjengkelkan. Namun, dalam bab ini juga ada perkara yang perlu kita timbangkan. Jangan pula demi untuk menunjuk sayang, kita membenarkan anak-anak memperkudakan kita.

3- Jika boleh elakkan bertengkar suami isteri di hadapan anak-anak. Mereka pasti akan mengikutnya.

4- Jika mereka sekadar mahu didengari dan mahu mengekpresi diri, berilah telinga anda dan dengar luahan hati mereka. Jika mereka merasakan mereka diberi perhatian, maka kuranglah mereka hendak bertekak.

5- Bila mereka baik dan tidak berkelahi, puji mereka dan katakan anda suka perangai mereka yang seperti itu.

6- Bila anak-anak sedang hangat berkelahi, leraikan dan usap kepala mereka sambil membaca ayat Al-Quran atau doa.

7- Semasa mereka tidur, bisikan ke telinga mereka, bahawa mereka suka bermain dan bersama adik-beradik baik-baik. Jangan pula kata, ‘Jangan kelahi selalu’. Kata kuncinya kelahi- katakan; “ Kamu suka berbaik-baik sesama adik-beradik. Kamu sayang adik-beradik.” Ini adalah memprogram minda di bawah sedar mereka.

Salam Sayang

Sumber:
Ibu Rose

Published by
NuFa